Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mengapa Guam Penting Untuk Tentera Amerika Di Pasifik?

Sekiranya China menyerang Taiwan atau Jepun, kedua-dua negara yang dijamin keselamatannya oleh Amerika Syarikat – maka Guam bakal menjadi pusat ketenteraan terpenting Washington untuk mempertahankan kedua-dua negara itu.

0 1,854

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Guam yang terletak di Lautan Pasifik merupakan wilayah terkecil milik Amerika Syarikat dengan keluasannya hanyalah kira-kira 200 batu persegi.

Hubungan di antara Guam dengan Amerika Syarikat bermula kira-kira 100 tahun dahulu apabila ia mengambilalih pulau itu ketika Perang Amerika-Sepanyol.

Guam menjadi wilayah Amerika Syarikat pada 1898 sebelum Jepun menakluk dan menduduki pulau itu ketika Perang Dunia Kedua.

B-52
Pesawat B-52 di Pengkalan Udara Andersen, Guam. (PACAF)

 

Amerika Syarikat membebaskan Guam pada 1945 daripada tentera Jepun dan pulau itu kembali semula sebagai wilayah Amerika.

Walaupun kecil daripada segi saiz, tetapi Guam disifatkan amat “aktif” daripada segi ketenteraan kerana ia menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat daripada kesemua cabang, udara, darat,laut dan bawah laut.

Dengan peningkatan ketegangan di antara Amerika Syarikat dan China, Guam berkemungkinan menjadi sasaran utama kepada pihak Beijing sekiranya konflik bersenjata tercetus di antara kedua-dua negara kuasa besar itu.

Walaupun terletak Lautan Pasifik, terdapat kemungkinan Guam menjadi sasaran peluru-peluru berpandu ballistik daripada “musuh” sekiranya peperangan berlaku di Pasifik.

Andersen
Pangkalan Udara Andersen di Guam.

 

Kedudukan utama Tentera Udara Amerika Syarikat di Guam adalah di Pangkalan Udara Andersen yang menjadi “rumah” kepada 193 buah pesawat tentera.

Pihak Tentera Amerika Syarikat menggunakan pangkalan udara di Guam itu untuk melancarkan pesawat-pesawat bagi operasi di kawasan serantau.

Pangkalan Udara Andersen tidak memiliki penempatan tetap pesawat-pesawat tetapi banyak pesawat tentera Amerika bergilir-gilir menjadikan Guam sebagai rumah sementaranya terutama pesawat-pesawat pengebom seperti B-1 Lancer dan B-52.

Selain Pangkalan Udara Andersen, Guam juga menempatkan Pangkalan Laut Apra Harbor yang menempatkan lima buah kapal selam nuklear Amerika Syarikat daripada kelas-Los Angeles.

Queen Elizabeth
HMS Queen Ellizabeth kini berlabuh di Apra Harbour, Guam.

 

Kapal-kapal selam nuklear kelas-Los Angeles Amerika Syarikat yang ditempatkan di Pangkalan Laut Apra Harbor adalah Key West,Asheville,Annapolis, Springfield dan Jefferson  City.

Selain menempatkan kapal-kapal selam kelas-Los Angeles, kapal-kapal selam Amerika daripada kelas-Ohio juga kerap berkunjung ke Apra Harbor sebagai tempatan persinggahan sementara sebelum mereka meneruskan operasi di Pasifik.

Tentera Amerika Syarikat turut menempatkan empat buah kapal pemusnah kelas-Arleigh Burke ke Guam secara bergilir-gilir untuk menjaga keselamatannya.

Bagaimanapun, sebuah kapal pemusnah kelas-Arleigh Burke dengan sistem kombat Aegis dan peluru berpandu SM-3 1B akan sentiasa berada di Guam untuk mempertahankan Guam daripada serangan peluru berpandu ballistik.

SSBN
Kapal selam nuklear SSBN “USS Nevada” di Guam.

 

Tentera Laut Amerika Syarikat mahu membina kemudahan sistem Aegis/SM-3 1B di darat (ashore).

Bagi mengukuhkan lagi pertahanan Guam daripada sebarang serangan peluru berpandu ballistik sama ada daripada China atau Korea Utara, Amerika telah menempatkan bateri  Terminal High Altitude Area Defense (THAAD).

Selain THAAD dan Aegis/SM-31B, tentera Amerika Syarikat dilaporkan akan menempatkan sistem pertahanan udara Patriot di Guam untuk menangani sebarang kemungkinan serangan peluru berpandu ballistik China.

Adakah China akan menyerang Guam?

THAAD
Pelancar THAAD

 

Sejak daripada 1991, Beijing telah melihat bagaimana tentera Amerika Syarikat menggunakan pangkalan-pangkalan tenteranya di luar negara untuk menyokong kempen-kempen peperangannya sama ada di Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara.

Sekiranya China menyerang Taiwan atau Jepun, kedua-dua negara yang dijamin keselamatannya oleh Amerika Syarikat – maka Guam bakal menjadi pusat ketenteraan terpenting Washington untuk mempertahankan kedua-dua negara itu.

Senario Guam diserang itu bukan asing kerana pada 2020 sebuah video promosi sepanjang dua minit yang dikeluarkan oleh Tentera China telah menunjukkan bagaimana pesawat pengebomnya menggugurkan bom ke atas sebuah pengkalan udara yang mirip kepada Pangkalan Udara Andersen di Guam.

Dalam video promosi itu, sebuah pesawat pengebom strategik China H-6K berlepas daripada landasan di Tanah Besar China menuju ke Lautan Pasifik.

DF-26
Peluru berpandu ballistik DF-26

 

Ketika berada di Lautan Pasifik, seorang krew kapal terbang kelihatan telah menekan butang yang menyaksikan peluru berpandu dilancarkan terhadap Guam.

Akhbar The South China Morning Post dan agensi berita Reuters juga mengatakan video promosi yang dikeluarkan oleh Tentera China menerusi platform sosial media negara itu, Weibo sememangnya memaparkan Guam.

Bagi memastikan China berjaya dalam kempen ketenteraannya di Taiwan atau Jepun sekiranya konflik tercetus – Guam perlu “dihapuskan.”

Peluru berpandu ballistik DF-26 milik China yang juga digelar “Guam Express” hanya memerlukan masa 30 minit untuk “mendarat” di Guam selepas dilancarkan.

Ia adalah suatu cabaran yang besar bagi Amerik a Syarikat untuk mempertahankan Guam, Pangkalan Udara Andersen dan Apra Harbor sekiranya konflik bersenjata dengan China meletus. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  
Comments
Loading...