Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Amerika Kerah F-22 Raptor Ke Timur Tengah Tangani “Aksi Berbahaya” Pesawat Russia

“Tindakan berbahaya dan tidak professional (pesawat Russia) merupakan kelakuan yang kami tidak sangka datang daripada tentera udara yang profesional. Kekerapan pelanggaran kod mengelak konflik udara (oleh pesawat tentera udara Russia) telah meningkatkan risiko salah pertimbangan,” kata Ketua CENTCOM Jeneral Michael ‘Erik’ Kurilla.

0 1,445

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah mengerahkan beberapa pesawat pejuang F-22 Raptor ke Timur Tengah sebagai reaksi terhadap aksi-aksi “provokatif dan berbahaya” pesawat pejuang Russia terutamanya di ruang udara Syria, umum U.S Central Command (CENTCOM).

Pesawat-pesawat pejuang halimunan terbabit telah dikerah ke Timur Tengah daripada pangkalannya di Langley, Virginia dan akan menyertai pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat yang lain.

CENTCOM bagaimanapun tidak mendedahkan di mana pesawat-pesawat F-22 Raptor itu ditempatkan di Timur Tengah.

F-22 Raptor
(CENTCOM)

 

“Tindakan berbahaya dan tidak professional (pesawat Russia) merupakan kelakuan yang kami tidak sangka datang daripada tentera udara yang profesional. Kekerapan pelanggaran kod mengelak konflik udara (oleh pesawat tentera udara Russia) telah meningkatkan risiko salah pertimbangan,” kata Ketua CENTCOM Jeneral Michael ‘Erik’ Kurilla.

Ketika konflik di antara Ukraine dan Russia berterusan tanpa penamat, hubungan ketenteraan di antara Moscow dan Washington turut tegang termasuk di Syria di mana kedua-dua negara menempatkan anggota tentera mereka.

Russia dan Amerika Syarikat memiliki pangkalan tentera masing-masing di Syria.

Pada April lepas, Pusat Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Timur Tengah (AFCENT) telah mengeluarkan dua video yang menunjukkan insiden pertembungan udara “berbahaya” di antara pesawat pejuang Su-35 Tentera Udara Russia yang  lengkap bersenjata dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya.

Kedua-dua video itu telah diambil menggunakan Targeting Pod pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat.

Insiden itu berlaku selepas seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat pada Mac mendedahkan bahawa pesawat pejuang Russia telah melakukan penerbangan provokatif di ruang udara pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari” pada bulan tersebut.

Pegawai CENTCOM Lt Jen Alexus Grynkewich dilaporkan berkata bahawa, penerbangan-penerbangan “berbahaya” pesawat pejuang Russia itu adalah “peningkatan mendadak” berbanding bulan-bulan sebelum ini.

“Tindakan Russia itu telah melanggar perjanjian di antara Moscow dan Washington pada 2019 berkenaan penggunaan ruang udara di kawasan di mana kedua-dua negara memiliki kemudahan tentera di Syria”

“Russia, nampaknya telah membatalkan (abandoned) perjanjian itu di dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” kata Grynkewich sambil menambah bahawa pelanggaran ruang udara oleh pesawat pejuang Russia pada bulan ini  (April) merupakan peningkatan yang mendadak.

Insiden oleh pesawat Russia menyamai corak tindakan berbahaya oleh juruterbangnya semasa berinteraksi dengan pesawat-pesawat Amerika Syarikat dan Bersekutu.

F-22 Raptor
(CENTCOM)

 

Aksi-aksi agresif oleh juruterbang dan krew Russia menurut AFCENT boleh menyebabkan berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini. 

Amerika Syarikat dan Russia masing-masing memilliki kemudahan tentera di Syria.

Kedua-dua negara itu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menggariskan protokol keselamatan penggunaan ruang udara di Syria untuk mengelak sebarang insiden pertembungan membabitkan pesawat tentera kedua-dua negara.

Penganalisis mendakwa peningkatan penerbangan pesawat-pesawat tentera Russia di ruang udara pangkalan tentera Amerika di Syria itu berkait-rapat dengan peningkatan ketegangan di antara kedua-dua negara akibat daripada konflik di Ukraine. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...