Mengapa Eropah “Berlumba-Lumba” Beli Pesawat F-35 Amerika?
Keputusan negara-negara Eropah memilih F-35 buatan Amerika Syarikat itu mungkin lebih kepada pertimbangan geopolitik, berlatarbelakangkan peningkatan ketegangan di benua itu akibat konflik di Ukraine yang kini memasuki lapan bulan.

(DEFENCE SECURTY ASIA) – Pada ketika ini, pesawat pejuang F-35 mendominasi pasaran pesawat pejuang di Eropah dengan negara-negara di benua terbabit “berlumba-lumba” mendapatkan pesawat pejuang keluaran syarikat Lockheed Martin.
Mengapa negara Eropah begitu teruja untuk mendapatkan pesawat pejuang F-35 dan tidak pesawat pejuang yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat pembuat pesawat Eropah?
Keputusan negara-negara Eropah memilih F-35 buatan Amerika Syarikat itu mungkin lebih dengan pertimbangan geopolitik, berlatarbelakangkan peningkatan ketegangan di benua itu akibat konflik di Ukraine yang kini memasuki lapan bulan.

Pembelian peralatan pertahanan bernilai berbilion dollar Amerika seperti pesawat pejuang F-35 dan lain-lain boleh “merapatkan hubungan dan kerjasama” sesebuah negara dengan Washington, sama ada menerusi latihan untuk juruterbang dan aspek penyelenggaraan pesawat.
Mereka juga akan meningkatkan aspek interoperabilti dengan tentera Amerika Syarikat.
Hubungan yang rapat dan kerjasama yang erat sudah pasti akan menjadi deterren kepada Russia daripada bertindak “semberono” terhadap mereka.
Selain aspek geopolitik, keputusan memperolehi pesawat generasi kelima yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu juga berkait-rapat dengan soal ekonomi .
Kos pembelian pesawat generasi kelima adalah lebih rendah daripada kos perolehan pesawat generasi keempat, sebagaimana yang dinyatakan oleh kerajaan Switzerland apabila negara itu membelanjakan US$6.5 bilion (RM26 bilion) untuk memperolehi 36 buah pesawat itu.

Menurut kerajaan Switzerland, kos perolehan dan pengoperasian pesawat F-35 untuk Switzerland juga adalah jauh lebih rendah iaitu kira-kira US$2 bilion berbanding pesaingnya iaitu pesawat Super Hornet, Rafale dan Eurofighter Typhoon.
Kos sejam penerbangan pesawat F-35 pada ketika ini adalah kira-kira US$36,000 (RM144,000) walaupun syarikat Lockheed Martin mahu mengurangkannya lagi kepada US$25,000 (RM100,000)
Comments are closed.