Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Untuk Pastikan Industri Pertahanannya “Bebas”, Turkiye Perlu Bangunkan Enjin Sendiri

Enjin dianggap sebagai komponen terpenting  dan "paling sukar" untuk dibangunkan untuk sesuatu sistem persenjataan dan bagi Ankara, kemampuan menguasai teknologi pembuatan enjin sendiri itu boleh menentukan industri pertahanannya benar-benar bebas dan berdikari daripada cengkaman pihak luar.

0 5,488

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Industri pertahanan Turkiye bukan sahaja menghasilkan pelbagai sistem persenjataan untuk kegunaan dalam dan luar negara, tetapi dalam masa yang sama  ia juga sedang berusaha untuk membangunkan pelbagai jenis enjin untuk sistem itu, bertujuan “membebaskan” pergantungannya kepada negara luar.

Enjin dianggap sebagai komponen terpenting  dan “paling sukar” untuk dibangunkan untuk sesuatu sistem persenjataan dan bagi Ankara, kemampuan menguasai teknologi pembuatan enjin sendiri itu boleh menentukan industri pertahanannya benar-benar bebas dan berdikari daripada cengkaman pihak luar.

Ketika Turkiye mula membangunkan pesawat-pesawat pejuang seperti “Hurkus”,”Hurjet” dan pesawat generasi kelima, KAAN (TF-X), ia juga melihat kemampuan negara itu menghasilkan enjin sendiri yang akan memacu pesawat-pesawat pejuang itu.

Kemampuan menghasilkan enjin buatan sendiri diibaratkan sebagai penentu “hidup dan mati” bagi industri pertahanan Turkiye.

Tusas Engine Industries (TEI) merupakan syarikat yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan GE Aviation serta beberapa pihak tempatan yang lain bagi memastikan negara Mediterranean itu mampu berdikari bagi menghasilkan enjin sama ada untuk pesawat atau peluru berpandu.

Enjin
Enjin TEI-TF10000

 

TEI bermula dengan menghasilkan enjin GE F110 secara berlesen yang digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Turki yang dihasilkan secara berlesen di dalam negara.

Ia juga menghasilkan secara berlesen enjin-enjin yang digunakan oleh helikopter T-70 (varian tempatan untuk helikopter S-70) dan LHTEC yang digunakan oleh helikopter penyerang T129 ATAK yang dibangunkan oleh TAI.

Enjin-enjin yang dibangunkan oleh TEI amat penting kerana ia digunakan oleh pelbagai roket dan peluru berpandu yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat pertahanan Turkiye untuk pasaran dalam dna luar negara.

Kini syarikat TEI sedang membangunkan enjin turbofan paling berkuasa pernah dihasilkannya iaitu TEI-TF10000 yang merupakan varian enjin turbofan terdahulu iaitu TEI-TF6000.

Enjin turbofan TEI-TF10000 yang diperkenalkan pada Disember tahun lepas itu dibangun untuk memberikan 10,000 pound kuasa tujahan.

Enjin
Enjin TEI-TF10000

 

Enjin TEI-TF10000 direkabentuk untuk digunakan oleh pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma” yang dibangunkan oleh syarikat pembuat dron terkenal negara itu, Baykar Technology dan beroperasi daripada kapal perang terbesar negara itu, TCG Anadolu.

Selain itu, enjin itu juga digunakan untuk bot-bot penyerang laju, loji janakuasa, pesawat-pesawat komersial.

Enjin itu berkemampuan memberikan jalan penyelesaian kepada helikopter ATAK-2.

Enjin TEI-TF10000 yang dibangunkan oleh TEI itu merupakan suatu pencapaian teknologi yang penting bagi Turkiye dalam usahanya untuk merekabentuk dan membangunkan enjin untuk pesawat pejuang  generasi kelimanya, KAAN.

Enjin TEI-TF10000 itu adalah asas kepada pembangunan enjin buatan tempatan yang bakal melengkapkan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN.

Kizilelma
Pesawat pejuang tanpa pemandu Turki “Kizilelma” ketika melakukan penerbangan sulungnya pada Disember tahun lepas.

 

Bagaimanapun pesawat-pesawat prototaip KAAN menggunakan enjin GE F110, tetapi pesawat produksi bersiri itu akan menggunakan enjin tempatan.

Turkiye enggan melalui satu lagi episod malang sebagaimana yang berlaku dua tahun lepas apabila negara itu gagal menjual 30 buah helikopter penyerang T129 ATAK kepada Pakistan, walaupun kedua-dua negara telah mencapai persetujuan mengenainya.

Ia gagal menjual helikopter penyerang itu kepada Pakistan kerana Amerika Syarikat enggan memberikan kelulusan eksport bagi enjin LHTEC  T800-4A  yang digunakan oleh helikopter penyerang buatan Turkiye  itu.

Helikopter penyerang T129 ATAK menggunakan dua enjn dan merupakan helikopter penyerang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) berdasarkan kepada helikopter Agusta A129 Mangusta buatan syarikat Agusta-Westland.

Helikopter penyerang T129 ATAK menggunakan enjin yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Honeywell dan Rolls-Royce daripada United Kingdom.

KAAN
KAAN

 

 Turkiye dan Pakistan menandatangani perjanjian bernilai US$1.5 bilion (RM6 bilion) pada 2018 untuk memperolehi 30 buah helikopter penyerang berkenaan dan disebabkan oleh sekatan eksport enjin itu, Ankara gagal meneruskan penjualan helikopter itu kepada Islamabad.

Pembangunan enjin sendiri boleh mengelak episod hitam itu berulang.

Sekatan daripada pihak Amerika itu berpunca daripada pembelian sistem pertahanan udara S-400 oleh Turkiye daripada Russia.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat memberikan lesen eksport enjin apabila Turkiye menjual enam buah helikopter T129 ATAK kepada Filipina, memandangkan Manila merupakan sekutu utamanya. — DSA

apps

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...