Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kuwait Jadi Negara Ke-28 Di Dunia Peroleh UCAV “Bayraktar TB2”

Ketua Pegawai Eksekutif Baykar, Haluk Bayraktar dilaporkan berkata sebelum ini bahawa disebabkan permintaan yang tinggi daripada seluruh dunia untuk membeli “Bayraktar TB2 itu, senarai menunggu (waiting list) untuk membeli dron buatan Turki itu kini adalah selama tiga tahun.

0 1,106

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Kuwait menjadi negara ke-28 di dunia membeli pesawat kombat tanpa pemandu (UCAV) buatan Turkiye yang terkenal di seluruh dunia, dengan kemampuannya telah terbukti dalam beberapa konflik, Bayraktar TB2.

Beberapa hari lepas, syarikat pembuat UCAV itu, Baykar mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Kuwait untuk mengeksport Bayraktar TB2 bernilai sebanyak US$367 juta (RM1.5 bilion) untuk digunakan oleh tentera darat negara Timur Tengah itu.

Ia bagaimanapun tidak menjelaskan bilangan Bayraktar TB yang akan diperolehi oleh Kuwait.

Bayraktar TB2
Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan bersama UCAV Bayraktar TB2.

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi media sosial syarikat itu, ia berkata UCAV itu boleh terbang selama 27 jam dan tiga minit dalam suasana dan keadaan yang amat mencabar termasuk ribut pasir sebagaimana yang sering berlaku di ruang udara Kuwait.

Menurut akhbar Turkiye, negara Timur Tengah telah mula berunding dengan syarikat Baykar pada 2019 untuk mendapatkan UCAV itu berikutan kejayaan ia dalam beberapa konflik termasuk di Syria, Nagorno-Karabakh, Ethiopia serta Ukraine.

Kejayaan di beberapa zon konflik telah membangkitkan minat kerajaan Kuwait untuk memperolehi UCAV Bayraktar TB2 untuk kegunaan angkatan tenteranya.

Selain daripada Kuwait, UCAV Bayraktar TB2 turut menarik minat beberapa negara serantau yang lain.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor bakal membelanjakan kira-kira US$2 bilion (RM8 bilion) sekirannya rundingan negara Arab Teluk itu dengan Turki untuk memperolehi 120 buah dron “Bayraktar TB2” dan pelbagai komponen sokongan lain itu berjaya.

Bayraktar TB3
Varian terbaru Bayraktar TB3

 

Perolehan itu bukan hanya 120 buah dron Bayraktar TB2 tetapi juga meliputi sistem persenjataan, pusat kawalan dan pemerintah serta latihan untuk mengendalikan dron-dron yang dibangunkan oleh syarikat Baykar Technology.

Sumber-sumber mengatakan harga sebuah dron buatan Turki itu adalah sekitar US$5 juta (tidak termasuk sistem persenjataan).

Laporan media tempatan di Turki dan UAE menyebut bahawa rundingan di antara kedua-dua pihak iaitu Baykar dan agensi perolehan senjata negara Teluk itu, Tawazun bagi merealisasikan perolehan 120 buah dron itu telah berjalan sejak Mac lepas.

Jika rundingan di antara kedua-dua pihak itu berjaya, sebahagian daripada komponen dron tersebut akan dihasilkan di UAE.

Bayraktar TB2
Seorang pegawai tentera Ukraine bersama dron “Bayraktar TB2” buatan syarikat Baykar daripada Turkiye.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Baykar, Haluk Bayraktar dilaporkan berkata sebelum ini bahawa disebabkan permintaan yang tinggi daripada seluruh dunia untuk membeli “Bayraktar TB2 itu, senarai menunggu (waiting list) untuk membeli dron buatan Turki itu kini adalah selama tiga tahun.

Pada ketika ini, kemudahan yang dimiliki oleh syarikat Baykar mampu untuk menghasilkan kira-kira 20 buah Bayraktar TB2 di dalam setahun.

Ia merancang untuk meningkatkan kemampuan produksinya untuk menghasilkan 500 buah Bayraktar TB2 setahun.– DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...