Akhirnya…Kapal Penceroboh China “Da Yang Hao” Tinggalkan Perairan Malaysia
Data daripada aplikasi pengesanan kapal menunjukkan bahawa kapal seberat 4,600 tan milik China itu itu kini dalam perjalanan menuju ke arah utara, lebih dari 200 batu nautika di bahagian barat Filipina.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal penyelidik China, Da Yang Hao, dilaporkan telah meninggalkan perairan Malaysia, kira-kira dua minggu selepas Kementerian Luar atau Wisma Putra memanggil duta besar China bagi membantah tentang pencerobohan kapal miliknya itu.
Data daripada aplikasi pengesanan kapal menunjukkan bahawa kapal seberat 4,600 tan milik China itu itu kini dalam perjalanan menuju ke arah utara, lebih dari 200 batu nautika di bahagian barat Filipina.
“Sukar untuk mendapatkan kepastian mengenai keputusan China berbuat demikian,” kata Sharihman Lockman, penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).
“Da Yang Hao jelas berada di sana sebagai suatu bentuk protes terhadap aktiviti minyak dan gas Malaysia, oleh itu China mungkin beranggapan bahawa ia telah pun berbuat demikian dan memutuskan untuk berlayar pergi,” katanya kepada Benar News.
Sejak akhir September, kapal Da Yang Hao beroperasi di kawasan perairan yang merangkumi zon ekonomi eksklusif (EEZ) tiga negara – Brunei, Malaysia dan Filipina.
Pada satu ketika, jaraknya hanyalah 40 batu nautika dari Pulau Balabac di Filipina dan 60 batu nautika dari pesisir pantai Malaysia.
Pada 4 Oktober, Kementerian Luar Malaysia menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia telah memanggil Duta Besar China, Ouyang Yujing, untuk membantah “keberadaan dan aktiviti” kapal-kapal China di perairan Malaysia.
Antaranya ialah kapal penyelidik Da Yang Hao, yang berulang alik di luar pesisir pantai timur Sabah dan Sarawak.
Kapal pertama dilihat muncul buat pertama kalinya di kawasan itu antara 25 hingga 26 September, tidak lama selepas pesawat-pesawat tentera Malaysia mengadakan latihan udara dengan pesawat pengebom B-52 Tentera Udara Amerika Syarikat di Selat Melaka.
Kementerian Luar Malaysia menyatakan aktiviti “Da Yang Hao” itu “adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.”
UNCLOS mentakrifkan EEZ sebagai berada dalam jarak 200 batu nautika (370 kilometer) dari pantai, dan memberikan hak kepada negara pesisir itu untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber-sumber semula jadi di kawasan itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar itu, Malaysia “juga membantah pencerobohan kapal-kapal asing lain dalam perairan kita sebelum ini.”
Malaysia sentiasa berhati-hati dalam berurusan dengan China yang merupakan rakan dagang terbesarnya, tetapi kata-kata kerasnya kali ini menunjukkan bahawa kepemimpinan Malaysia berasa tertekan untuk menunjukkan sikap yang lebih tegas terhadap peningkatan sikap agresif Beijing di Laut China Selatan.
Sharihman berkata beliau tidak pasti sama ada bantahan Malaysia itu “menjadi penentu dalam hal ini, tetapi ia mungkin dibantu dengan menghebahkan perbuatan China itu.”
Dalam kejadian serupa pada tahun lalu, kapal peninjau lain China, Haiyang Dizhi 8, hanya meninggalkan perairan itu selepas sebulan memantau kapal penggerudi “West Capella” milik Seadrill yang berpengkalan di London tetapi dikontrak oleh syarikat milik kerajaan, Petronas.
Sebuah lagi kapal peninjau China, Haiyang Dizhi 10, berada di kawasan minyak dalam EEZ Indonesia di Laut Natuna sejak akhir Ogos dan masih berada di sana pada Isnin.
Kapal-kapal China sering muncul tanpa diundang di perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, terutamanya ketika adanya kegiatan mencari gali minyak dan gas oleh negara jiran dan sekutunya.
Kapal-kapal tentera laut dari A.S., U.K. dan negara-negara lain telah melakukan eksesais dan kunjungan ke pelabuhan-pelabuhan di kawasan Indo-Pasifik, dengan yang terbaru adalah latihan dua minggu yang dikenali sebagai Bersama Gold 2021.
China menuntut “hak bersejarah” di hampir 90 peratus Laut China Selatan, yang kaya dengan sumber-sumber minyak, gas dan perikanan itu.
Kawasan itu turut dituntut sebahagiannya oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Negara-negara Asia Tenggara dan China sedang membincangkan mengenai apa yang dikenali sebagai Kod Tata Laku di Laut China Selatan, dalam usaha menyelesaikan perselisihan secara aman dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Para pakar menyatakan bahawa kesepakatan itu tidak mungkin dicapai dalam waktu terdekat ini kerana ia melibatkan kepentingan pihak-pihak yang saling bertikai itu.
Comments are closed.