Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Britain Hentikan Rondaan Di Perairan Pulau Falklands Kerana “Kekurangan” Kapal Perang

Disebabkan kekurangan kapal-kapal perang itu, terdapat kebimbangan bahawa Argentina akan mengulangi pencerobohannya pada 1982 terhadap pulau yang terletak di selatan Lautan Atlantik dan seterusnya mencetuskan peperangan kedua dengan Britain.

0 2,277

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan kekurangan kapal perang, Tentera Laut British tidak lagi mengerahkan kapal-kapal perang utamanya untuk melakukan rondaan di sekitar Pulau Falklands yang pernah menjadi punca kepada peperangan di antara Britain dengan Argentina.

Disebabkan kekurangan kapal-kapal perang itu, terdapat kebimbangan bahawa Argentina akan mengulangi pencerobohannya pada 1982 terhadap pulau yang terletak di selatan Lautan Atlantik dan seterusnya mencetuskan peperangan kedua dengan Britain.

Peperangan yang berlaku di antara kedua-dua negara pada 1982 itu berlangsung selama 74 hari dan menyebabkan 640 anggota tentera Argentina dan 250 anggota tentera British terbunuh.

Kini disebabkan ketiadaan rondaan oleh kapal-kapal perang utama Tentera Laut British dan pemodenan tentera oleh Argentina, terdapat kebimbangan dikalangan penduduk United Kingdom bahawa Pulau Falklands kini bakal diceroboh sekali lagi oleh tentera negara Amerika Selatan itu.

Buenos Aires bercadang memodenkan angkatan tenteranya dengan memperolehi 24 buah pesawat pejuang F-16 terpakai daripada Denmark, kapal-kapal perang terpakai daripada Perancis, pesawat peronda maritim dan juga kapal-kapal selam daripada Jerman.

Falklands
Sebuah kapal perang British di luar Pulau Falklands

 

Presiden Argentina yang baru Javier Milei telah pun menyatakan sebelum ini bahawa kedaulatan Pulau Falklands itu tidak boleh dirundingkan.

Beliau berkata akan menggunakan saluran diplomatik bagi memaksa Britain “mengembalikan” Pulau Falklands kepada Argentina yang memanggil pulau itu Isla Malvinas.

Menurut laporan daripada media-media British,  Pulau Falklands tidak menerima sebarang kunjungan daripada kapal-kapal perang negara itu sejak tujuh tahun lepas, walaupun terdapat dasar kerajaan Britain menghendaki kapal-kapal perang utama negara itu melakukan rondaan di pulau itu.

Pada ketika ini, Tentera Laut British hanya menempatkan sebuah kapal ronda kecil HMS Forth dan empat buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon di Pulau Falklands untuk melakukan rondaan di perairan dan ruang udara pulau milik British itu.

Kapal peronda HMS Forth hanya dilengkapi dengan sistem persenjataan meriam 30mm manakala sebuah daripada empat pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu tidak beroperasi, berkemungkinan akibat masalah penyelenggaraan.

Falklands
HMS Forth

Falklands

Sebelum ini, rondaan di sekitar kawasan  perairan Pulau Falklands dilakukan oleh kapal-kapal daripada kelas friget atau destroyer yang dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal dan peluru berpandu anti-pesawat.

Sumber Tentera Laut British memberitahu akhbar Telegraph bahawa, tentera laut mengalami kekurangan kapal-kapal perang utama dan jika keadaan keselamatan di Pulau Falklands itu menjadi semakin buruk mereka akan melihat isu itu kembali.

Pada ketika sebanyak 11 buah kapal friget Tentera Laut British terlibat dengan pelbagai operasi termasuk dua buah kapal yang akan ditamatkan perkhidmatannya akibat kekurangan anggota.

Kapal-kapal perang daripada Type 31 dan Type 26 akan hanya ditauliahkan dan mula memasuki perkhidmatan Tentera Laut British pada akhir tahun 2020-an. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com  

Comments
Loading...