Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Boustead Beri Kerjasama Pada SPRM Dalam Siasatan Projek LCS RM9 Bilion

Semalam, SPRM menahan seorang broker bagi membantu siasatan berhubung mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu dianggarkan bernilai RM 24 juta berkaitan kontrak perolehan enam buah kapal LCS. Ia menyusuli penahanan dua CEO beberapa hari lepas.

0 2,985

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain dalam apa-apa siasatan berkenaan projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion.

“Kami menentang segala bentuk rasuah dan akan terus menangani isu yang ditonjolkan oleh auditor dalaman dan luaran serta memenuhi jangkaan oleh pihak lembaga pengarah kami dan pemegang taruh kerajaan,” kata BHIC dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat juga akan bekerjasama rapat dan telus dengan kerajaan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pihak-pihak lain termasuk vendor dan kontraktor di dalam 12 bulan akan datang ini dalam mencari jalan untuk memastikan projek LCS dapat dilaksanakan dengan baik.

Pada November tahun lepas, BHIC telah membuat laporan di SPRM bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam projek LCS itu.

Semalam, pihak SPRM menahan seorang broker bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta berkaitan kontrak perolehan enam buah kapal LCS.

LCS
Kapal LCS TLDM.

 

Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.

Penahanan broker semalam itu menyusuli penahanan  dua orang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal perang itu beberapa hari lepas.

Kedua-dua mereka berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.

kapal LCS
Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap. (tak tahu bila)

 

Jurucakap SPRM, berkata kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

“Seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek itu,” katanya.

Difahamkan dengan penahanan itu SPRM menemui petunjuk baharu untuk terus melakukan siasatan terhadap kontrak perolehan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard.

LCS
Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

 Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya akan dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun 2025, iaitu kira-kira 12 tahun selepas projek pembinaan kapal-kapal perang tercanggih TLDM itu bermula.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen akhir tahun lepas.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS (sekarang Naval Group) daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

 

Comments
Loading...