Selesai Jalani Kerja-Kerja Refit, TLDM Terima Semula KD Laksamana Muhammad Amin

Kapal KD Laksamana Muhammad Amin merupakan kapal kedua selepas KD Perkasa menjalani kerja-kerja penyelenggaraan berjadual refit secara re-hull, termasuk re-powering.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas kira-kira tiga tahun menjalani menjalani kerja-kerja pasang-pulih (refit),  maka akhirnya kapal KD Laksamana Muhammad Amin dari Skuadron Korvet Ke 24 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diserahkan kembali kepada TLDM.

Kapal KD Laksamana Muhammad Amin merupakan kapal kedua selepas KD Perkasa menjalani kerja-kerja penyelenggaraan berjadual refit secara re-hull, termasuk re-powering.

Menurut kenyataan media sosial TLDM baru-baru ini, Panglima Logistik Barat Laksamana Pertama Ts. Shaiful Bahari Baharuddin telah menyempurnakan majlis penerimaan kapal perang itu di Limbungan Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd.

Majlis turut dihadiri oleh Panglima Armada Barat Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Haji Ludin.

“Pendekatan re-hull ini boleh dianggap sebagai paradigm shift dalam pelaksanaan selenggaraan berjadual kapal TLDM di limbungan. Ini disebabkan secara conventional, hull kapal akan menjalani senggaraan secara replating.

Gambar Kapal KD Laksamana Muhammad Amin diambil beberapa bulan lalu (kredit Grade One Marine)

 

“Namun disebabkan tiga faktor utama iaitu lebih cepat, kos kompetitif dan ketahanan lebih lama, maka kaedah re-hull telah diimplementasi walaupun dipertikaikan pada awalnya. Kaedah ini adalah pendekatan interim terhadap tatacara senggaraan berjadual kapal di limbungan, khususnya bagi kapal yang telah berusia,” menurut kenyataan TLDM itu.

Hasil inisiatif re-hull ini, KD Laksamana Muhammad Amin telah diberi nafas baharu dalam aspek keupayaan operasi, jangka hayat serta supportability yang lebih baik.

 Lebih membanggakan, kesemua aktiviti projek dilaksana sepenuhnya oleh anak tempatan, membuktikan keupayaan industri pertahanan maritim negara.

Diantara keunikannya adalah pelaksanaan repowering serta penukaran sebahagian besar badan kapal (hull) menggunakan konsep re-hull.

Dalam konsep re-hull, blok hull yang baharu dibina dan sebahagian peralatan yang terdapat di badan kapal yang lama dibawa keluar, dirombak pulih dan dipasang di hull baharu tanpa mengubah sepenuhnya reka bentuk asal.

Dalam erti kata lain, sebahagian besar badan kapal yang lama akan dilupus sebagai besi buruk.   

Gambar KD Laksamana Muhammad Amin diambil sebelum ini (kredit Grade One Marine)
Keadaan dalam kapal KD Laksamana Muhammad Amin. (TLDM)

 

Repowering pula melibatkan penggantian kesemua jentera utama, kotak gear, shafting, propeller dan set janakuasa termasuk switchboard serta kabel berkaitan. 

“Hasil inisiatif repowering dan re-hull ini bakal membolehkan KD Laksamana Muhammad Amin diberi nafas baharu dengan peningkatan keupayaan beroperasi, jangka hayat lebih panjang, supportability yang lebih baik dan memberi ROI yang tinggi kepada TLDM/Kerajaan.”

Sementara itu Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd dalam posting menerusi akaun FB miliknya pula berkata,  ia telah berjaya menyempurnakan kerja-kerja rutin selenggaraan berjadual (refit) kapal KD Laksamana Muhammad Amin.

“Refit ini bukan sekadar penyelenggaraan rutin; ia adalah satu usaha transformasi, dengan pembaikan secara re-hull semula badan kapal dan memperkasakan semula peralatan aset kerajaan yang penting, KD Laksamana Muhammad Amin telah diberi nafas baharu — umpama melahirkan semula pahlawan laut yang lebih kuat dan berkebolehan,” katanya.

Syarikat Grade One Marine Shipyard berharap agar “pahlawan” yang dilahirkan semula ini terus berkhidmat dalam inventori TLDM agar kesiapsagaan samudera dipertahankan.  — DSA

 

featuredKD Laksamana Muhammad AminRefitTLDM
Comments (0)
Add Comment