58 Peratus Kapal TLDM “Jauh Lebih Tua” Dari HTMS Sukhotai, Mari Berdoa

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa agar insiden yang menimpa kapal korvet Thailand, HTMS Sukhotai itu tidak terjadi kepada TLDM memandangkan 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM jauh lebih berusia daripada kapal Thailand yang malang itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kira-kira 58 peratus daripada kapal-kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia jauh lebih tua daripada kapal korvet kelas-Ratanakosin Tentera Laut Diraja Thailand “HTMS Sukhotai” yang tenggelam di Teluk Siam beberapa hari lepas akibat cuaca buruk.

Sehubungan dengan itu, TLDM memohon seluruh rakyat Malaysia supaya mendoakan agar insiden yang malang itu tidak menimpa kapal-kapal milik TLDM yang jauh lebih “tua” berbanding HTMS Sukhotai yang berusia 36 tahun.

“Memandangkan 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS SUKHOTHAI, marilah kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal kita.” menurut TLDM dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi akaun media sosialnya hari ini.

TLDM berkata, tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan dan isu keusangan aset-aset kita, masalah kapal-kapal yang berusia akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang.

Kapal korvet Tentera Laut Diraja Thai “HTMS Sukhotai” (FS-442) tenggelam di Teluk Siam kira-kira 11.30 malam (waktu tempatan) pada Ahad akibat cuaca buruk dan ombak besar, mengakibatkan enam anak kapalnya terkorban dan 23 dikategorikan masih hilang.

HTMS Sukhotai sebelum ia tenggelam ke dasar Teluk Siam.

 

Ketika kejadian, kapal yang dibina oleh syarikat Amerika Syarikat, ,Tacoma Boatbuilding Company dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Thailand membawa 106 anak kapal, walaupun kapasitinya hanyalah 87 anak kapal.

HTMS Sukhotai seberat 960 tan itu sedang menjalankan rondaan ketika dilanda ombak besar dan tenggelam ke dasar perairan Teluk Siam.

Kenyataan oleh TLDM seterusnya menyebut bahawa ia amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi Tentera Laut Diraja Thailand apatah lagi warga kapal tersebut yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut yang bergelora dan keadaan kapal yang berusia 36 tahun.

Sudah pasti terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diaturgerak sebilang masa,kata TLDM.

(TLDM)

 

“TLDM akan mengkaji semula kesemua SOP berkenaan “sea worthiness” dan penugasan kapal-kapal kita yang jauh lebih tua berbanding HTMS SUKHOTAI. Ini adalah bagi mengelakkan risiko perkara serupa daripada berlaku ke atas kapal-kapal kita,” kata TLDM.

Dalam masa yang sama, Panglima Tentera Laut dan warga TLDM mengucapkan salam takziah kepada warga Tentera Laut Diraja Thailand atas musibah yang berlaku kepada His Thai Majesty’s Ship (HTMS) SUKHOTHAI pada malam 18 Disember 2022 baru-baru ini.

Warga TLDM berharap dan mendoakan semoga warga HTMS SUKHOTHAI yang masih hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

featuredHTMS SukhotaiKapalTLDMUsang
Comments (1)
Add Comment