Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Timbang Kerah FA-50 Miliknya Iringi Penerbangan Pesawat Peronda Maritimnya Di Laut China Selatan

Dalam insiden yang berlaku minggu lepas berhampiran dengan Scarborough Shoal yang dipertikaikan, dua buah pesawat pejuang China telah melakukan manuver berbahaya termasuk melepaskan suar (flares) di laluan penerbangan pesawat peronda jenis NC-212i milik Filipina yang sedang melakukan rondaan di Laut China Selatan.

0 775

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Berikutan manuver merbahaya dilakukan oleh dua buah pesawat pejuang China terhadap pesawat peronda Filipina di ruang udara Laut China Selatan minggu lepas, Manila kini dilaporkan menimbang kemungkinan mengerahkan pesawat pejuangnya FA-50 buatan Korea Selatan untuk mengiringi pesawat perondanya ketika menjalankan operasi.

Setiausaha Pertahanannya Gilberto Teodoro Jr dilaporkan berkata adalah suatu kemestian untuk membincangkan kemungkinan pesawat pejuang FA-50 milik Tentera Udara Filipina akan dikerah untuk mengiringi pesawat peronda negara itu ketika melaksanakan tugasan rondaan di Laut China Selatan.

“Ia akan menjadi pergelutan yang berpanjangan untuk menunjukkan kehadiran dan dalam menekankan hak kedaulatan di kawasan, jadi anda perlu menjangkakan perkara-perkara sebegini akan terus berlaku,” kata beliau.

Dalam insiden yang berlaku minggu lepas berhampiran dengan Scarborough Shoal yang dipertikaikan, dua buah pesawat pejuang China telah melakukan manuver berbahaya termasuk melepaskan suar (flares) di laluan penerbangan pesawat peronda jenis NC-212i milik Filipina yang sedang melakukan rondaan di Laut China Selatan.

Kesemua krew dan penumpang pesawat peronda Filipina itu tidak mengalami kecederaan dan pesawat itu telah selamat mendarat di Pangkalan Udara Clark di utara Manila.Filipina

Sumber pertahanan peringkat tertinggi Filipina menyatakan bahawa pesawat pejuang China itu terbang terlalu hampir dengan pesawat peronda Filipina berkipas itu sehingga membahayakan nyawa krew dan penumpang pesawat peronda itu.

Pesawat pejuang China itu dikesan melepaskan lapan suar ketika ia melakukan manuver berbahaya itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Kolonel Rifiel Santiago Sotto daripada Pejabat Perhubungan Awam Tentera Udara Filipina juga ditanya tentang tindakan agresif pesawat pejuang China itu dan berkata, pesawat pejuang FA-50 merupakan satu-satunya aset yang boleh mencabar kuasa udara Tentera Udara China.

“Pada ketika ini, hampir kesemua orang tahu bahawa kita (Tentera Udara Filipina) memiliki FA-50 dalam inventori kita,” katanya.

Walaupun kerahan pesawat pejuang FA-50 milik Tentera Udara Filipina untuk mengiring pesawat peronda negara itu ketika melakukan rondaan di Laut China Selatan masih diperingkat awal, namun kehadiran FA-50 di Laut China Selatan untuk tugasan rondaan sudah hampir pasti sekiranya keadaan menjadi semakin buruk.

Tentera Udara Filipina memiliki 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50PH yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI).

FA-50
Pesawat pejuang ringan FA-50 Filipina

K

esemua 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50PH itu kini berkhidmat di 5th Fighter Wing Tentera Udara Filipina.

Selain Filipina, Thailand dan Indonesia juga merupakan negara-negara Asia Tenggara yang menggunakan varian pesawat pejuang/latihan FA-50/T-50.

Thailand memiliki 14 buah pesawat T-50, Filipina (12 buah FA-50) manakala Indonesia pula mengoperasikan 22 buah pesawat T-50.

Manakala Malaysia pada Mei tahun lepas, telah menandatangani perjanjian dengan Malaysia bernilai kira-kira RM4 bilion untuk memperolehi 18 buah varian terkini pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 dikenali sebagai FA-50M.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mula menerima pesawat-pesawat pejuang itu bermula pada akhir tahun 2026.

Pesawat pejuang ringan FA-50PH merupakan pesawat pejuang paling berkemampuan milik Tentera Udara Filipina, tetapi, negara Asia Tenggara itu dijangka memutuskan tidak lama pesawat pejuang MRCA pilihan mereka tidak lama lagi.

Filipina
Pesawat peronda NC-212i

 

Dua buah pesawat pejuang MRCA bersaing hebat untuk merebut kontrak daripada Filipina itu iaitu, F-16 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat dan juga JAS39 Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Saab Group daripada Sweden.

Menurut pemerhati pertahanan serantau, pesawat pejuang JAS39 Gripen buatan Sweden disifatkan sebagai frontrunner dalam persaingan di Filipina itu.

Selain pesawat-pesawat MRCA, Tentera Udara Filipina juga telah menyatakan hasrat mereka menambah pegangan pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) terutamanya varian pesawat itu yang lebih berkemampuan.

“Ya,ia adalah opsyen (untuk menambah pesawat FA-50). Pesawat FA-50 adalah pesawat latihan lead-in yang baik malah ia diboleh dikatakan pesawat pejuang pelbagai guna (multi-role) kerana ia boleh melaksanakan operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.”

“Pesawat menyediakan juruterbang dengan peluang latihan yang amat baik sebelum mereka beralih ke pesawat yang lebih canggih,” kata Panglima Tentera Udara Filipina Lt Jeneral Connor Anthony Canlas Sr sebagaimana dipetik oleh Philippine News Agency pada tahun 2022. — DSA

Comments
Loading...