Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Bakal Dedah Kepada Umum Sukhoi Su-35 Miliknya Pada Umum 19 Mac Ini ??

Menurut pemerhati pertahanan Iran, “sesuatu yang besar” akan berlaku pada 19 Mac ini tetapi tidak menyatakannya dengan jelas, sambil terdapat platform media sosial Iran mengkaburkan gambar pesawat pejuang Su-35 dalam ciapan media sosial mereka itu.

0 3,111
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Teka-teki mengenai perolehan pesawat pejuang pelbagai guna Sukhoi Su-35 oleh Iran dijangka terjawab tidak lama lagi, apabila Tehran dilaporkan akan mendedahkan pesawat pejuang canggih diperolehinya daripada Russia kepada umum pada 19 Mac ini, bersempena dengan sambutan Tahun Baru Parsi yang dikenali dengan panggilan “Nowruz.”
Nowruz yang secara simboliknya menandakan harapan, kekayaan dan pemulaan baru akan disambut pada 20 Mac.
Menurut pemerhati pertahanan Iran, “sesuatu yang besar” akan berlaku pada 19 Mac ini tetapi tidak menyatakannya dengan jelas, sambil terdapat platform media sosial Iran mengkaburkan gambar pesawat pejuang Su-35 dalam ciapan media sosial mereka itu.
Sehingga kini, dakwaan bahawa Iran akan mendedahkan pesawat pejuang Su-35 dibelinya daripada Iran hanya spekulasi tanpa sebarang pengesahan rasmi daripada kerajaan atau tentera Iran.
Bagaimanapun, perolehan pesawat pejuang Su-35 oleh Iran itu telah pun disahkan oleh kerajaan sebelum ini.
Buat pertama kali pada akhir bulan lepas, pegawai kanan Kor Revolusi Islam Iran (IRGC) mengakui bahawa negara itu telah memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 Sukhoi Su-35 (Flanker-E) buatan Russia bagi memodenkan tentera udaranya yang masih bergantung pesawat-pesawat pejuang berusia.
Su-35
“Su-35 Flanker-E”
Perolehan pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 oleh Iran itu telah disahkan oleh Timbalan Koordinator Ibu Pejabat Pusat Khatam-ol-Anbia Ali Shamdani kepada Student News Network dan dipetik oleh agensi berita antarabangsa, Reuters.
“Apabila diperlukan, kami melakukan pembelian ketenteraan untuk memperkukuhkan kekuatan udara, darat, dan laut kami. … Pengeluaran peralatan ketenteraan juga telah dipercepatkan. Jika musuh bertindak secara tidak bijak, mereka akan merasai akibat pahit diserang oleh peluru berpandu kami, dan tiada satu pun kepentingan mereka di wilayah yang diduduki akan selamat,” kata beliau.
Shamdani bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang diperolehi oleh Iran daripada Russia atau sama ada pesawat pejuang itu telah pun diterima oleh Iran.
Pada November 2023, agensi berita Tasnim Iran melaporkan bahawa  Tehran telah memuktamadkan persiapan untuk membeli pesawat pejuang dari Russia.
Pada Januari lepas,  Defence Security Asia melaporkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang diperolehi oleh  Teheran akan mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Iran pada tahun ini.
Pesawat pejuang Sukhoi Su-35 merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 dan kehadirannya di dalam Tentera Udara Iran sudah semestinya akan meningkatkan kemampuan tentera udara negara itu yang selama ini bergelut dalam program pemodenannya akibat sekatan ekonomi and ketenteraan antarabangsa.
Su-35
Sukhoi Su-35 (Flanker-E)
Kehadiran pesawat pejuang Sukhoi Su-35 di dalam inventori Tentera Udara Iran juga akan mengubah keseimbangan kuasa udara di Timur Tengah yang selama ini dikuasai oleh negara-negara sekutu Amerika Syarikat yang mengoperasi pesawat-pesawat pejuang moden buatan Barat.
Pesawat pejuang termoden Tentera Udara pada ketika ini adalah MiG-29 yang diperolehi berbelas tahun dahulu serta pesawat-pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat seperti F-4 dan F-14 yang diperolehinya ketika negara Parsi itu dibawah pemerintahan Shah Iran sebelum 1979.
Iran dilaporkan telah pun menerima dua buah pesawat pejuang pertama Sukhoi Su-35SE buatan Russia pada 18 November yang lalu.
Pada akhir tahun lepas, laporan media Jerman “Flugrevue” mendakwa penyerahan kedua-dua buah pesawat pejuang itu dilakukan dalam satu majlis persendirian di kemudahan pembuatan pesawat Komsomolsk-on-Amur (KnAAPO) di wilayah timur jauh Russia.
“Kedua-dua buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 itu telah dicerai-ceraikan (disassembled) kepada beberapa bahagian pesawat sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran menggunakan pesawat pengangkut Tentera Russia Antonov An-124-100,” menurut laporan terbabit.
Selepas tiba di Lapangan Terbang Mehrabad, bahagian-bahagian pesawat pejuang itu akan di bawa ke Pangkalan Tentera Udara di Hamadan untuk dipasang semula, bagi membolehkan Iran memiliki pesawat pejuang generasi 4.5 yang pertama.
Menurut laporan media Jerman itu, Iran mahu memperolehi pesawat pejuang Su-35SE itu untuk menggantikan pesawat pejuang F-14 Tomcat yang berpangkalan di Isfahan.
Su-35
Su-35 “Flanker E”
Iran
Gambar satelit Pangkalan Udara Hamadan di Iran
Iran dilaporkan akan menerima sehingga 50 buah pesawat pejuang Su-35 dan bukan 24 sebagaimana dinyatakan sebelum ini.
Dengan penambahan bilangan pesawat pejuang Su-35 oleh Iran itu kepada 50 buah akan membolehkan tentera udara negara itu menamatkan sebahagian daripada pesawat pejuang F-4 Phantom yang sedang berkhidmat dengan Skuadron Taktikal ke-31 yang berpangkalan di Hamadan.
Defence Security Asia sebelum ini melaporkan bahawa Iran bakal menerima enam buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia dalam jangkamasa terdekat ini,  berkemungkinan besar akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hamadan sebagaimana dispekulasikan sebelum ini.
Keenam-enam pesawat pejuang generasi 4.5 yang diberikan gelaran “Super Sukhoi” itu akan diterbangkan oleh juruterbang Russia ke pangkalan tentera udara Iran itu, sebagaimana maklumat di dalam platform media sosial.
Enam buah pesawat pejuang Su-35 itu dipercayai adalah daripada kumpulan pertama daripada beberapa kumpulan pesawat pejuang Su-35 yang berkemungkinan besar akan dihantar oleh Russia kepada Iran di dalam tempoh bulan-bulan dan tahun mendatang ini.
Kehadiran pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 di Pangkalan Udara Hamadan itu adalah selari dengan kerja-kerja pembinaan beberapa kubu penempatan pesawat yang sedang rancak dilakukan di Pangkalan Tentera Udara Iran di Hamadan itu.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.