Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Bakal Guna Enjin Ukraine Bagi Helikopter Penyerang Beratnya T929 “ATAK 2”

Tindakan itu dipercayai kerana Amerika Syarikat enggan membekalkan enjinnya (LHTEC) bagi penjualan helikopter ATAK T-129 buatan Turki kepada Pakistan.

0 2,300

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pertahanan Turkish Aerospace Industries (TAI), yang sedang membangunkan helikopter penyerang terbaru dipanggil “ATAK 2” (T-929), memutuskan untuk menggunakan enjin buatan Ukraine bagi helikopter penyerang terbarunya.

TAI sedang membangunkan helikopter ATAK-2, adalah helikopter ketegori berat (heavy attack helicopter) seberat 11 tan yang dijangka memulakan penerbangan sulungnya pada 2023. ATAK 2 dijangka bersaing dengan helikopter penyerang buatan Amerika Syarikat AH-64D “Apache.”

ATAK 2
Helikopter T929 ATAK 2

 

Perkara itu disahkan oleh pengerusi TAI Temel Kotil baru-baru ini yang mengatakan syarikat akan membeli enjin itu daripada Ukraine bagi projek helikopter penyerang terbarunya, ATAK 2 dan tidak akan menggunakan enjin buatan Amerika.

Helikopter ATAK 2 mempunyai berat 11 tan dan mampu membawa 1.5 tan senjata, ia akan dilengkapi dengan dua enjin yang memberikan 2,500 kuasa kuda.

Dengan kepelbagaian senjata yang mampu dibawanya, helikopter ATAK 2 itu mampu melaksanakan pelbagai misi seperti air-to-ground combat, air-to-air combat, armed reconnaissance dan surveillance, close air support (CAS), armed escort atau joint offensive operations.

Pemilihan enjin buatan Ukraine untuk helikopter penyerangnya yang terbaru itu berkemungkinan besar berpunca daripada tindakan Amerika Syarikat yang enggan membekalkan enjinnya (LHTEC) bagi penjualan helikopter ATAK T-129 buatan Turki kepada Pakistan.

ATAK
Helikopter ATAK T-129.

 

Jurucakap presiden Turki, Ibrahim Kalin mengesahkan keputusan Amerika yang enggan memberikan kelulusan eksport bagi enjin LHTEC yang digunakan oleh helikopter bersaiz sederhana buatan Turki itu.

Helikopter ATAK T-129 menggunakan dua enjin, merupakan helikopter penyerang berdasarkan kepada helikopter Agusta A129 Mangusta.

Turki dan Pakistan menandatangani perjanjian bernilai US$1.5 bilion pada 2018 untuk memperolehi helikopter berkenaan.

Sekatan daripada pihak Amerika itu berpunca daripada pembelian sistem pertahanan udara S-400 oleh Turki daripada Russia.

Helikopter ATAK T-129 itu dibangunkan oleh syarikat TAI dengan kerjasama Agusta-Westland.

Berikutan sekatan daripada pihak Amerika ini, Pakistan dipercayai sedang menimbangkan untuk membeli helikopter Z-10 yang dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) daripada China.

Turki dan Pakistan dijangka akan membatalkan perjanjian itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...