Majalah “Forbes” Sifatkan TUDM Antara Tentera Udara “Paling Pelik” Di Dunia. Kenapa?
Bagi majalah "Forbes" dan penulisnya David Axe, TUDM adalah di antara tentera udara yang pelik di dunia (one of the world’s weirdest air forces) kerana mengoperasikan pelbagai pesawat pejuang keluaran syarikat daripada pelbagai negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 24 Sept yang lalu, sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” United States Pacific Air Force (US PACAF) telah mengadakan latihan PASSEX (Passing Exercise) di Selat Melaka.
Empat jenis pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM )terlibat dalam eksesais tersebut iaitu Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18D Hornet, Hawk 208 dan pesawat pengangkut A400M “Atlas.”
Bagaimanapun bagi majalah terkenal Amerika Syarikat, “Forbes” dan penulisnya David Axe, apa yang menarik dilihat daripada latihan itu adalah bagaimana sebuah pesawat pengebom Amerika Syarikat telah “disambut” oleh kombinasi pesawat-pesawat pejuang yang dimiliki oleh TUDM.
Bertempat di ruang udara Selat Melaka, pesawat pengebom B-52 Amerika Syarikat itu telah disambut oleh pesawat pejuang TUDM yang diperbuat oleh syarikat Amerika Syarikat (F/A-18D), Russia (Sukhoi Su-30MKM), British (Hawk 208) dan Eropah (A400M Atlas).
Bagi David, beliau menyifatkan TUDM sebagai antara tentera udara yang pelik di dunia (one of the world’s weirdest air forces) kerana mengoperasikan pelbagai pesawat pejuang keluaran syarikat daripada pelbagai negara.
Admin tidak tahu sama ada komen beliau bahawa TUDM adalah “one of the world’s weirdest air forces” itu adalah satu pujian atau sebaliknya.
“Kombinasi pesawat-pesawat pejuang, Hawk British, Su-30MKM Russia dan F/A-18D Amerika Syarikat adalah amat pelik. Kebanyakkan tentera udara cuba untuk meminimakan perbezaan pesawat di dalam perkhidmatan mereka untuk memastikan kos penyelenggaraan dan latihan pada tahap yang rendah,” menurut David dalam artikelnya itu.
“That mix of fighters—British Hawks, Russian Su-30s and American F-18s—is strange, to say the least. Most air forces try to minimize the number of different fighter types in service in order to keep down maintenance and training costs.”
Menurut penulis majalah “Forbes” itu lagi, negara-negara berkecuali seperti Malaysia kadangkala cuba untuk mengekalkan hubungan diplomatik dengan pelbagai negara seperti Amerika Syarikat dan Russia dengan membahagi-bahagikan perolehan pesawat pejuang mereka.
Beliau juga berkata, TUDM berhadapan dengan masalah kekurangan pesawat pejuang yang moden dan berprestasi tinggi.
Malaysia katanya hanya memiliki 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, lapan buah pesawat F/A-18D Hornet dan 13 buah pesawat Hawk 108 dan 208 yang tambahnya adalah “sudah usang dan tidak berkemampuan.” (old and tired).
“Terlalu sedikit pesawat pejuang dan terlalu banyak jenis. Ia adalah masalah berganda di mana Kuala Lumpur sedang cuba untuk mengatasinya. Pemandangan tiga jenis pesawat berlainan, kesemuanya daripada sebuah tentera udara yang kecil, berkumpul di sisi pesawat pengebom Amerika Syarikat, ia adalah permandangan yang jarang-jarang berlaku,” kata David.
“Too few fighters of too many types. It’s a twofold problem that Kuala Lumpur is trying to fix. And when it does, the sight of three different fighter types, all from one small air force, forming up on an American bomber … could become much rarer.”
Beliau berkata, Malaysia bukanlah sebuah sekutu rapat kepada Amerika Syarikat tetapi Kuala Lumpur dan Washington mempunyai masalah yang sama iaitu China yang mendakwa sebahagian besar daripada Laut China Selatan adalah miliknya.
Pada 31 Mei yang lepas, sebanyak 16 buah pesawat tentera China telah menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara dengan terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali sebelum berpatah-balik.
Ia adalah satu daripada pencerobohan China terhadap Malaysia yang paling besar dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan ia telah memeranjatkan TUDM, menurut penulis majalah Forbes itu.
Katanya, pesawat-pesawat pejuang paling berkemampuan TUDM seperti Sukhoi dan Hornet diletakkan di pangkalan-pangkalan udaranya di Semenanjung Malaysia manakala hanya pesawat pejuang ringan dan subsonic, Hawk diletakkan di Malaysia Timur.
Walaupun pesawat Hawk berjaya memintas dan “shadow” pesawat-pesawat China yang terdiri daripada pesawat pengangkut Y-20 dan IL-76, tetapi David mengatakan TUDM “mungkin tidak bernasib baik” selepas ini, sekiranya Beijing menghantar pesawat-pesawat yang lebih berkemampuan dan supersonik.
“Pesawat-pesawat Hawk TUDM mungkin tidak mampu mengejar mereka,” kata penulis itu.
“Insiden (pencerobohan pesawat China) itu menunjukkan bahawa Malaysia amat memerlukan pesawat-pesawat pejuang moden dan berkemampuan. Secara amnya, peralatan tentera udara kita adalah ketinggalan,” kata felo dengan Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun kepada Voice of America.
Kata David, Malaysia telah membuka tender untuk mendapatkan 36 buah pesawat pejuang ringan di mana pesaing-pesaing terdiri daripada pesawat yang supersonik.
Menurut David lagi, apabila pesawat pengebom B-52 Amerika Syarikat mengunjungi Malaysia lagi selepas ini, ia mungkin tidak lagi disambut dengan kombinasi pesawat pejuang yang menarik tetapi akan lebih berkemampuan.
Comments are closed.