Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perisikan Pertahanan UK Dedah Russia Guna Dron Buatan Iran “Mohajer-6” Untuk Misi-Misi ISR

Dalam hasil kajian yang didedahkan pada 8 Mac lalu, Perisikan Pertahanan United Kingdom menyatakan bahawa dron “Mohajer-6” itu digunakan oleh tentera Russia di Laut Hitam dan wilayah Ukraine untuk misi-misi Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR).

0 4,944

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak perisikan pertahanan United Kingdom mendedahkan bahawa tentera Russia telah mengoperasikan dron-dron “Mohajer-6” Iran  untuk tugas-tugas pemantauan dan perisikan di kawasan perairan Laut Hitam dan wilayah Ukraine.

Dalam hasil kajian yang didedahkan pada 8 Mac lalu, Perisikan Pertahanan United Kingdom menyatakan bahawa dron “Mohajer-6” itu digunakan oleh tentera Russia di Laut Hitam dan wilayah Ukraine untuk misi-misi Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR).

Ia menambah koleksi dron-dron buatan Iran yang kini dioperasikan oleh tentera Russia untuk operasi ketenteraannya di Ukraine, selain daripada dron berani mati “Shahed-136.”

“Pihak Perisikan Pertahanan United Kingdom telah mengesan kehadiran dron Mohajer-6 di Laut Hitam dan bandar Kremenchuk.”

“Pengoperasian dron-dron buatan Iran ini oleh Russia berkemungkinan bahawa Moscow sedang cuba mengenalpasti ancaman terhadap pelabuhan-pelabuhan Russia dan kapal-kapal miliknya,berikutan kejayaan Ukraine membedil dan menenggelamkan aset tentera laut Russia baru-baru ini.”

Mohajer
Imej satelit menunjukkan dron “Mohajer-6” di Crimea.

 

Imej-imej satelit yang dikeluarkan oleh Perisikan Pertahanan United Kingdom telah menunjukkan kehadiran sebuah dron “Mohajer-6” buatan Iran itu di landasan di Pangkalan Udara Saky di Crimea yang kini diduduki oleh tentera Russia.

Selain tugas-tugas untuk pemantauan dan pengintipan, dron Mohajer-6 itu juga boleh dilengkapi dengan sistem persenjataan termasuk bom dan peluru-peluru berpandu.

“Terdapat kemungkinan yang besar bahawa misi dan operasi yang dilaksanakan oleh dron Mohajer-6 itu termasuklah membantu mengenalpasti sasaran untuk pihak tentera Russia di kawasan pesisir pantai selatan Ukraine,” menurut kajian oleh Perisikan Pertahanan United Kingdom.

Pihak Perisikan Pertahanan United Kingdom mendakwa tentera Ukraine didakwa berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya sebuah dron Mohajer-6 pada 23 September 2022 di ruang udara Laut Hitam.  

Dibina oleh Qods Aviation Industries, dron “Mohajer-6” merupakan dron Medium-Altitude Long Endurance (MALE) yang tugas khusus utamanya adalah untuk pemantauan dan perisikan di dalam erti kata ISR.

Ia juga boleh dilengkapi dengan pelbagai peluru berpandu dan bom-bom panduan laser. Selain itu, ia juga boleh dilengkapi dengan peralatan-peralatan elektronik seperti Electronic Support Measures (ESM), komponen pemintasan elektronik dan komponen peperangan elektronik.

Mohajer

Pengguna utama dron “Mohajer-6” adalah Tentera Laut Iran dan Pengawal Revolusi Islam Iran, dengan secara keseluruhannya tentera Iran dipercayai memiliki lebih daripada 200 buah dron ISR/penyerang itu.

“Mohajer-6” telah didedahkan oleh pihak Iran kepada masyarakat awam pada 2016 dan bermula pada 2018 ia telah dibina secara besar-besaran oleh pihak Iran Aircraft Manufacturing Industrial Company (HESA).

Dengan kemampuan untuk terbang selaju 200km sejak, dron keluaran Iran itu berkemampuan untuk terbang selama 12 jam dan setinggi 16,000 kaki sehingga kepada 18,000 kaki.

Untuk radius operasinya pula, “Mohajer-6” berkemampuan beroperasi sehingga di antara 2,000km hingga 2,400km.

Pada September 2022, sebuah dron milik Pengawal Revolusi Islam Iran itu telah ditembak jatuh oleh sebuah pesawat pejuang F-15 milik Tentera Udara Amerika Syarikat ketika ia sedang terbang menuju ke Erbil, wilayah Kurdish di Iraq. — DSA

 

Comments
Loading...