Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Tentera Singapura Tingkatkan Kekerapan Pencerobohan – Dakwa Ahli Parlimen

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mendakwa pesawat-pesawat tentera Singapura dikesan melakukan penerbangan rendah di kawasan-kawasan parlimen Tebrau dan Pasir Gudang.

0 3,308

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat tentera Singapura didakwa meningkatkan kekerapan pencerobohan mereka terhadap ruang udara negara ini di Johor sejurus selepas kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bagi melakukan semakan semula undang-undang terhadap kes membabitkan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang membuat dakwaan itu berkata, pesawat-pesawat tentera Singapura dikesan melakukan penerbangan rendah di kawasan-kawasan parlimen Tebrau dan Pasir Gudang.

“Kekerapan penerbangan-penerbangan rendah oleh pesawat-pesawat tentera Singapura meningkat selepas kerajaan menubuhkan pasukan petugas tentang semakan semula undang-undang terhadap kes membabitkan Pulau Batu Puteh.”

— Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim 

Beliau juga meminta kerajaan mengambil tindakan tegas berkenaan perkara ini.

Hassan yang merupakan seorang peguam dan aktivis berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan parlimen Tebrau dan Pasir Gudang tentang pencerobohan pesawat-pesawat tentera Singapura pada bulan ini.

Hassan
Ahli Parllimen Pasir Gudang Hassan Karim

 

“Mereka (penduduk tempatan) mengadu sering terlihat pesawat-pesawat tentera Singapura sering melakukan penerbangan-penerbangan rendah di kawasan-kawasan yang terletak bersebelahan dengan republik itu,” katanya.

 Kawasan-kawasan itu antaranya melibatkan Kampung Pasir Putih, Taman Scientex, Taman Air Biru dan Taman Cendana.

“Sebagai anggota Parlimen Pasir Gudang, saya meminta kerajaan pusat dan kerajaan negeri Johor supaya mengambil maklum tentang dakwaan insiden-insiden itu (pencerobohan pesawat-pesawat tentera Singapura).”

“Saya juga meminta Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan pencerobohan oleh pesawat-pesawat asing di ruang udara negara,” kata beliau.

Penubuhan pasukan petugas khas tentang Pulau Batu Puteh itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sebenarnya, dakwaan tentang pencerobohan pesawat-pesawat tentera Singapura terhadap ruang udara negara di Johor bukan asing dan telah berlaku sejak dahulu lagi, tetapi mungkin kerajaan mengambil pendekatan tidak mahu “mengheboh-hebohkan” perkara ini untuk menjaga hubungan baik antara kedua negara.

Sebenarnya, Malaysia sahaja yang mengambil pendekatan tidak mengembar-gemburkan isu dakwaan pencerobohan pesawat-pesawat tentera Singapura ini, tetapi tidak bagi kerajaan republik itu.

Sebagai contoh, kita lihat insiden pada 11 September lepas apabila republik itu telah mengerahkan (scrambled) dua buah pesawat pejuang F-16 dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 dan AIM-120 selepas sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan terbang di ruang udara Pulau Tekong, republik itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat penerbangan helikopter miliknya di ruang udara berhampiran Singapura pada waktu itu untuk tujuan penugasan rasmi.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa udara Singapura tidak memaklumkan PDRM tentang sebarang insiden penerbangan helikopter tersebut telah memasuki ruang udara republik berkenaan.

Insiden dakwaan pencerobohan sebuah helikopter PDRM itu terpapar di dada akhbar-akhbar dan media Singapura.

Batu Puteh
Batu Puteh kini menjadi milik Singapura.

 

Pada 2018 juga terdapat laporan serta video yang memaparkan dakwaan bahawa dron dan helikopter Tentera Udara Singapura menceroboh ruang udara Malaysia di Selat Johor.

Rakaman video yang tular di laman sosial memaparkan sebuah helikopter penyerang AH-64 Apache milik tentera udara republik berlegar dikawasan perairan negara bertujuan untuk menganggu pergerakan kapal-kapal milik agensi Malaysia.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...