Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sistem Pertahanan Udara Britain Amat Terhad, Seolah-Olah “Tidak Wujud” – Laporan

Laporan oleh syarikat Northrop Grumann itu adalah selari dengan laporan oleh sebuah badan pemikir, Royal United Services Institute (RUSI) yang mendapati bahawa sistem pertahanan udara Britain tidak berkeupayaan untuk mengalahkan banyak daripada ancaman termasuk daripada kapal-kapal selam Russia yang boleh menyerang Britian tanpa sebarang ancaman.

0 3,215

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Britain telah diberikan amaran tentang keadaan sistem pertahanan udaranya yang amat terhad, sehinggakan ia seolah-olah ia “tidak wujud” (negligible), ketika Kementerian Pertahanan negara itu memberikan amaran bahawa risiko serangan udara terhadap negara itu adalah paling tinggi dalam tempoh 30 tahun.

Amaran itu telah diberikan dikeluarkan oleh syarikat Northrop Grumann UK yang diminta oleh sebuah jawatankuasa parlimen untuk memberikan analisis tentang pengajaran yang boleh diperolehi daripada konflik di Ukraine.

Syarikat itu berkata memerlukan pelaburan berterusan di dalam Sistem Pertahanan Udara dan Peluru Berpandu (Intergrated Air and Missile Defence – IAMD).

“Kekurangan keupayaan Britain di dalam kapasiti IAMD menimbulkan risiko yang tinggi terhadap keselamatan Britain,” kata syarikat itu.

“Keupayaan sedia ada adalah amat terhad, sehingga pada tahap ia seolah-olah tidak wujud. Ia adalah hasil daripada ketiadaan pelaburan dan kebergantungan yang keterlaluan terhadap rakan-rakan yang lain di dalam NATO,” menurut syarikat itu.

Typhoon
Eurofighter Typhoon

 

Kesemua “jurang keupayaan” itu telah mendatangkan ancaman keselamatan yang tinggi terhadap Britain dan dengan konflik di di antara Ukraine dan Russia merupakan bukti bahawa IAMD adalah sesuatu kemestian kepada negara itu.

Kenyataan oleh Northrop Grumann UK itu merupakan antara analisis paling kritis yang diberikan sebuah syarikat pertahanan yang mempunyai maklumat mendalam tentang keadaan dan tahap pertahanan negara itu.

Syarikat Northrop Grumann menyokong pesawat-pesawat pejuang F-35 milik Royal Air Force dan kapal pengangkut pesawat serta kapal-kapal selam milik Tentera Laut Britain, yang merupakan tulang belakang kepada pertahanan negara itu.  

“Secara jelas, Britain perlu memperkukuhkan lagi pelaburannya di dalam Sistem Pertahanan Udara dan Peluru Berpandu (IAMD). Bagaimanapun ia memerlukan sistem yang benar-benar bersepadu sebagaimana yang telah dilakukan oleh Poland.”

“Pelaburan itu memerlukan perbelanjaan yang besar untuk melindungi keupayaan ketenteraan, kerajaan dan infrastruktur yang kritikal.”

“Bagaimanapun, Russia telah menunjukkan bahawa ia berkeupayaan untuk mensasarkan apa sahaja di dalam peperangan dan Britain adalah di dalam lingkungan peluru-peluru berpandu Russia,” kata syarikat pertahanan itu.

Laporan oleh syarikat Northrop Grumann itu adalah selari dengan laporan oleh sebuah badan pemikir, Royal United Services Institute (RUSI) yang mendapati bahawa sistem pertahanan udara Britain tidak berkeupayaan untuk mengalahkan banyak daripada ancaman termasuk daripada kapal-kapal selam Russia yang boleh menyerang Britian tanpa sebarang ancaman.

Beberapa bulan lalu, laporan oleh Parlimen Britain membuat kesimpulan bahawa tentera udara negara itu memiliki bilangan pesawat kombat yang “terlalu kecil” menyebabkan ia tidak mempunyai sebarang peluang jika peperangan tercetus dengan Russia.

Tentera Udara Britain (Royal Air Force – RAF) berdepan dengan “kemusnahan total” sekiranya berdepan dengan Tentera Udara Russia, menurut laporan itu.

Laporan Parlimen itu menyatakan bahawa bilangan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan F-35 milik RAF adalah terlalu kecil untuk berhadapan dengan pesawat-pesawat kombat Tentera Udara Russia yang dianggarkan berjumlah 1,500 buah yang lengkap untuk melakukan pelbagai misi kombat.

RAF dilaporkan hanya memiliki 169 buah pesawat kombat pada ketika ini  dan bilangan itu adalah yang terkecil dalam sejarah selepas Peperangan Dunia Kedua akibat pemotongan peruntukan pertahanan oleh kerajaan-kerajaan yang memerintah Britain.

Britain
Sistem pertahanan udara “Sky Sabre” Britain

 

Pada 1990, Britain dilapor memiliki sebanyak 463 pesawat kombat.

Menurut laporan oleh Parlimen Britain itu lagi, pada ketika ini Britain memiliki bilangan pesawat kombat paling rendah jika dibandingkan dengan kuasa-kuasa benua Eropah yang lain seperti Jerman dan Perancis.

Pada ketika ini, Perancis memiliki sejumlah 231 buah pesawat kombat, Jerman 214 buah pesawat kombat manakala Itali sejumlah 199 buah pesawat kombat.

“Dalam peperangan dengan Russia, setiap pesawat kombat itu adalah penting. Perancangan pertahanan oleh Britain akan menyebabkan lompong keupayaan pertahanan yang akan berterusan sehingga tahun 2030.”

“Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kementerian Pertahanan dan RAF perlu mengambil tindakan yang segera untuk meningkatkan bilangan pesawat-pesawat kombat mereka,” menurut laporan Parlimen Britain itu.

Walaupun berhadapan dengan bilangan pesawat kombat yang kritikal, Britain tetap bercadang untuk menamatkan khidmat kira-kira 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon pada 2025, iaitu lima tahun lebih awal daripada sepatutnya daripada bertindak menaiktarafnya. — DSA

 

Comments
Loading...