Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Didakwa Berminat Perolehi Peluru Berpandu “BrahMos ALCM” Untuk Su-30MKM

Menurut sebuah laman web pertahanan India yang tidak menyatakan sumber kepada laporannya itu, peluru berpandu BrahMos yang menarik minat TUDM untuk digunakan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM miliknya itu adalah dalam varian Air Launched Cruise Missile (ALCM).

0 8,863

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didakwa telah menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi peluru berpandu “BrahMos” keluaran India untuk digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM miliknya.

Menurut sebuah laman web pertahanan India yang tidak menyatakan sumber kepada laporannya itu, peluru berpandu BrahMos yang menarik minat TUDM untuk digunakan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM miliknya itu adalah dalam varian Air Launched Cruise Missile (ALCM).

Dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 290km, peluru berpandu BrahMos di dalam varian ALCM itu bakal meningkatkan lagi kemampuan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM dalam misi serangan maritim.

TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM dan adalah tulang belakang kepada kekuatannya.

Bagaimanapun menurut laman web pertahanan India itu, usaha mengintergrasi peluru berpandu kruis buatan India itu pada pesawat Su-30MKM itu mungkin memerlukan kerja-kerja modifikasi tambahan berdasarkan pengalaman yang dialami oleh Tentera Udara India (IAF).

BrahMos

Tentera Udara India menurutnya, terpaksa melaksanakan kerja-kerja pengukuhkan struktur terhadap pesawat Su-30MKI sebelum pesawat pejuang itu membawa peluru berpandu kruis Brahmos ALCM yang memiliki berat keseluruhan 2.5 tan.

Memandangkan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM TUDM dan Su-30MKI IAF adalah hampir sama, maka kemungkinan besar TUDM juga terpaksa melaksanakan kerja pengukuhan struktur pada pesawat pejuang Su-30MKM miliknya sebelum ia dibenarkan membawa peluru berpandu kruis BrahMos ALCM dalam tugasannya.

Kerja-kerja pengukuhkan struktur itu melibatkan modifikasi terhadap airframe pesawat bagi membolehkan ia berkemampuan untuk menahan tenaga yang dihasilkan apabila peluru berpandu kruis itu dilancarkan.

Laman web pertahanan India itu menyatakan TUDM berkemungkinan perlu bekerjasama dengan Hindustan Aeronautics Ltd (HAL), sekiranya laporan menyatakan ia berminat memperolehi peluru berpandu kruis BrahMos itu benar-benar menjadi reality.

Ini kerana HAL merupakan pihak yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja modifikasi terhadap pesawat pejuang Su-30MKI bagi membolehkan ia dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis BrahMos ALCM itu.

HAL juga adalah pihak yang bertanggungjawab memasang sebahagian besar daripada pesawat-pesawat Su-30MKI milik Tentera Udara India.

BrahMos
“BrahMos”

 

Sebahagian besar daripada lebih 250 buah pesawat pejuang Su-30MKI milik Tentera Udara India itu dipasang oleh HAL di kemudahannya di India.

Laman web pertahanan India itu juga menyatakan bahawa sekiranya TUDM benar-benar memperolehi peluru berpandu BrahMos ALCM keluaran India, maka ia membuktikan hubungan pertahanan yang lebih erat di antara Kuala Lumpur dan New Delhi.

Pada ketika ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berada di New Delhi untuk lawatan kerjanya selama dua hari ke India.

Semasa di India, Anwar akan bertemu dengan Menteri Luar, Perdana Menteri dan Presiden India.

Beliau dan rakan sejawatannya, Narendra Modi juga akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara syarikat dan agensi-agensi kerajaan kedua-dua negara.

Tidak dapat dipastikan sama ada majlis menandatangani perjanjian itu melibatkan sektor pertahanan.  

Peluru berpandu BrahMos adalah peluru berpandu supersonik kerana ia berkemampuan meluncur pada kelajuan 2.8-3 Mach sama ada dilancarkan oleh kapal perang, kenderaan pelancar bergerak atau pesawat pejuang.

Su-30MKI
Pesawat-pesawat pajuang Su-30MKI India bersama Su-30MKI TUDM dalam latihan bersama.

 

Dengan kelajuan supersonic dan low-signature kepada radar musuh,  BrahMos boleh membedil sasaran sejauh 290km, malah didalam varian extended-range jarak bedilan peluru berpandu itu telah dipertingkatkan kepada kira-kira 350km.

Payload peluru berpandu BrahMos pula adalah sekitar 300kg.

Peluru berpandu BrahMos adalah berdasarkan kepada peluru berpandu “Onyx” yang dibangunkan oleh Russia.

Russia mempunyai hubungan ketenteraan baik dengan India sejak berdekad lamanya.

Malah, BrahMos Aerospace yang membangunkan peluru berpandu BrahMos itu merupakan syarikat usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi enjin ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta daripada sistem pelancar pesisir pantai.

Pada ketika ini, Filipina menjadi negara tunggal di Asia Tenggara yang memiliki sistem peluru berpandu BrahMos apabila ia menandatangani kontrak  kontrak bernilai US$374 juta (RM1.5 bilion) awal tahun lepas dengan Brahmos Aerospace untuk memperolehi sistem peluru berpandu itu dalam varian sistem pelancar pesisir pantai. — DSA

 

Comments
Loading...