Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Meningkatkan Kemampuan Operasional TUDM Menerusi Perolehan Pesawat FLIT/LCA

Menurut laporan sebuah media tempatan minggu lepas, sebanyak enam buah syarikat pembuat pesawat antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka dalam persaingan untuk membekalkan 18 buah pesawat FLIT/LCA kepada TUDM.

0 7,819

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Program perolehan 18 buah pesawat pejuang Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan meningkatkan kemampuan operasional tentera udara itu.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam temuramah dengan sebuah majalah pertahanan berbahasa Inggeris beberapa bulan lepas berkata, perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA  untuk TUDM juga akan menyelesaikan salah satu masalah dihadapi oleh TUDM melibatkan kekurangan pesawat pejuang.

Tentera udara juga katanya telah memutuskan kriteria-kriteria (set of criteria) dalam pemilihan jenis pesawat LCA/FLIT TUDM yang tepat untuk TUDM.

“Ia (pesawat) ada versi ringan pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) dengan dwi kegunaan untuk memenuhi keperluan operasi.”

“Ia (pesawat LCA/FLIT) sudah semestinya akan digunakan untuk menyediakan generasi juruterbang pesawat pejuang akan datang. Kemasukan pesawat-pesawat (LCA/FLIT) dalam perkhidmatan TUDM dijangka akan meningkatkan kemampuan operasional pesawat-pesawat pejuang (TUDM) secara keseluruhannya,” kata Panglima TUDM dalam temuramah itu.

FA-50
Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI)

 

Program perolehan pesawat-pesawat pejuang FLIT/LCA itu menarik perhatian ramai kerana ia dijangka menelan belanja sebanyak RM4 bilion, sebagaimana dilaporkan oleh sebuah media kewangan minggu lepas.

TUDM dijangka membuat perolehan tambahan sebanyak 18 buah lagi pesawat FLIT/LCA bagi menjadikan keseluruhan pesawat yang bakal diperolehi adalah sebanyak 36 buah.

Pesawat-pesawat itu akan diperolehi di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030).

Menurut laporan sebuah media tempatan baru-baru ini, program perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA bagi TUDM itu telah menarik penyertaan sebanyak enam buah syarikat pembuat pesawat antarabangsa.

Pesaing-pesaing bagi kontrak Malaysia itu menurut akhbar tempatan itu adalah Korea Aerospace Industries (KAI) yang bekerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd untuk menawarkan to pesawat F/A- 50.

Syarikat Turkey Aerospace Industries pula menawarkan pesawat LCA, Hürjet dan China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC) yang menawarkan pesawat L-15.

Sementara itu syarikat Itali, Leonardo pula menawarkan pesawat M-346 manakala Hindustan Aeronautics Ltd daripada India pula menawarkan pesawat Tejas.

Tejas
Pesawat Tejas yang dibangunkan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

 

Syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd — dimana 71.43 peratus daripadanya dikuasai oleh National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) milik Tan Sri Ahmad Johan, 23 peratus oleh syarikat, Russian Aircraft Corporation (RAC) manakala 4.76 peratus pula oleh Rosoboronexport yang menawarkan pesawat Mikoyan MiG -35.

Apa yang menarik menurut akhbar itu adalah, Pakistan yang dikatakan antara pesaing utama untuk memenangi kontrak Malaysia itu menerusi pesawat JF-17 Thunder tidak menyertai tender lumayan itu.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara juga berkata, pemilihan pesawat FLIT/LCA akan menekankan konsep FLIT/LCA iaitu berusaha untuk mencapai simbiosis di atas keperluan operasional dan latihan menerusi pendekatan dwi-fungsi yang fleksibel dan dinamik dalam platform tunggal.

TUDM menurutnya, bertekad (persisted)  untuk memastikan program perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA  ini berjaya dilaksanakan.

Perolehan 18 buah pesawat LCA/FLIT itu adalah untuk menggantikan pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 serta Aermacchi yang digunakan oleh TUDM untuk tujuan serangan ringan serta latihan bagi juruterbang selama ini.

Pengumuman tentang syarikat mana yang memenangi tender Malaysia itu dijangka akan diumumkan seawal-awalnya pada akhir bulan Mac atau awal April tahun depan.

Menurut akhbar itu lagi, di antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat pemenang tender itu adalah – mereka perlu menghantar pesawat-pesawat FLIT/LCA itu secara berperingkat 36 bulan selepas kontrak ditandatangani.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...