KD Lekiu Berjaya Tamatkan “Regional Partnership Exercise” Selama 81 Hari

Panglima Armada Barat Laksamana Pertama Datuk Abu Bakar Mohd Ajis yang menyambut kepulangan kapal perang itu berkata KD Lekiu merupakan kapal TLDM yang pertama terlibat dalam empat latihan secara berterusana selama 80 hari.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal friget Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu telah berjaya menamatkan Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX 22) yang berlangsung selama 81 hari meliputi penyertaan dalam empat latihan di tiga buah negara.

KD Lekiu bersama-sama 171 anak kapalnya tiba di Tambatan Pangkalan Lumut hari ini.

Panglima Armada Barat Laksamana Pertama Datuk Abu Bakar Mohd Ajis yang menyambut kepulangan kapal perang itu berkata KD Lekiu merupakan kapal TLDM yang pertama terlibat dalam empat latihan secara berterusana selama 80 hari.

Beliau berkata objektif utama misi itu adalah untuk menambah baik diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama serantau.

“RPEX 22 berkemampuan dalam mengekalkan keyakinan rakan-rakan serantau bahawa TLDM boleh menjadi rakan dalam menangani ancaman keselamatan serantau,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan.

(TLDM)

 

Sementara itu, pegawai memerintah KD Lekiu Kepten Mohd Reduan Ayob berkata ia adalah kali pertama bagi KD Lekiu untuk terlibat dalam empat latihan secara berterusan.

Menurutnya, kejayaan terbesar dicapai oleh KD Lekiu ketika RPEX 22 adalah ketika ia diberikan peluang untuk mengetuai tugasan ketika Eksesais Kakadu di Australia.

“Semasa di Eksesais Kakadu, untuk pertama kalinya kami diberikan tugasan besar sebagai Ketua Turus Tugas. Terdapat kapal-kapal perang besar yang lain daripada Amerika Syarikat,Thailand, Perancis dan Australia, tetapi KD Lekiu dipilih untuk mengetuainya.”

“Kepercayaan yang diberikan oleh negara-negara lain kepada TLDM membuktikan bahawa keupayaan kami adalah setanding dengan mereka. Bagi saya, ini adalah kejayaan terbesar,” katanya sambil menambah bahawa anak-anak kapal juga berhadapan dengan pelbagai cabaran melibatkan aspek-aspek operasional,kebajikan, lojistik dan lain-lain sepanjang tempoh latihan terbabit.

KD lekiu sedang melakukan Refuelling At Sea dengan kapal HMAS Stalwart.

 

Di dalam aspek operasional katanya, anak-anak kapal perlu berinteraksi dengan negara-negara asing dan ia memerlukan mereka dan kapal sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi .

“Bagi aspek lojistik pula, memandangkan tempoh kerahan adalah lebih dua bulan, maka kami memerlukan perancangan yang teliti disamping sokongan yang kuat daripada pangkalan kami. Jika tidak, kita tidak mampu berada di laut,” kata beliau yang berusia 42 tahun.

Beliau juga perlu memastikan mental dan fizikal anak-anak kapalnya sentiasa bersedia.

“Salah seorang anak kapal menerima berita menyedihkan bahawa isteri beliau meninggal dunia manakala bapa kepada seorang anak kapal juga meninggal dunia. Saya perlu memastikan bahawa emosi mereka sentiasa stabil dan mereka sentiasa fokus dengan misi,” katanya. 

KD Lekiu

 

Empat eksesais yang disertai oleh KD Lekiu meliputi satu eksesais multilateral, dua eksesais bilateral dan satu eksesais TLDM berskala besar bermula daripada 23 Ogos yang lalu.

KD Lekiu menyertai Eks MALINDO JAYA 26/22, Eks KAKADU 2022, Eks KERISMAS 2022 dan Eks MALAPURA 30/22. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

 

 

featuredKD LekiuLatihanRPEXTLDM