(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Staff Tentera Udara Korea Selatan Jeneral Lee Young-su melakukan penerbangan ujian yang pertama beliau dengan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae yang kini kini berada di tahap terakhir program pembangunannya sebelum mula menyertai Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada tahun depan.
Pesawat pejuang KF-21 itu akan menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-4 Phantom dan F-5 milik ROKAF.
Menurut kenyataan ROKAF, Lee menaiki pesawat pejuang itu di pangkalan udara Sacheon dan terbang dengan pesawat itu yang dipandu selaju 1,000km sejam dan pada altitud 4,500 meter di perairan selatan negara itu.
Sebuah pesawat pejuang F-16 ROKAF turut sama mengiringi penerbangan KF-21 itu.
Semasa penerbangan, orang no satu ROKAF itu menilai kestabilan pesawat dalam operasi udara dan menguji keupayaannya untuk beroperasi secara bersama dengan KF-16, salah satu pesawat pejuang tentera udara negara itu.
“Dari segi kuasa, keupayaan manuver, avionik dan sistem senjata, saya yakin bahawa KF-21 setaraf dengan pesawat pejuang bertaraf dunia,” kata Lee selepas ujian penerbangan itu.
Dengan KF-21, Korea Selatan bakal menjadi beberapa negara di dunia yang berjaya membangunkan pesawat pejuang supersonik buatan sendiri, sebaris dengan Amerika Syarikat dan Russia.
“KF-21 akan meningkatkan nilai industri pertahanan Korea dan menempatkan dirinya sebagai pesawat pejuang terkemuka, ” menurut Lee.
Beliau turut menekankan keupayaan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dibangunkan oleh syarikat tempatan, khususnya dari segi ketepatan dan kesedaran situasi di medan perang.
“Sebaik sahaja berlepas, saya dapat melihat dan menjejak sasaran berhampiran serta jauh secara serentak pada paparan kokpit. Ketepatan radar ini serta keupayaan kesedaran medan perangnya berada pada tahap yang berbeza berbanding mana-mana sistem yang pernah saya gunakan sebelum ini,” katanya.
Lee merupakan juruterbang berpengalaman dengan lebih 2,800 jam penerbangan dan pernah mengendalikan pesawat-pesawat pejuang utama ROKAF termasuk F-5, F-16, dan F-15K.
Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) mula membina kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang KF-21 Boramae pada tahun lepas, bagi membolehkan pesawat pejuang itu memulakan operasinya untuk ROKAF bermula pada tahun.
Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) pada tahun lepas.
“Dibawah perjanjian itu, KAI akan menghasilkan 20 unit pesawat pejuang itu dan menyediakan bantuan lojistik, manual teknikal dan latihan. Pesawat-pesawat pejuang itu akan berkhidmat untuk ROKAF pada akhir tahun 2026.”
Walaupun dikatakan sebagai pesawat pejuang generasi 4.5,namun bagi KAI yang merupakan syarikat yang bertanggungjawab membinanya, ia adalah pesawat pejuang generasi 4.9.
Untuk kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang KF-21 yang akan menyertai ROKAF bermula tahun depan itu, ia menggunakan radar AESA yang dibangunkan oleh Hanwha Systems manakala enjinnya pula adalah daripada jenis General Electric F414-GE-400 yang dibekalkan oleh Hanwha Aerospace.
ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 100 hingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 Boramae menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 Phantom dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.
Tentera udara negara itu bercadang menjadikan pesawat pejuang KF-21 Boramae itu sebagai tulang belakang ROKAF, yang akan memainkan peranan penting sekiranya berlaku peperangan di Semenananjung Korea.
Pesawat prototaip KF-21 itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 Boramae kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia.
Dengan anggaran harga per-unit pada US$65 juta (RM306 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 10) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon.
— DEFENCE SECURITY ASIA