Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Baykar Tampil Imej Pertama Bayraktar TB3, Beroperasi Dari TCG Anadolu

Apabila beroperasi kelak, kapal LHD TCG Anadolu seberat 27,000 tan itu bakal menjadi kapal pengangkut dron pertama beroperasi di dunia, mengoperasikan Bayraktar TB3 dan Kizilelma, sama ada untuk tujuan pemantauan atau operasi serangan terhadap sasaran musuh.

0 1,661

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat dron Turkiye, Baykar telah menampilkan imej pertama varian dron Bayraktar TB3, yang bakal beroperasi daripada kapal Landing Helicopter Dock (LHD) Turkiye, TCG Anadolu bersama-sama pesawat pejuang tanpa pemandu,Kizilelma.

Kapal terbabit sedang menjalani ujian di lautan pada ketika ini dan dijangka bakal ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Turkiye pada tahun ini.  

Apabila beroperasi kelak, TCG Anadolu bakal menjadi kapal pengangkut dron pertama beroperasi di dunia sama ada untuk tujuan pemantauan atau operasi serangan terhadap sasaran musuh.

Bayraktar TB3

Dron terbaru Bayraktar TB3 itu dilengkapkan dengan sayap yang boleh dilipat bagi menjimatkan ruangan ketika ia tidak beroperasi.

Menurut maklumat yang diberikan oleh syarikat Baykar, walaupun daripada segi luarannya ia adalah sama seperti Bayraktar TB2, namun daripada fungsinya ia adalah lebih berkemampuan dengan varian terdahulu.

Ia juga adalah lebih besar berbanding Bayraktar TB2.

Panjang keseluruhan sayapnya adalah 14 meter berbanding 12 meter pada Bayraktar TB2 manakala panjang keseluruhan badannya pula adalah 8.35 meter berbanding 6.5 meter pada varian terdahulu dron itu.

Bagaimanapun perubahan paling ketara di antara Bayraktar TB3 dengan Bayraktar TB2 adalah kapasiti muatannya, dengan take-off weight TB3 adalah sekitar 1,450kg berbanding hanya 700kg pada TB2 manakala kapasiti muatannya pula adalah 280kg dibandingkan hanya 150kg pada TB2.

Bayraktar TB3 juga dilengkapkan dengan enjin yang lebih berkuasa dengan enjin PD170 buatan syarikat tempatan, TEI memberikan ia kuasa 172 kuasa kuda berbanding 100 kuasa kuda pada TB2.

Kizilelma
Pesawat pejuang tanpa pemandu Turki “Kizilelma” ketika melakukan penerbangan sulungnya pada Disember tahun lepas.

 

Dengan kapasiti muatan yang lebih bermakna Bayraktar TB3 mampu membawa lebih banyak sistem persenjataan seperti peluru berpandu anti-kereta kebal UMTAS, bom glider panduan laser sem-aktif “Bozok” dan lain-lain.

TCG “Anadolu” yang dibina oleh Sedef Shipyard merupakan kapal perang terbesar Turkiye, memiliki berat 27,000 tan dan bakal menonjolkan Turkiye sebagai kuasa laut yang baru di rantau Mediterranean dan Eropah.

Rekabentuk kapal terbaru tentera laut Turkiye itu adalah sama dengan rekabentuk kapal LHD Tentera Laut Sepanyol, “Juan Carlos.”

Kapal TCG Anadolu ini pada mulanya dijadualkan membawa pesawat-pesawat generasi kelima F-35B, tetapi apabila Turkiye dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang buatan syarikat Lockheed Martin, maka negara Mediterranean bercadang menempatkan pesawat-pesawat tanpa pemandu di atas kapal itu.

“Anadolu” dijangka membawa 80 buah pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB3.

Anadolu
Kapal pengangkut dron pertama dunia, TCG “Anadolu.”

 

Selain daripada pesawat-pesawat tanpa pemandu, Bayraktar TB3, kapal itu juga akan dilengkapi pada mulanya dengan helikopter penyerang AH-1W sebelum digantikan dengan helikopter buatan tempatan, ATAK-2 yang khusus untuk operasi tentera laut.

Kapal LHD Turki itu juga akan membawa “Zaha” Marine Assault Vehicle (MAV) yang dibangunkan oleh syarikat FNSS.

Setiap sebuah kenderaan Zaha MAV itu mampu membawa 21 orang anggota tentera.

Pihak tentera laut Turki juga merancang untuk menempatkan pesawat pejuang ringan, “Hurjet” yang sedang dibangunkannya. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...