Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Berita Buruk Untuk India. Pakistan Akan Dilengkapi J-35A, HQ-19 dan Pesawat AEWC KJ-500

Pakej bantuan ketenteraan China kepada Pakistan itu hanya membuktikan hubungan ketenteraan yang erat di antara Beijing dan Islamabad serta tiba pada tepat masanya terutamanya selepas berlakunya konflik Pakistan-India baru-baru ini.

0 10,565
(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan telah menawarkan pakej bantuan ketenteraan yang besar kepada Pakistan, sekutu utamanya di Asia Selatan merangkumi perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A, sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-19 dan juga pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) KJ-500.
Pakej bantuan ketenteraan China kepada Pakistan itu hanya membuktikan hubungan ketenteraan yang erat di antara Beijing dan Islamabad serta tiba pada tepat masanya terutamanya selepas berlakunya konflik Pakistan-India baru-baru ini.
“Pakej ketenteraan China kepada Pakistan itu merupakan sebahagian daripada kejayaan diplomatik dan ketenteraan di bawah pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif. Aset-aset ketenteraan berteknologi tinggi akan meningkatkan secara mendadak kemampuan Tentera Udara Pakistan dan sistem pertahanan udara selaras dengan tahap tinggi peperangan pada masa ini,” menurut pengumuman oleh kerajaan Pakistan.
Kenyataan oleh kerajaan Pakistan itu turut mendedahkan bahawa kerajaan telah menangguhkan pembayaran pinjaman sebanyak AS$3.7 billion (RM16.28 billion), yang memberikan secara tidak langsung memberikan bantuan ekonomi kepada Islamabad yang pada ketika ini sedang berhadapan dengan cabaran kewangan.
Selain itu, gergasi teknologi China iaitu Huawei juga menyatakan komitmen untuk melatih 100,000 belia Pakistan dalam teknologi Artificial Intelligence (AI) dan Teknologi Maklumat (IT).

Pesawat Pejuang Generasi Kelima J-35A

Pesawat pejuang generasi kelima, J-35A dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC).
China dijangka akan mula menghantar kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A itu kepada Tentera Udara Pakistan dalam “beberapa bulan akan datang ini.”
J-35A
Shenyang J-35A
Pakistan bakal mengoperasikan kira-kira 40 buah J-35A, yang merupakan pesawat pejuang generasi kelima yang kedua dibangunkan oleh China selepas J-20 Mighty Dragon.
Pegawai kanan kerajaan Pakistan memberitahu portal pertahanan Janes bahawa pesawat pejuang J-35A buatan China itu akan tiba di negara Asia Selatan itu dalam “beberapa bulan akan datang ini.”
“Juruterbang-juruterbang Tentera Udara Pakistan juga telah berada di China menjalani latihan untuk menerbangkan dan mengendalikan pesawat pejuang J-35A itu,” menurut pegawai kanan kerajaan Pakistan yang mengesahkan perkara itu kepada portal pertahanan terbabit.
Terdapat juga laporan menyatakan pesawat-pesawat pejuang J-35A yang bakal diterima oleh Pakistan di dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini akan turut dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-17 yang dipercayai boleh membedil sasaran udara daripada melebihi 400km.
PL-17, yang turut dikenali oleh sesetengah sumber sebagai PL-XX, merupakan peluru berpandu udara ke udara jarak sangat jauh (VLRAAM) paling canggih pernah dibangunkan oleh China, yang direka untuk memberikan Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF) keupayaan menyerang aset udara bernilai tinggi seperti pesawat AWACS, pesawat pengisi minyak serta pesawat peperangan elektronik dari jarak jauh.
Dipercayai memiliki jarak tembakan melebihi 400 kilometer, PL-17 menandakan satu lonjakan besar dalam pembangunan peluru berpandu udara ke udara oleh China, dengan laporan menyatakan ia dilengkapi dengan sistem pencari pelbagai mod yang menggabungkan radar aktif, penderia inframerah, serta navigasi satelit bagi membolehkan kemas kini sasaran di pertengahan penerbangan dan pemanduan tepat ke sasaran di fasa akhir.
Tentera Udara Pakistan sebenarnya telah pun memberikan bayangan seawall tahun 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh SAC.
J-35A
Pesawat pejuang generasi kelima China, J-35A
Pada 2024 Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmad Babar Zaheer dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang J-35A buatan China itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu  “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu.
Sementara itu perolehan sistem pertahanan udara HQ-19 itu bakal memperkukuhkan lagi keupayaan Pakistan untuk mempertahankan diri daripada serangan peluru berpandu ballistik, kruis dan hypersonik.

 Sistem pertahanan udara HQ-19 itu juga digelar “THAAD China”

THAAD merujuk kepada Terminal High Altitude Area Defense (THAAD), satu sistem peluru berpandu mudah alih yang dibangunkan untuk memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik ketika fasa terminal—iaitu ketika peluru berpandu sedang menjunam ke arah sasarannya.
Dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkemuka Amerika Syarikat, Lockheed Martin, sistem THAAD menggunakan pendekatan “hit-to-kill”, iaitu memusnahkan ancaman dengan tenaga kinetik tanpa memerlukan bahan letupan.
Perolehan sistem pertahanan anti-peluru berpandu HQ-19 atau “THAAD China” itu berkemungkinan adalah untuk menangani serangan-serangan peluru berpandu kruis lancaran darat seperti BrahMos dan juga SCALP-EG yang dilancarkan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India seperti Rafale.
India menggunakan peluru-peluru berpandu kruis BrahMos yang dibangunkannya bersama Russia serta SCALP-EG yang merupakan varian kepada Storm Shadow serta Taurus untuk menyerang pangkalan-pangkalan tentera Pakistan dalam konflik Pakistan-India baru-baru ini.
HQ-19
HQ-19
HQ-19 merupakan sistem pertahanan peluru berpandu jarak jauh yang dibangunkan oleh China sebagai sebahagian daripada program pertahanan udara strategik mereka.
Ia dibangunkan oleh China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC) di bawah inisiatif Project 863—program penyelidikan teknologi tinggi negara China yang dilancarkan pada tahun 1986 bagi menangani kebergantungan terhadap teknologi Barat, khususnya dalam sektor pertahanan.
HQ-19 dipercayai merupakan sistem anti-balistik berasaskan darat yang setara dengan Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) milik Amerika Syarikat, dengan misi utama untuk memintas peluru berpandu balistik antara jarak pertengahan hingga jarak jauh semasa fasa terminal penerbangannya.
HQ-19 direka untuk memintas peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dan peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) pada altitud tinggi, dalam lingkungan 70 hingga 150 km—iaitu di luar lapisan atmosfera rendah—menjadikannya sistem eksoatmosfera yang mampu memintas ancaman strategik sebelum sampai ke sasaran.
Sistem ini dipercayai menggunakan radar X-band berkuasa tinggi, dipercayai versi yang dibangunkan secara dalaman berdasarkan teknologi radar AESA (Active Electronically Scanned Array), untuk pengesanan dan pengesanan sasaran pada jarak lebih 1,000 km.
Ia turut dilengkapi dengan sistem guidance semi-aktif dan aktif, dan mungkin menggunakan pemanduan inframerah (IR-seeker) dalam versi terkini untuk meningkatkan ketepatan sasaran.
Seperti THAAD, HQ-19 dipercayai menggunakan prinsip “hit-to-kill”, iaitu pemusnahan sasaran menggunakan tenaga kinetik tanpa bahan letupan, di mana peluru berpandu pencegat akan melanggar terus sasaran pada kelajuan tinggi bagi menghasilkan kemusnahan total.
HQ-19
HQ-19
HQ-19
HQ-19

Jarak Anggaran dan Altitud Pemintasan HQ-19

Jarak Pemintasan: Dianggarkan antara 1,000 hingga 3,000 kilometer, dengan kemampuan untuk memintas peluru berpandu balistik yang memasuki lingkungan jarak ini (penting untuk difahami bahawa ini merujuk kepada jarak ancaman yang boleh dipintas, bukannya jarak terbang peluru berpandu itu sendiri).
Altitud Pemintasan: Sekitar 70 hingga 150 kilometer, menjadikannya beroperasi dalam lapisan exoatmosfera—iaitu jauh lebih tinggi daripada keupayaan sistem pertahanan udara konvensional, setara dengan sistem THAAD milik Amerika Syarikat.
Jarak Pengesanan Radar (menggunakan radar AESA jalur-X): Berkemungkinan melebihi 1,000 kilometer, bergantung kepada saiz dan profil peluru berpandu yang dikesan.

Pesawat AEWC Shaanxi KJ-500

Pesawat Shaanxi KJ-500 ialah pesawat amaran awal dan kawalan udara (AEW&C) generasi ketiga yang dibangunkan oleh China. Ia berperanan penting dalam meningkatkan keupayaan peperangan berasaskan rangkaian dan kawalan ruang udara dalam Tentera Udara dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLAAF dan PLANAF)
KJ-500 dibangunkan oleh Shaanxi Aircraft Corporation dan berasaskan pesawat pengangkut Y-9.
Ia menggantikan reka bentuk “balance beam” pada KJ-200 dengan radom tetap berbentuk cakera yang menempatkan tiga radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dalam konfigurasi segitiga, memberikan liputan 360 darjah secara berterusan tanpa perlu berputar.
Radar AESA KJ-500 mampu mengesan antara 60 hingga 100 sasaran dalam radius sejauh 470 kilometer.
KJ-500 AEWC
KJ-500 AEWC
Ia direka untuk mengesan pesawat berkelajuan tinggi, bermanuver tinggi, dan berprofil rendah seperti pesawat stealth.
Sistem ini turut dilengkapi dengan keupayaan Electronic Support Measures (ESM) dan Electronic Intelligence (ELINT), membolehkan pengumpulan dan analisis isyarat elektronik musuh.
Pesawat Shaanxi KJ-500 mempunyai panjang keseluruhan 34 meter dan lebar sayap sepanjang 38 meter, memberikan kestabilan aerodinamik yang tinggi semasa operasi kawalan udara.
Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 550 kilometer sejam, menjadikannya sesuai untuk misi rondaan udara jarak jauh secara berterusan.
Jarak operasi maksimumnya mencecah sehingga 5,700 kilometer, membolehkan pesawat ini beroperasi merentasi kawasan luas tanpa memerlukan sokongan segera dari pangkalan.
Tempoh penerbangan maksimum pesawat ini adalah sekitar 12 jam, sesuai untuk misi amaran awal dan kawalan udara berterusan dalam kawasan konflik berprofil tinggi.
KJ-500 digerakkan oleh empat enjin turboprop WJ-6C, masing-masing dilengkapi dengan kipas komposit enam bilah yang memberikan kecekapan bahan api dan bunyi operasi yang lebih rendah berbanding enjin konvensional.
Berat maksimum berlepas pesawat ini dianggarkan sekitar 77 tan, membolehkan ia membawa kelengkapan radar, sistem komunikasi, dan kru operasi yang mencukupi untuk misi lanjutan.
J20-F35
Pesawat AEWC “KJ-500”
Reka bentuk KJ-500 yang lebih kompak berbanding pesawat AEW&C generasi terdahulu seperti KJ-2000 membolehkannya beroperasi dari landasan yang lebih pendek, sekaligus sesuai digunakan dalam misi udara taktikal dan strategik di kawasan terpencil dan darurat.
Terdapat beberapa varian operasional bagi pesawat KJ-500, masing-masing disesuaikan mengikut keperluan cabang tentera yang berbeza.
Varian asas KJ-500 digunakan oleh Tentera Udara China (PLAAF) dan menjadi tulang belakang kepada misi pengawasan udara berterusan dan kawalan tempur.
KJ-500H pula merupakan versi khusus untuk kegunaan Tentera Laut China (PLANAF), direka untuk operasi dari pangkalan udara maritim serta menyokong pengoperasian kapal induk dan armada laut.
Satu lagi varian, KJ-500A, dilengkapi dengan probe pengisian bahan api di udara (air-to-air refueling probe) yang membolehkan ia kekal berada di udara lebih lama, meningkatkan tempoh loitering serta liputan radar tanpa gangguan operasional.
Ketiga-tiga varian ini memperkukuhkan keupayaan China dalam membina rangkaian peperangan berasaskan maklumat (network-centric warfare) dan menunjukkan kemajuan ketara Beijing dalam teknologi AEW&C terkini.
KJ-500 memainkan peranan penting dalam memperluas keupayaan peperangan berasaskan rangkaian China.
Ia berfungsi sebagai pusat kawalan udara yang mengkoordinasikan operasi pesawat tempur seperti J-10C dan J-20, serta peluru berpandu jarak jauh seperti PL-15.
Keupayaannya untuk mengesan dan menjejak sasaran dari jarak jauh memberikan kelebihan taktikal dalam konflik udara moden.
Shaanxi KJ-500 merupakan tonggak penting dalam strategi pertahanan udara China.
Dengan keupayaan radar canggih, sistem elektronik yang terintegrasi, dan reka bentuk yang fleksibel, ia meningkatkan kesedaran situasi dan kawalan ruang udara, menjadikannya aset kritikal dalam operasi ketenteraan moden.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.