Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

6 Syarikat Bida Bekal 18 Pesawat FLIT/LCA Kepada TUDM Bernilai RM4 Bilion

Kontrak bagi pembelian 18 buah pesawat FLIT/LCA itu dipercayai menelan belanja RM4 bilion, dengan separuh daripada kos itu dibayar menerusi timbal-balas komoditi seperti kelapa sawit dan produk kelapa sawit.

0 12,117

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Enam syarikat pembuat pesawat pejuang dipercayai telah mengemukakan bidaan untuk membekalkan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Akhbar The Edge dalam laporannya mengatakan kontrak bagi pesawat-pesawat itu dipercayai bernilai RM4 bilion dengan kerajaan akan membayar separuh daripada kos pembelian itu atau kira-kira RM2 bilion menerusi timbal-balas komoditi kelapa sawit atau produk kelapa sawit.

“Sembilan syarikat memperolehi dokumen tender dengan Request For Proposal pada Julai dan enam bidaan telah diterima menjelang tarikh penutupan tender pada 6 Oktober yang lalu,” menurut sumber yang enggan didedahkan kepada akhbar The Edge dalam edisi mingguannya.

Menurut sumber itu lagi, selepas pesanan untuk 18 pesawat yang pertama itu selesai, terdapat kemungkinan kerajaan akan memesan 18 buah pesawat FLIT/LCA tambahan yang menjadikan kontrak TUDM itu amat lumayan kepada pemenangnya.

Tender pada 18 buah pesawat FLIT/LCA yang pertama dipercayai menelan belanja RM4 bilion dengan syarikat akan menambah RM4 bilion lagi pesanan untuk pesanan 18 buah pesawat tambahan.

FLIT
Pesawat L-15 buatan China

 

Keseluruhannya, syarikat pemenang itu berpeluang memenangi tender untuk membekalkan keseluruhannya 36 pesawat pejuang FLIT/LCA bernilai RM8 bilion yang akan dihantar dalam dua peringkat iaitu 18 buah bagi peringkat pertama dan 18 buah dalam peringkat kedua.

Akhbar itu juga menyatakan bahawa ia difahamkan bahawa ini adalah kali pertama perolehan pesawat tentera dilakukan secara tender terbuka, dengan perolehan sebelum ini dilakukan secara urusan kerajaan dengan kerajaan.

Ia juga berkata bahawa pesaing-pesaing bagi kontrak Malaysia itu adalah Korea Aerospace Industries (KAI) yang bekerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd untuk menawarkan to pesawat F/A- 50,  Turkey Aerospace Industries, menawarkan pesawat LCA, Hürjet dan China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC) yang menawarkan pesawat L-15.

Sementara itu syarikat Itali, Leonardo menawarkan pesawat M-346 planes manakala Hindustan Aeronautics Ltd daripada India pula menawarkan pesawat Tejas dan Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd — yang 71.43 peratus daripadanya dikuasai oleh National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) milik Tan Sri Ahmad Johan, 23 peratus oleh syarikat bernama, Russian Aircraft dan 4.76 peratus oleh Rosoboronexport pula menawarkan pesawat MIG -35.

Apa yang menarik menurut akhbar itu adalah, Pakistan yang dikatakan antara pesaing utama untuk memenangi kontrak Malaysia itu menerusi pesawat JF-17 Thunder tidak menyertai tender lumayan itu.

Pesawat JF-17 Thunder itu adalah usahasama di antara syarikat Pakistan dan China.

Pengumuman tentang syarikat mana yang memenangi tender Malaysia itu dijangka akan diumumkan seawal-awalnya pada akhir bulan Mac atau awal April tahun depan.

Menurut akhbar itu lagi, di antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat pemenang tender itu adalah – mereka perlu menghantar pesawat-pesawat FLIT/LCA itu secara berperingkat 36 bulan selepas kontrak ditandatangani.

Pesawat-pesawat FLIT/LCA itu juga perlu mempunyai kemampuan air-to-air refuelling (AAR), peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) dan kelajuan supersonik.

FLIT
Pesawat MiG-35 buatan Russia.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...