ATM Manafaat Komunikasi, Siber Elektromagnetik Menerusi MEASAT-3d
Kehadiran delegasi ATM pada pelancaran satelit MEASAT-3d adalah di bawah obligasi Program Ofset Kontrak The Lease of Secure Satellite Communication Channel for Malaysian Armed Forces bersama Firma Airbus Defense & Space yang telah dimulai dengan lawatan ke Pameran Pertahanan dan Keselamatan terkemuka dunia iaitu Eurosatory 2022.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Delegasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Bahagian Siber dan Elekromagnetik Pertahanan (BSEP) telah diberi peluang menyaksikan pelancaran Malaysia East Asia Satellite (MEASAT-3d) di Kouru, French Guyana, Amerika Selatan.
Satelit berkenaan yang dilancarkan pada jam 6.50 petang waktu tempatan, 22 Jun 2022 (5.50 pagi waktu Malaysia).
Menurut ATM dalam kenyataan menerusi akaun FB miliknya, delegasi ATM diketuai oleh Ketua Pengarah Siber & Elektromagnetik Pertahanan (KP SEP), Laksamana Muda Dato’ Shamsuddin bin Hj Ludin yang turut berpeluang melawat tapak pelancaran sebelum MEASAT-3d berkenaan dilancarkan.
Turut menyertai beliau adalah Pegawai Memerintah Rejimen Operasi Strategik, Markas Operasi Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (MOSEP-ROS), Komander Hj Hazhari bin Hj Hashim TLDM dan 4 pegawai serta anggota MOSEP-ROS.
Kehadiran mereka adalah di bawah obligasi Program Ofset Kontrak The Lease of Secure Satellite Communication Channel for Malaysian Armed Forces bersama Firma Airbus Defense & Space yang telah dimulai dengan lawatan ke Pameran Pertahanan dan Keselamatan terkemuka dunia iaitu Eurosatory 2022.
Pameran yang berlangsung pada 15 Jun 2022 lalu di Paris-Nord Villepinte Exhibition Centre telah memberi peluang kepada delegasi berkenaan untuk melihat keupayaan teknologi dan peralatan terkini serta berinteraksi dan bertukar pandangan terutama informasi berkaitan Sistem Komunikasi Satelit dan Siber Elektromagnetik.
Pada masa yang sama, delegasi turut dijemput oleh pihak Airbus Defense & Space untuk melihat fasiliti teknologi angkasa Airbus di Paris dan Toulouse termasuk lawatan di Satellite Assembly, Integration and Testing (AIT), Clean Room yang berperanan penting dalam pembangunan, pembinaan, ujian satelit dan teknologi angkasa lepas serta Satellite Operations Centre (SOC).
Sepanjang aktiviti ini, wakil firma telah memberikan penerangan secara terperinci bagaimana sesebuah satelit komunikasi dibina dan diuji bagi memastikan ianya dapat beroperasi dengan baik di dalam ‘extreme environment’ di angkasa lepas.
Mereka turut diberi penerangan berkenaan Jupiter Icy Moons Explorer (JUICE) iaitu interplanetary spacecraft yang sedang dibangunkan Agensi Angkasa Eropah (ESA) bersama Firma Airbus Defence and Space.
Kesempatan ini turut menjadi ruang kepada kedua-dua pihak dalam berbincang serta bertukar pandangan mengenai keupayaan satelit komunikasi MEASAT 3d dan peperangan elektronik yang telah dan sedang dibangunkan oleh pihak Airbus dan bagaimana ianya boleh dimanfaatkan oleh pihak ATM sepenuhnya.
Comments are closed.