Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hubungan Russia-Iran Mulai “Retak” Akibat Isu Pemilikan Tiga Buah Pulau

Teheran mendakwa ketiga-tiga buah pulau itu, Abu Musa, Pulau Tunb Besar (Greater Tunb) dan Pulau Tunb Kecil (Lesser Tunb)  adalah miliknya dan mahu Russia memperbetulkan pendirian diambilnya mengenai isu itu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran.

0 4,365

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan Russia “menyebelahi” Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pertikaian mengenai pemilikan tiga buah pulau di Selat Hormuz telah menyebabkan “keretakan” hubungan di antara Moscow dan Teheran.

Teheran mendakwa ketiga-tiga buah pulau itu, Abu Musa, Pulau Tunb Besar (Greater Tunb) dan Pulau Tunb Kecil (Lesser Tunb)  adalah miliknya dan mahu Russia memperbetulkan pendirian diambilnya mengenai isu itu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran.

Iran juga bertindak memanggil duta Russia di negara itu untuk menyampaikan bantahan negara itu.

Pulau

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat antara Russia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Moscow baru-baru ini, kedua-dua pihak  mahukan “semua usaha damai termasuk inisiatif UAE untuk mencapai jalan penyelesaian aman menerusi rundingan dua hala atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa, selaras dengan undang-undang antarabanbsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”

Kenyataan bersama itu seolah-olah menunjukkan seolah-olah bahawa Russia juga tidak memperakui kedaulatan Iran terhadap ketiga-tiga pulau strategik itu.

Pada Disember lepas, Presiden China juga menyokong usaha menyelesaikan isu pemilikan ketiga-tiga buah pulau itu di peringkat antarabangsa.

Kementerian Luar Iran menyatakan bahawa ketiga-tiga buah pulau itu adalah milik Iran dan pengeluaran kenyataan (oleh Russia dan GCC) adalah bertentangan dengan hubungan baik di antara Teheran dan negara-negara jirannya.

Ketiga-tiga buah pulau di Selat Hormuz yang terletak di tengah-tengah laluan maritim yang penting untuk perdagangan minyak dan gas dunia itu telah ditadbir oleh Iran sejak 1971, tetapi di dakwa oleh UAE sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Pada ketika itu, Shah of Iran yang memerintah negara Iran pada ketika itu telah mengerah tentera lautnya ke pulau-pulau itu sebaik sahaja British mengundurkan tenteranya daripada UAE.

Pulau
Pulau Abu Musa yang diduduki oleh Iran tetapi didakwa oleh UAE sebagai miliknya.

 

Sejak daripada itu, UAE mendakwa pulau-pulau itu sebagai miliknya dan disokong oleh negara-negara Arab yang lain.

Teheran telah menolak desakan daripada negara-negara Arab itu dan enggan melayan sebarang permintaan untuk mengadakan rundingan tentang pemilikan ketiga-tiga buah pulau itu.

Penasihat undang-undang kepada Presiden Iran, Mohamed Deghan dilaporakan berkata bahawa dokumen-dokumen bersejarah menyokong pemilikan Iran terhadap pulau-pulau itu.

“Terdapat pemerintah serantau cuba untuk memalsukan dokumen dan merasuah sekumpulan pakar perundangan antarabangsa. Dokumen-dokumen lama mengenai isu adalah jelas dan disebabkan itulah usaha kita disokong oleh undang-undang,” kata beliau.

Shahed
Dron “Shahed-136” buatan Iran

 

“Keretakan”di dalam hubungan antara Russia dan Iran itu berlaku ketika kerjasama kedua-dua negara di dalam bidang ketenteraan semakin rapat apabila Teheran membekalkan sejumlah senjata untuk membantu kempen ketenteraan Moscow di Ukraine.

Iran telah membekalkan dron-dron berani mati keluaran industri pertahanannya untuk digunakan oleh Russia di Ukraine, manakala Moscow pula telah membekalkan pesawat pejuang Su-35 kepada Teheran.

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa Iran dan Russia bakal membina kemudahan pembuatan dron-dron berani mati di sebuah bandar berhampiran Moscow. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...