Bakal Beroperasi Dari Kapal Pengangkut Dron Pertama Dunia, UCAV Bayraktar TB3 Lakukan Penerbangan Sulung
Bersama-sama pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma”, Bayraktar TB3 akan menjadi aset utama yang akan beroperasi daripada kapal pengangkut dron pertama dunia, TCG Anadolu, bagi memberikan kemampuan kepada Turkiye untuk beroperasi jauh daripada sempadan maritimnya, selari dengan aspirasi negara Mediterranean itu untuk menjadi pemain utama di dalam hal-ehwal serantau.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bersempena dengan ulangtahun ke 100 tahun Turkiye, Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) terbaru negara itu, Bayraktar TB3 yang akan beroperasi daripada kapal pengangkut dron pertama dunia, TCG Anadolu telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya baru-baru ini.
Dengan panjang melebihi 250 meter dan berat 27,000 tan, TCG Anadolu merupakan kapal Landing Helicopter Deck (LHD) tetapi telah diubahsuai untuk menjadi kapal pengangkut dron yang pertama dunia.
Kapal terbesar di dalam Tentera Laut Turkiye, telah ditauliahkan pada April lalu.
Ketua Pegawai Teknologi Baykar Technology Selcuk Bayraktar mengesahkan penerbangan sulung UCAV Bayraktar TB3 itu yang merupakan varian terkini kepada Bayraktar TB2 yang terkenal di seluruh dunia berikutan prestasi memberangsangkannya di beberapa konflik di dunia termasuk di Ukraine dan Nagorno-Karabakh.
“Pada ulangtahun ke-100 Turkiye, UCAV Bayraktar TB3 telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya, “ kata beliau menerusi video di dalam platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
UCAV Bayraktar TB3 itu dijangka akan memulakan produksi besar-besaran pada tahun hadapan dan memulakan operasi di atas kapal TCG Anadolu pada tahun yang sama.
UCAV terkini, Bayraktar TB3 yang merupakan dron STOL (Short Take-off and Landing) itu telah melakukan penerbangan sulungya di Corlu Flight Training and Test Center.
Ia adalah UCAV yang memiliki sayap yang boleh dilipat bagi membolehkannya muncul sebagai dron pertama di dunia yang boleh terbang dan mendarat daripada atas kapal.
Selain beroperasi daripada kapal pengangkut pesawat, dron STOL itu juga berkemampuan beroperasi daripada landasan-landasan darat yang pendek (short runways) di mana-mana lokasi sama ada di bandar-bandar besar atau di kawasan pedalaman.
Bersama-sama pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma”, Bayraktar TB3 akan menjadi aset utama yang akan beroperasi daripada kapal TCG Anadolu, memberikan kemampuan kepada Turkiye untuk beroperasi jauh daripada sempadan maritimnya.
Ia selari dengan aspirasi Turkiye untuk menjadi pemain utama di dalam hal-ehwal serantau.
Pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma” yang telah melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun lepas itu berkeupayaan melaksanakan pelbagai misi dan operasi termasuk Close Air Support (CAS), serangan peluru berpandu, Suppression of Enemy Air Defenses (SEAD) dan Destruction of Enemy Air Defenses (DEAD).
Kapal LHD TCG Anadolu itu sepatutnya mengoperasikan pesawat pejuang generasi kelima F-35B (VSTOL –Vertical Short Take Off and Landing) yang bakal dimiliki oleh Turkiye.
Namun disebabkan keputusan Turkiye untuk memiliki sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia, maka Amerika Syarikat telah bertindak mengeluarkan Ankara daripada senarai negara pengguna pesawat F-35 itu.
Berhadapan dengan keputusan Amerika itu, Turkiye telah mengubahsuai peranan kapal TCG Anadolu itu dan menjadikannya sebagai kapal pengangkut dron pertama dunia.
Sejak Turkiye menjadikan TCG Anadolu sebagai kapal pengangkut dron pertama dunia, banyak negara-negara lain di seluruh dunia mula mengikut jejak langkah Ankara itu.
Mengenai spesifikasi teknikal UCAV Bayraktar TB3 pula, UCAV terkini itu mempunyai panjang sayap 14 meter manakala panjang badannya adalah 8 meter.
Maximum Take-off Weight (MTOW) UCAV itu adalah 1,450kg dan menggunakan enjin PD170 172-kuasa kuda, Bayraktar TB3 mempunyai kemampuan untuk terbang sejauh 2,000km dan tempoh operasi selama 24 jam tanpa henti.
Ia mempunyai enam hardpoint dibawah sayapnya bagi membolehkannya membawa pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu pandu anti-kereta kebal, roket berpanduan laser serta bom-bom pintar.
Selain menjalankan tugas-tugas serangan, UCAV Bayraktar TB3 itu juga berperanan sebagai aset Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) dengan sistem komunikasi Beyond-Line-Of-Sight (BLOS) miliknya. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com