Amerika Jadikan Guam Kubu “Paling Dilindungi” Di Dunia
Menurut dokumen-dokumen tentera Amerika Syarikat, Pulau Guan itu akan dilindungi secara bersepadu oleh 20 pusat pertahanan udara berlainan dipanggil Enhanced Integrated Air and Missile Defense (EIAMD) terdiri daripada sistem radar dan peluru berpandu pertahanan udara, yang bukan sahaja mampu menangkis pesawat tetapi juga peluru berpandu ballistik.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pulau Guam yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Lautan Pasifik bakal dilindungi oleh 20 pusat sistem pertahanan udara berlainan, bertujuan menjadikan pulau milik negara kuasa besar itu sebagai kawasan yang paling dilindungi di dunia.
Menurut dokumen-dokumen tentera Amerika Syarikat, Pulau Guam itu akan dilindungi secara bersepadu oleh 20 pusat pertahanan udara berlainan dipanggil Enhanced Integrated Air and Missile Defense (EIAMD) terdiri daripada sistem radar dan peluru berpandu pertahanan udara, yang bukan sahaja mampu menangkis pesawat tetapi juga peluru berpandu ballistik.
Usaha bersepadu itu adalah untuk memastikan Pulau Guam yang terletak di kedudukan strategik di perairan barat Lautan Pasifik, kira-kira 9,300km di barat San Francisco, Amerika Syarikat itu berkemampuan menangani sebarang ancaman daripada udara.
Kesemua sistem pertahanan udara itu akan beroperasi sepanjang masa, dibantu dengan peraturan sekatan penggunaan ruang udara di sekitar pulau itu yang akan dilaksanakan oleh Federal Aviation Administration (FAA), sebuah agensi persekutuan Amerika Syarikat.
“Sistem EIAMD itu mampu mempertahankan Pulau Guam secara 360 darjah di keseluruhan pulau itu. Kemampuan pertahanan 360 darjah itu mampu dicapai dengan meletakkan komponen sistem EIAMD itu di pelbagai lokasi di keseluruhan pulau itu.”
“Pemilihan lokasi-lokasi EIAMD itu dan penambahan lokasi itu akan dipertimbangkan,” kata dokumen tentera Amerika Syarikat itu.
Sistem EIAMD itu bakal dibangunkan oleh Missile Defense Agency dan Tentera Darat Amerika Syarikat dan ia akan beroperasi sepanjang masa.
Pada ketika ini, sistem EIAMD yang akan melindungi Pulau Guam itu daripada ancaman udara adalah sistem pertahanan udara “berlapis-lapis” yang memberikan pertahanan 360 darjah daripada segala jenis ancaman udara.

Pulau Guam yang merupakan wilayah terkecil milik Amerika Syarikat dengan keluasan hanyalah 200 batu persegi menempatkan pangkalan-pangkalan utama tentera udara, laut dan marin Amerika Syarikat.
Pulau Guam menjadi wilayah Amerika Syarikat pada 1898 sebelum Jepun menakluk dan menduduki pulau itu ketika Perang Dunia Kedua.
Comments are closed.