Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Cuba Pikat Russia Untuk Perolehi Peluru Berpandu Kruis “BrahMos ALCM”

India mahu mengambil peluang daripada kesulitan dialami oleh Russia pada konflik di Ukraine untuk menawarkan sistem peluru berpandu kruise BrahMos di dalam varian lancaran udara (Air Launched Cruise Missile - ALCM) yang boleh digunakan oleh Moscow.

0 3,396

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India dilaporkan cuba menjual peluru berpandu kruis “BrahMos” kepada Russia, walaupun menyedari bahawa peluru berpandu itu dibangunkan hasil kerjasama kedua-dua negara dan berdasarkan kepada sistem peluru berpandu anti-kapal Russia.

India mahu mengambil peluang daripada kesulitan dialami oleh Russia pada konflik di Ukraine untuk menawarkan sistem persenjataan yang boleh digunakan oleh Moscow.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan BrahMos Aerospace Atul Dinkar Dane berkata syarikatnya sentiasa melihat Russia sebagai pasaran berpotensi untuk peluru berpandu BrahMos di dalam varian lancaran udara (Air Lauched Cruise Missile – ALCM).

BrahMos

Beliau mendakwa Russia tidak memiliki sebarang ALCM di dalam angkatan tenteranya pada ketika ini.

“Sekiranya mereka (Russia) memperolehinya (BrahMos) sebelum perang di Ukraine, akan mempunyai banyak pilihan untuk menggunakannya dalam keadaan terkini. Selepas konflik di Ukraine berakhir, kita mungkin mendapat pesanan daripada Russia, terutamanya untuk sistem peluru berpandu lancaran udara, BrahMos,” kata beliau.

Russia berpotensi untuk menggunakan peluru berpandu BrahMos dalam varian ALCM sama seperti peluru berpandu P-800 Onyx miliknya, yang dijadikan asas kepada pembangunan peluru berpandu BrahMos oleh kedua-dua negara.

Peluru berpandu P-800 Onyx yang merupakan sistem peluru berpandu anti-kapal dibangunkan ketika zaman Kesatuan Soviet, turut telah digunakan oleh Russia untuk membedil sasaran darat pada konflik di Syria dan Ukraine.

Walaupun peluru berpandu BrahMos dan P-800 Onyx memiliki karateristik yang hampir sama,  tetapi disebabkan industri pertahanan Russia kini berhadapan pelbagai masalah akibat sekatan ketat oleh Barat dan kekurangan kewangan, ia berkemungkinan memaksa Moscow untuk melihat kepada negara luar untuk meningkatkan stok persenjataannya dalam menghadapi peperangan dengan Ukraine.

Ia telah pun berlaku dengan Russia menerima bekalan-bekalan dron berani mati daripada Iran yang telah digunakan dengan berkesan di Ukraine dan kini terdapat laporan bahawa China telah membekalkan peluru-peluru artilleri untuk digunakan Moscow.

BrahMos
“BrahMos”

 

Jika Russia memilih untuk memperolehi peluru berpandu Brahmos dalam varian ALCM sebagaimana cuba dicadangkan oleh India, maka Moscow akan menjadi pasaran eksport BrahMos yang kedua selepas Filipina.

Tahun lepas, Filipina telah menganugerahkan kontrak bernilai US$374 juta (RM1.5 bilion) kepada BrahMos Aerospace Private Ltd untuk membekalkan sistem peluru berpandu anti-kapal kepada negara jiran itu.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu “BrahMos” itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas dan menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di Laut China Selatan.

Tiga bateri sistem peluru berpandu anti-kapal “BrahMos” yang dipesan oleh Manila itu akan dioperasikan oleh Kor Marin Tentera Laut Filipina.

BrahMos
Peluru berpandu BrahMos yang dibangunkan secara bersama oleh India dan Russia.

 

Bateri pertama sistem peluru berpandu anti-kapal buatan India-Russia itu dijangka diterima oleh Filipina pada akhir tahun ini manakala selebihnya selepas itu.

Tentera Darat Filipina pula dijangka memesan dua bateri sistem peluru berpandu anti-kapal itu pada tahun ini,menjadikan keseluruhan bateri peluru berpandu “Brahmos” yang bakal dimiliki oleh negara Asia Tenggara itu sebanyak lima buah untuk mempertahankan pesisir pantainya daripada sebarang anasir luar.

Dengan kelajuan Mach 2.8-3,  peluru berpandu itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 290km dan ia memberikan kemampuan yang belum pernah dimiliki oleh Filipina sebelum ini. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...