Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Sasar Muktamad Perolehan LMS Batch 2 Tahun Ini, Kapal Pertama Siap 2027

Berbanding dengan empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 1 yang jauh lebih kecil dan tidak memiliki keupayaan kombatan, kapal-kapal LMS Batch 2 bukan sahaja jauh lebih besar daripada segi saiznya, tetapi ia juga dilengkapkan dengan keupayaan kombatan seperti sistem peluru berpandu kapal-ke-kapal dan juga peluru berpandu kapal-ke-udara.

0 3,365

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mensasarkan ia akan menerima kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 yang pertama pada tahun 2027, disusuli kapal LMS kedua dan LMS ketiga di antara enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan kapal pertama.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, tarikh sebenar penerimaan kapal LMS Batch 2 yang kedua dan ketiga akan bergantung kepada proses pembinaannya.

“Kita harapkan tahun ini dapat dimuktamadkan perolehan itu (tiga buah kapal LMS Batch 2). Sekarang ini kita masih menunggu keputusan sama ada kita akan berurusan (bagi peroleh kapal-kapal LMS Batch 2) secara Government-to-Governmen atau secara terus dengan pihak industri yang akan membekalkan kapal tersebut,” kata beliau.

Ada
Kapal korvet kelas-ADA Tentera Laut Turki, TCG Kinaliada (F 514)

 

Abdul Rahman berkata demikian pada media selepas merasmikan Istiadat Perbarisan Hari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. 

Menurutnya, perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 itu dibincangkan di peringkat kementerian.

Namun TLDM secara amnya telah bersedia dengan spesifikasi yang diperlukan dan telah pun mengenalpasti beberapa model kapal yang berpotensi untuk menjadi kapal-kapal LMS Batch 2 milik TLDM,katanya.

Berbanding dengan empat buah kapal LMS Batch 1 yang jauh lebih kecil dan tidak memiliki keupayaan kombatan, kapal-kapal LMS Batch 2 bukan sahaja jauh lebih besar, tetapi juga dilengkapkan dengan keupayaan kombatan seperti sistem peluru berpandu kapal-ke-kapal dan juga peluru berpandu kapal-ke-udara.

Keempat-empat kapal LMS Batch 1 diperolehi daripada China dengan kos lebih RM1 bilion.

Submariner
Panglima TLDM yang baru baru Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob

 

Pada Mac lalu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad berada Turkiye untuk lawatan kerja selama dua hari, di mana beliau dipercayai mengadakan perbincangan dengan industri pertahanan negara Mediterranean itu tentang cadangan perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 untuk TLDM.

Bercakap di Parlimen pada 8 Mac lalu, Mohamad Hasan berkata bahawa beliau akan ke Turkiye untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan negara itu serta agensi pertahanannya berkaitan  dengan cadangan perolehan kapal-kapal LMS Batch II untuk kegunaan TLDM.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II yang pertama daripada lapan buah keseluruhan itu akan dilakukan menggunakan kaedah Government-to-Government (G-to-G) bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pembinaannya, sebagaimana yang berlaku dalam program pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS). 

“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  untuk pergi ke Turkiye. Untuk berunding dengan rakan sejawatan saya dan juga agensi pertahanan negara di sana untuk kita mendaftarkan minat kita terhadap perolehan kapal-kapal LMS itu.

“Dan kita lihat bagaimana perundingan ini boleh kita segerakan, supaya perolehan kapal-kapal LMS Batch II dibuat secara telus yang mungkin.”

LMS
Kapal LMS TLDM yang keempat dan terakhir, “KD Rencong” yang dibina oleh syarikat China, CSOC untuk TLDM.

 

“Kita tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi urusan antara kerajaan dengan kerajaan,” kata Mohamad Hasan sambil menambah bahawa apa yang penting adalah kaedah G-to-G itu dapat memastikan TLDM memperolehi kapal-kapal perang terbabit dalam keadaan yang baik dan tepat pada masanya.

 Pada 11 Mac lalu, Defence Security Asia dalam laporannya yang memetik laman pertahanan Turkiye berkata TLDM berkemungkinan besar akan memilih rekabentuk kapal korvet kelas-Ada untuk menjadi pilihan rekabentuk bagi kapal-kapal LMS Batch II.

Laman web pertahanan Turki, SavunmaSanayiST.com menyatakan bahawa rekabentuk kapal korvet kelas-Ada dibangunkan oleh syarikat perkapalan negara itu, STM, berkemungkinan besar menjadi pilihan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk program pembinaan kapal-kapal LMS Batch II.

Menurut laman web itu lagi, Malaysia akan memperolehi tiga buah kapal LMS Batch II di bawah fasa pertama manakala lapan buah lagi kapal diperolehi dalam fasa kedua.

“Peruntukan untuk pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan di bawah fasa pertama dengan program (pembinaan tiga buah kapal) berkenaan menelan belanja US$530 juta (RM2.2 bilion),” menurut laman web Turki itu dalam artikel yang disiarkan pada 8 Mac yang lalu. 

Tentera Laut Turki mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-Ada pada masa ini manakala kapal kelas yang sama juga sedang dibina untuk Tentera Laut Ukraine.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

Kapal korvet kelas-Ada ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-Ada ini dijana oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-Ada memiliki berat 2,400 tan. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...