Indonesia Tidak Tolak Kemungkinan Perolehi Pesawat Pejuang J-10C Buatan China Untuk TNI-AU
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia Donny Ermawan Taufanto, negara Asia Tenggara itu telah ditawarkan oleh China untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia tidak menolak kemungkinan memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 buatan China, J-10C sekiranya pesawat pejuang itu memenuhi spesifikasi teknikal dan kriteteria lain ditetapkan oleh Tentera Nasional Indonesia.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia Donny Ermawan Taufanto, negara Asia Tenggara itu telah ditawarkan oleh China untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC).
CAC yang merupakan anak syarikat kepada Aviation Industry Corporation of China (AVIC), sebuah konglomerat aeroangkasa milik kerajaan China.
“Kalau berdasarkan penilaian kami, pesawat ini memang baik dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan—lebih-lebih lagi harganya berpatutan—jadi mengapa tidak dipertimbangkan?” kata Donny seperti yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi Indonesia, Antara.
Imej pesawat pejuang J-10C buatan China sedang melonjak naik selepas pesawat pejuang itu yang dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan dan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15 dilaporkan telah berjaya menembak jatuh beberapa buah pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale.
Selain tiga buah pesawat pejuang Rafale dilaporkan ditembak jatuh, pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan juga didakwa telah berjaya ditembak jatuh sebuah pesawat pejuang Su-30MKI, MiG-29 dan Mirage 2000.
Kesemuanya Tentera Udara Pakistan mendakwa ia berjaya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India dalam konflik Pakistan-India baru-baru ini.

Sementara itu Donny berkata, Indonesia ditawarkan pesawat pejuang J-10C itu ketika Kepala Staf TNI-Angkatan Udara (KSAU) Marsekal TNI Mohamad Tonny Harjono mengunjungi satu pameran pertahanan di China.
“Kita turut ditawarkan pesawat tersebut (J-10C) dan ia kini sedang dinilai sebagai salah satu opsyen sama ada sesuai untuk digunakan sebagai sebahagian daripada aset pertahanan kita,” ujar Donny.
Menurut beliau lagi, pendirian Indonesia yang mengamalkan dasar luar negara bebas dan aktif membolehkan negara Asia Tenggara itu mempunyai ruang yang luas untuk meneroka kerjasama pertahanan dengan mana-mana negara, termasuk dalam aspek perolehan aset ketenteraan.
Namun begitu, selain pertimbangan berkaitan dasar luar negara, aspek lain yang turut perlu diambil kira sebelum sesuatu aset ketenteraan dierolehi ialah keupayaannya untuk diintegrasikan dengan sistem teknologi sedia ada yang dimiliki oleh Tentera Nasional Indonesia.
“Seterusnya, kita juga perlu menilai keupayaan pesawat itu—sejauh mana jarak penerbangannya, jenis persenjataan yang boleh dibawanya—itu semua akan menjadi sebahagian daripada penilaian kita nanti,” kata Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia itu.
Sebelum ini, isu mengenai kemungkinan pembelian pesawat J-10C untuk memperkukuh kekuatan TNI-AU hangat diperkatakan.
Pada akhir bulan lepas, media pertahanan melaporkan bahawa Indonesia merancang untuk membeli 42 buah pesawat pejuang J-10C terpakai daripada China, selain berkemungkinan meneruskan cadangannya untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang Su-35.

Laporan tentang minat secara “tiba-tiba” Jakarta untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C itu muncul selepas kejayaan pesawat pejuang buatan CAC dilaporkan menunjukkan prestasi cemerlang dalam konflik Pakistan-India yang tercetus baru-baru ini.
Walaupun tidak ada pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia setakat ini, tetapi portal pertahaan Alert 5 menyatakan bahawa pengumuman berkenaan perkara itu dijangka dilakukan pada pameran Indo Defence and Expo pada tahun ini yang akan berlangsung pada pada 11 Jun hingga 14 Jun.
Menurut laporan, selain perolehan 42 buah pesawat pejuang J-10C negara Asia Tenggara itu juga dikatakan bercadang untuk meneruskan pembelian pesawat pejuang Su-35 yang sebelum ini tertangguh akibat pelbagai sebab.
Prestasi cemerlang J-10C semasa konflik Pakistan-China baru-baru ini membuatkan nama pesawat pejuang generasi 4.5 itu meniti di bibir pemerhati ketenteraan di seluruh dunia, menyebabkan saham syarikat CAC melonjak naik manakala saham syarikat Dassault Aviation yang membangunkan pesawat pejuang Rafale menjunam.
Semasa pameran aeroangkasa dan maritime LIMA 2025 di Langkawi baru-baru ini, model pesawat pejuang J-10CE yang dipamerkan di booth pameran China di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi telah menarik perhatian ramai, sebagaimana diperkatakan oleh portal berita Global Times.
“Pesawat pejuang J-10CE, iaitu varian eksport kepada J-10C, menjadi tumpuan utama di booth China (di LIMA 2025) selepas mencipta kejayaan dalam pertempuran sebenar, sekaligus menarik perhatian pengunjung antarabangsa dan penganalisis ketenteraan yang teruja untuk melihat lebih dekat keupayaan pesawat tersebut,” menurut portal berita China itu.
China menerusi syarikat milik negaranya, China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) memanfaatkan kehadiran pesawat J-10CE untuk mencabar dominasi Barat dan Russia dalam perdagangan senjata global.

Pesawat pejuang J-10C itu kini diketengahkan sebagai pilihan berdaya saing untuk negara-negara seperti Malaysia yang sedang berusaha memodenkan angkatan udara masing-masing.
Seorang pakar hal ehwal ketenteraan China memberitahu Global Times bahawa sistem persenjataan canggih buatan negara itu, diwakili oleh siri pesawat pejuang J-10, kini sedang mengubah secara menyeluruh persepsi dunia terhadap keupayaan ketenteraan China dan industri pertahanannya, malah turut mempengaruhi landskap industri pertahanan global.
Sejak mula ditauliahkan secara rasmi di dalam tentera udara (PLAAF) pada tahun 2006, pesawat pejuang J-10 dengan pantas menjadi tulang belakang aset tempur utama Tentera Udara China.
Pesawat ini sering mewakili Tentera Udara China serta industri penerbangan negara itu dalam pelbagai acara umum dan latihan ketenteraan, sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.
Pesawat pejuang J-10C merupakan varian paling moden dalam keluarga J-10 yang dibangunkan oleh China sebagai simbol kemajuan teknologi ketenteraan dan keupayaan industri pertahanannya yang semakin matang.
J-10C menampilkan peningkatan ketara berbanding varian sebelumnya termasuk sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA), integrasi sistem peperangan elektronik yang lebih sofistikated serta keupayaan untuk membawa pelbagai jenis peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) seperti PL-15 yang dikatakan mampu menyerang sasaran sejauh lebih 200 kilometer.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, enjin turbofan WS-10B buatan tempatan yang semakin mantap, serta sistem avionik bersepadu yang meningkatkan kesedaran situasi juruterbang dan memudahkan pengoperasian dalam persekitaran pertempuran kompleks.

Dari segi reka bentuk, J-10C menggabungkan elemen aerodinamik yang canggih termasuk canard delta configuration yang membolehkannya melakukan manuver tajam dan beroperasi dalam pelbagai misi — daripada dominasi udara hingga kepada serangan darat.
Pembangunan J-10C bukan sahaja memenuhi keperluan Tentera Udara China (PLAAF), tetapi juga menandakan lonjakan strategik dalam usaha Beijing menjadi pemain utama dalam pasaran eksport pesawat pejuang global.
Dengan pelancaran varian eksport J-10CE yang kini dioperasikan oleh Pakistan, China menunjukkan keupayaannya bukan sekadar membangunkan pesawat berkeupayaan tinggi, tetapi juga menawarkannya sebagai alternatif kepada pesawat pejuang Barat dan Rusia di pasaran antarabangsa.
Keseluruhannya, pembangunan J-10C memperkukuhkan imej China sebagai kuasa besar ketenteraan moden dan memberi kesan mendalam terhadap keseimbangan kuasa udara di rantau Asia dan seterusnya.
Sehingga tahun 2025, Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force, PLAAF) mengoperasikan sekitar 220 unit pesawat pejuang J-10C, menjadikannya antara tulang belakang utama dalam armada tempur udara negara itu.

Spesifikasi Teknikal Pesawat Pejuang J-10C
-
Reka Bentuk dan Konfigurasi Aerodinamik
J-10C direka menggunakan konfigurasi sayap delta dengan canard di hadapan, memberikan kestabilan dan keupayaan manuver tinggi dalam pertempuran jarak dekat.
Struktur badan diperbuat daripada gabungan logam dan bahan komposit untuk mengurangkan berat dan menambah kekuatan, serta mengurangkan kesan radar (low observable design).
-
Enjin dan Prestasi
Pesawat ini dilengkapi dengan enjin turbofan WS-10B buatan tempatan, menggantikan enjin AL-31FN buatan Rusia yang digunakan pada varian terdahulu.
-
Kelajuan maksimum: Mach 2.0
-
Ketinggian operasi maksimum: 18,000 meter
-
Jarak operasi (combat radius): Sekitar 1,100–1,500 km bergantung kepada muatan dan misi
-
Jarak ferry (tanpa muatan tempur): Lebih 3,000 km dengan tangki bahan api luaran
-
Avionik dan Sistem Kawalan
J-10C menampilkan sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang meningkatkan jarak pengesanan, penjejakan berbilang sasaran dan rintangan terhadap gangguan elektronik.
Ia turut dilengkapi sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, paparan glass cockpit dengan skrin multifungsi, helmet-mounted display (HMD), serta sistem kawalan misi bersepadu yang membolehkan juruterbang menyesuaikan taktik di udara secara pantas.
-
Sistem Peperangan Elektronik dan ECM
J-10C dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare, EW) yang canggih termasuk:
-
Radar warning receiver (RWR)
-
Electronic countermeasures (ECM)
-
Chaff and flare dispensers
-
Infrared Search and Track (IRST) untuk mengesan sasaran dengan tanda haba
Ini membolehkan pesawat beroperasi dalam persekitaran yang dipenuhi ancaman radar dan peluru berpandu berpandu.
-
Persenjataan dan Payload
J-10C mempunyai 11 hardpoint dan mampu membawa pelbagai jenis senjata untuk misi penguasaan udara, serangan darat dan anti-kapal:
Peluru berpandu udara-ke-udara (AAM):
-
PL-15: BVR jarak jauh dengan enjin ramjet dan radar aktif (jangkauan lebih 200 km)
-
PL-10: Peluru berpandu jarak dekat berpandukan inframerah dengan keupayaan high off-boresight
-
PL-8 dan PL-12: Untuk varian sebelumnya
Peluru berpandu udara-ke-permukaan dan anti-kapal:
-
KD-88: Rudal berpandu TV / IR / radar terhadap sasaran darat
-
YJ-91: Anti-radar atau anti-kapal
-
Berbagai jenis bom berpanduan laser dan satelit (LT-2, LS-6)