Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jaga-Jaga Terhadap Serangan Siber Korea Utara !!!

Kemampuan mereka dalam serangan siber ini memang tidak boleh dipandang ringan dan rekod mereka dalam jenayah ini memang diketahui ramai.

0 2,963

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam apabila konsul kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu Song memberi amaran bahawa kita akan “menanggung akibat” kerana mengekstradisi rakyatnya ke Amerika Syarikat, ramai yang tertanya apa bentuk tindak balas yang mampu dilakukan oleh Pyongyang.

Ya, kita semua tahu tentang kemampuan peluru berpandu ballistik tetapi adakah Korea Utara akan bertindak melancarkannya ke Malaysia akibat insiden ini?

KORUT

Admin berpendapat “segila-gila” rejim Korea Utara, ia tidak segila  itu untuk melancarkan peluru berpandunya ke Malaysia atas insiden “kecil” tersebut.

Peluru berpandu itu mungkin disimpan untuk musuh-musuh Korea Utara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun dalam “peperangan sebenar” yang bakal menentukan sama ada Pyongyang terus wujud di muka bumi atau tidak.

Namun, selain peluru berpandu, Korea Utara juga memiliki kepakaran lain yang boleh digunakan terhadap Malaysia bagi memastikan negara kita ini “menanggung akibat” kerana menyerahkan rakyatnya, yang admin rasakan hampir pasti 100 peratus adalah perisik, ke Amerika Syarikat.

Kepakaran Pyongyang itu adalah dalam bidang serangan siber yang agensi-agensi perisikan seluruh dunia tahu bahawa Korea Utara adalah satu satu pemain utama dalam bidang itu.

Kemampuan mereka dalam serangan siber ini memang tidak boleh dipandang ringan dan rekod mereka dalam jenayah ini memang diketahui ramai.

Antara insiden serangan siber terbaru yang dipercayai dilakukan oleh “Bureau 21” yang berada di bawah Reconnaisance General Bureau (RGB) berlaku pada bulan lepas.

Korea Utara didakwa oleh agensi perisikan Korea Selatan melakukan serangan siber terhadap syarikat Pfizer dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat berkenaan vaksin bagi COVID-19 yang diusahakan oleh syarikat farmasi Amerika Syarikat itu.

Korut

“Terdapat usaha untuk mencuri maklumat berkenaan vaksin COVID-19 dan teknologi untuk mengubatinya dan Pfizer telah diceroboh (hacked),” menurut anggota parlimen pembangkang Korea Selatan.

Selain syarikat Pfizer, serangan siber Korea Utara juga dipercayai bertanggungjawab melancarkan serangan siber terhadap syarikat dan badan-badan yang melakukan kajian terhadap vaksin dan rawatan COVID-19.

Dalam satu laporan oleh pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lepas, mereka mendapati Korea Utara menggunakan serangan siber untuk mencuri “virtual asset” seperti Bitcoin dan lain-lain matawang virtual untuk membiayai program senjata nuklearnya.

Serangan siber Korea Utara daripada 2019 hingga Sept 2020 telah berjaya mencuri sejumlah US$316 juta di dalam bentuk aset-aset virtual, menurut laporan terbabit.

Laporan itu mengatakan hasil daripada serangan siber terhadap aset-aset virtual ini digunakan untuk membiayai program pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Dalam satu lagi laporan oleh PBB pada 2019, badan dunia itu berkata, pakar-pakar siber Korea Utara berjaya memperolehi “hasil-hasil haram” sehingga US$2 billion untuk membiayai program dan pembangunan senjatanya.

Serangan Siber

Laporan itu mengatakan serangan siber itu dilakukan oleh agensi perisikan utama Korea Utara iaitu RGB.

PBB pada laporan itu mengatakan mereka sedang menyiasat kira-kira 30 kejadian serangan siber di 17 negara yang dipercayai didalangi oleh agen-agen Korea Utara sebagai sebahagian daripad usaha mereka mengumpul dana untuk membiayai program pembangunan senjata mereka.

Menurut laporan itu, Korea Selatan paling teruk menerima kesan daripada serangan siber Korea Utara itu dengan 10 kes diikuti oleh India (3 kes) dan Bangladesh serta China dengan dua kes masing-masing.

Malaysia juga mengalami serangan siber itu dengan satu kes, menurut laporan itu sebagaimana dikatakan oleh agensi berita, Associated Press.

Satu lagi kes serangan siber yang terkenal dipercayai membabitkan Korea Utara adalah “rompakan” sebanyak US$80 juta daripada akaun Bangladesh Bank (bank pusat Bangladesh) di Federal Reserve Bank of New York pada 2016.

Kajian yang dilakukan oleh firma keselamatan siber, Kaspersky mendakwa serangan itu dilakukan oleh Lazarus Group, kumpulan penggodam yang berpusat di Korea Utara yang dikatakan turut terlibat dalam serangan siber terhadap studio milik Sony di Hollywood pada 2014.

Banyak lagi kes-kes serangan siber yang dipercayai dilakukan oleh agensi perisikan Korea Utara dan admin harap di pihak kita supaya bersedia untuk segala kemungkinan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...