Tentera Laut Turki Terima Kapal Perang Terbesarnya “TCG Anadolu”
Kapal “TCG Anadolu” yang akan memainkan peranan sebagai pusat pemerintahan dan melaksanakan misi-misi seperti amfibia dan kemanusiaan serta bakal menjadi simbol kepada aspirasi Tentera Laut Turki untuk menjadi kuasa maritim di Mediterranean dan Eropah.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas kira-kira sembilan tahun dibina, Tentera Laut Turki akhirnya akan menerima secara rasmi kapal perang terbesarnya, Landing Helicopter Dock (LHD)/Amphibious Assault Ship “TCG Anadolu” seberat 27,000 tan pada hari ini (10 April 2023).
Kapal “TCG Anadolu” yang akan memainkan peranan sebagai pusat pemerintahan dan melaksanakan misi-misi seperti amfibia dan kemanusiaan serta bakal menjadi simbol kepada aspirasi Tentera Laut Turki untuk menjadi kuasa maritim di Mediterranean dan Eropah.
Kapal itu yang baru sahaja selesai menjalani ujian “Sea Acceptance Test” akan diserahkan kepada Pemerintahan Tentera Laut Turki.
Dibina di Sedef Shipyard di Istanbul, kapal TCG Anadolu ini memiliki sekurang-kurangnya 70 peratus komponen tempatan walaupun rekabentuk kapal itu dilakukan di luar negara.
Rekabentuk kapal perang terbaru tentera laut Turki itu adalah sama dengan rekabentuk kapal LHD Tentera Laut Sepanyol, “Juan Carlos.”
Kapal perang terbaru Tentera Laut Turki itu memiliki kelajuan maksimum 21 knot dengan radius operasi 9,000 Batu Nautika
Ia juga dilengkapi dengan SMART-S Mk.2 S-band 3D radar, SPN-720 Naval Precision Approach Radar, GENESIS-ADVENT Combat Management System, IRST, IFF, TDL, VMF, SATCOM, LWR, DDS dan Torpedo Defense System.
Sistem persenjataannya termasuk Rolling Airframe Missile (RAM), Phalanx CIWS, and Aselsan STOP RCWS.
“TCG Anadolu” berkemampuan membawa satu battalion anggota tentera dengan segala kelengkapan mereka dan beroperasi untuk suatu tempoh tertentu tanpa perlu mempunyai pangkalan di daratan.
Ia juga boleh membawa sehingga 30 buah kereta perisai (beroda) atau 45 buah kereta kebal, manakala hangarnya boleh menempatkan sehingga 12 buah helikopter sederhana pelbagai jenis.
Bagaimanapun bilangan helikopter itu boleh ditambah jika ia ditempatkan di dek.
“TCG Anadolu” itu pada mulanya dijadualkan membawa pesawat-pesawat generasi kelima F-35B (Vertical Short Take Off and Landing), tetapi apabila Turki dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang buatan syarikat Lockheed Martin, maka negara Mediterranean itu merancang untuk menempatkan pesawat-pesawat tanpa pemandu di atas kapal itu.
Turki dikeluarkan daripada program F-35 itu selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.
“TCG Anadolu” dijangka membawa 80 buah pesawat tanpa pemandu termasuk Bayraktar TB3 dan pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma”, kedua-duanya dibangunkan oleh syarikat Baykar Technology.
Dron terbaru Bayraktar TB3 itu dilengkapkan dengan sayap yang boleh dilipat bagi menjimatkan ruangan ketika ia tidak beroperasi.
Menurut maklumat yang diberikan oleh syarikat Baykar, walaupun daripada segi luarannya ia adalah sama seperti Bayraktar TB2, namun daripada fungsinya ia adalah lebih berkemampuan dengan varian terdahulu.
Ia juga adalah lebih besar berbanding Bayraktar TB2.
Perubahan paling ketara di antara Bayraktar TB3 dengan Bayraktar TB2 adalah kapasiti muatannya, dengan take-off weight TB3 adalah sekitar 1,450kg berbanding hanya 700kg pada TB2 manakala kapasiti muatannya pula adalah 280kg dibandingkan hanya 150kg pada TB2.
Bayraktar TB3 juga dilengkapkan dengan enjin yang lebih berkuasa dengan enjin PD170 buatan syarikat tempatan, TEI memberikan ia kuasa 172 kuasa kuda berbanding 100 kuasa kuda pada TB2.
Dengan kapasiti muatan yang lebih bermakna Bayraktar TB3 mampu membawa lebih banyak sistem persenjataan seperti peluru berpandu anti-kereta kebal UMTAS, bom glider panduan laser semi-aktif “Bozok” dan lain-lain.
TCG Anadolu bakal menjadi kapal pengangkut dron pertama beroperasi di dunia sama ada untuk tujuan pemantauan atau operasi serangan terhadap sasaran musuh.
Selain terdapat juga cadangkan supaya Turki mengoperasikan pesawat pejuang ringan, “Hurjet” daripada kapal perang terbesar negara tersebut.
Selain daripada pesawat-pesawat tanpa pemandu, Bayraktar TB3, kapal itu juga akan dilengkapi pada mulanya dengan helikopter penyerang AH-1W sebelum digantikan dengan helikopter buatan tempatan, ATAK-2 yang khusus untuk operasi tentera laut.
Kapal LHD Turki itu juga akan membawa “Zaha” Marine Assault Vehicle (MAV) yang dibangunkan oleh syarikat FNSS.
Setiap sebuah kenderaan Zaha MAV itu mampu membawa 21 orang anggota tentera. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.