Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Akhirnya, Thailand “Terpaksa” Juga Guna Enjin China Pada Kapal Selam Pertamanya

Laporan terkini daripada Bangkok Post mengatakan bahawa jawatankuasa Tentera Laut Diraja Thailand diketuai oleh ketua staffnya Laksamana Chonlathis Navanugraha dikatakan secara tidak rasmi telah memperakui supaya enjin buatan China itu digunakan pada kapal selam pertama Thailand.

0 5,192

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Secara tidak rasmi, Tentera Laut Diraja Thailand telah bersetuju supaya kapal selam pertamanya akan menggunakan enjin buatan China dan bukan enjin Jerman sebagaimana yang telah dipersetujui dalam kontrak perjanjian yang dimeterai enam tahun lalu.

Kapal selam pertama Thailand itu sedang dibina di China.

Mengikut perjanjian asal di antara Bangkok dan Beijing pada 2017, kapal selam S26T kelas-Yuan milik Thailand itu sepatutnya menggunakan enjin diesel MTU 396 buatan Jerman tetapi China gagal memenuhi syarat kontrak itu disebabkan sekatan oleh Kesatuan Eropah.

S-26T
Kapal selam buatan China sepatutnya diterima oleh Thailand pada 2024.

 

Disebabkan kegagalan memenuhi syarat kontrak itu, Beijing menawarkan untuk melengkap kapal selam Thailand itu dengan enjin CHD 620 buatan China sendiri.

Bangkok pada mulanya berkeras mahukan kapal selam pertamanya itu dilengkapkan dengan enjin buatan Jerman sebagaimana dipersetujui dalam kontrak dan enggan menerima enjin buatan China, seperti disyorkan oleh Beijing.

Namun laporan terkini daripada Bangkok Post mengatakan bahawa jawatankuasa Tentera Laut Diraja Thailand diketuai oleh ketua staffnya Laksamana Chonlathis Navanugraha dikatakan secara tidak rasmi telah memperakui supaya enjin buatan China itu digunakan pada kapal selam pertama Thailand.

Sekiranya kerajaan Thailand bersetuju dengan cadangan jawatankuasa itu, maka ia terpaksa menunggu tambahan 40 bulan lagi sebelum ia menerima kapal selam pertamanya itu.

Thailand sepatutnya menerima kapal selamnya yang pertama pada tahun lepas, tetapi disebabkan COVID-19, tarikh penerimaan itu telah dianjakkan kepada tahun depan.

Kini ia terpaksa menunggu 40 bulan lagi untuk kapal selam pertamanya.

Kapal Selam
Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha beri amaran akan batal perjanjian pembelian kapal selam dari China. (Bangkok Post)

 

Sebelum ini, Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Choengchai Chomchoengpaet mengatakan bahawa mereka boleh menerima enjin buatan China tetapi ia mestilah bersyarat.

“Kami mempunyai tiga syarat yang perlu dipertimbangkan – pertama bahawa enjin (buatan China) itu perlulah selamat. Kedua, Tentera Laut China perlu memberikan jaminan enjin yang akan dipasang pada kapal selam Thailand.”

“Ketiga, perlu ada pampasan terhadap kelewatan berikutan pertukaran enjin itu. Ini adalah syarat-syarat yang penting dalam keputusan sama ada kontrak itu akan diteruskan atau dibatal,” kata beliau.

Thailand dikatakan telah meminta “bantuan” daripada Pakistan untuk mendapatkan maklumat terkini dan terperinci berkenaan enjin kapal selam buatan China yang digunakan oleh tentera laut negara Asia Selatan itu.

Torpedo
Torpedo yang akan digunakan oleh kapal selam Thailand. (gambar internet)

 

Tentera Laut Thailand mahu mengetahui dengan lebih lanjut daripada Pakistan tentang kualiti enjin buatan China yang melengkapkan lapan buah kapal selam kelas-Yuan digunakannya.

Kelapan-lapan buah kapal selam kelas-Yuan buatan China dimiliki oleh Tentera Laut Pakistan adalah sama dengan kapal selam yang dibeli oleh Thailand, tetapi pembinaan masih tergantung sehingga kini disebabkan isu enjin.

Thailand dipercayai masih “was-was” dengan kualiti dan prestasi enjin buatan China yang bakal digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan “S26T” miliknya, menyebabkan ia memohon maklumat terperinci mengenainya daripada Pakistan. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...