Kapal LMS Batch 1 “Tidak Menepati Keperluan” Semasa TLDM?

Jika kapal-kapal LMS Batch 1 kelas-Keris itu tidak “menepati keperluan” semasa TLDM, mengapa kita membelanjakan lebih daripada RM1 bilion (hanya beberapa tahun lepas), untuk memperolehi kapal-kapal peronda terbabit yang dibina di limbungan kapal di China itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 1 baru sahaja memasuki perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) beberapa tahun lepas, namun kapal-kapal peronda buatan China itu kini dianggap “tidak menepati keperluan” semasa TLDM.

Jika kapal-kapal LMS Batch 1 kelas-Keris itu tidak “menepati keperluan” semasa TLDM, mengapa kita membelanjakan lebih daripada RM1 bilion (hanya beberapa tahun lepas), untuk memperolehi kapal-kapal peronda terbabit yang dibina di limbungan kapal di China itu.

Namun, itulah yang dinyatakan oleh Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob ketika sidang media selepas sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-89 di Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

“LMS yang kita nyatakan di dalam 15-to-5 itu melibatkan 18 buah platform. Jadi, kita ada 4. Tetapi, kita menetapkan LMS Batch Pertama itu tidak begitu menepati keperluan kita,”

“Justeru, kita mencadangkan supaya perubahan LMS Batch 2 (LMSB2) yang kita rasa lebih sesuai dan memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan kita,” kata beliau, sebagaimana dipetik oleh portal berita tempatan, Air Times News Network dalam laporannya semalam.

Namun, Panglima TLDM berkemungkinan mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk menyatakan kapal-kapal LMS Batch 1 itu tidak “up to the mark” terutamanya dalam menangani apa yang berlaku ketika ini di Laut China Selatan.

Dengan panjang 69 meter, berat hanya 700 tan dan dilengkapi meriam 30mm serta mesingan 12.7mm, memang tidak banyak yang boleh dilakukan oleh kapal-kapal LMS Batch 1 TLDM itu.

Untuk mengharungi pelayaran jauh dengan ombak bergelora menuju ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) seperti Beting Patinggi Ali adalah cabaran yang amat getir, belum lagi “bertembung” dengan kapal pengawal pantai China.

Dibina dengan kos RM1.17 bilion, keempat-empat kapal LMS Batch 1 itu — KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Rencong berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan telah pun ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM.

Kapal LMS ketiga TLDM dinamakan “KD Badik.” (gambar kredit TLDM)

 

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS Batch 1 itu yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Kesemua kapal LMS Batch 1 itu memasuki inventori TLDM secara berperingkat mulai Januari 2020 hingga Disember 2021 dan kini sedang beroperasi sepenuhnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Walaupun begitu, sejak memulakan tugasnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, kapal-kapal LMS Batch 1 telah ditugaskan untuk meronda Laut China Selatan termasuk “membayangi” (shadow) kapal-kapal pengawal pantai China yang jauh lebih besar saiznya di kawasan perairan Beting Patinggi Ali.

Walaupun hanya bersaiz 700 tan dan dilengkapi dengan meriam ringan, kapal-kapal LMS Batch 1 TLDM itu telah menunjukkan “kehadiran” (show of presence) mereka di kawasan perairan Zon Ekonomi Malaysia (ZEE) di Laut China Selatan itu, berdepan dengan kapal-kapal pengawal pantai China yang panjangnya kira-kira 100 meter dan berat 4,000 tan.

Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-Ada.

 

Oleh kerana itulah TLDM mahukan kapal-kapal LMS Batch 2 yang bukan sahaja jauh lebih besar, tetapi juga dilengkapkan dengan keupayaan kombatan seperti sistem peluru berpandu kapal-ke-kapal dan juga peluru berpandu kapal-ke-udara.

TLDM menurut panglimanya mensasarkan ia akan menerima kapal LMS Batch 2 yang pertama pada tahun 2027, disusuli kapal LMS kedua dan LMS ketiga di antara enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan kapal pertama. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredLMS Batch 1PanglimaTLDM