Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Lancar Latihan Maritim Skala Besar, Selepas India Ancam Guna Kuasa Tempur Tentera Laut

Latihan itu dilaksanakan hanya 48 jam selepas Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, mengeluarkan kenyataan keras bahawa negaranya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa tempur tentera laut sekiranya berlaku “sebarang pencerobohan oleh Pakistan,” isyarat bahawa New Delhi bersedia menggunakan kekerasan di rantau Lautan Hindi.

0 708
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Pakistan telah melaksanakan latihan maritim berskala besar selama dua hari merangkumi infrastruktur pelabuhan dan pesisir pantai negara itu, dalam usaha mengukuhkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman bawah konvensional dan tidak simetri yang semakin meningkat—khususnya berikutan beberapa percubaan kapal selam India menceroboh perairan Pakistan sebelum ini.
Latihan tersebut dijalankan pada 1 dan 2 Jun 2025, ketika ketegangan ketenteraan antara dua negara bersenjata nuklear itu terus memuncak susulan empat hari berturut-turut insiden pertempuran rentas sempadan bulan lepas membabitkan serangan udara, pelancaran peluru berpandu balistik, serangan dron bersenjata dan tembakan artileri berat di sepanjang Garisan Kawalan (LoC).
Menurut Pengarah Perhubungan Awam Tentera Laut Pakistan, Komodor Ahmed Hussain, latihan itu dirangka khusus untuk “menggubal dan mengesahkan semula taktik, teknik dan prosedur (TTP) bagi memastikan pertahanan menyeluruh ke atas infrastruktur maritim kritikal daripada pelbagai bentuk ancaman asimetrik yang semakin kompleks.”
“Latihan ini melibatkan operasi bersepadu antara unit Armada Tentera Laut Pakistan (PN Fleet), Marin Pakistan, Pasukan Khas Laut (SSG Navy) dan Aset Penerbangan Tentera Laut,” menurut kenyataan rasmi.
Senario latihan turut merangkumi simulasi pencerobohan pasukan khas musuh, sabotaj dasar laut, serangan dron berkumpulan dan serangan pelbagai domain yang diselaraskan—menandakan kesepadanan langsung dengan doktrin maritim India yang semakin menekankan peperangan berasaskan rangkaian dan tekanan pelayaran.
Latihan itu dilaksanakan hanya 48 jam selepas Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, mengeluarkan kenyataan keras bahawa negaranya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa tempur tentera laut sekiranya berlaku “sebarang pencerobohan oleh Pakistan,” isyarat bahawa New Delhi bersedia menggunakan kekerasan di rantau Lautan Hindi.
Sebagai reaksi, pihak ketenteraan Pakistan menegaskan kembali komitmen untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya, merujuk kepada kenyataan terdahulu bertarikh 12 Mei yang memberi amaran tentang “respon menyeluruh dan tegas” terhadap sebarang pelanggaran sempadan maritimnya.
Panglima Pemerintahan Pantai (COMCOAST), Laksamana Muda Faisal Amin, turut meninjau beberapa pos operasi semasa latihan dan menyaksikan secara langsung simulasi termasuk tindak balas terhadap pelanggaran pelabuhan serta pemintasan ancaman dasar laut oleh Pasukan Khas Laut dan unit anti-sabotaj.
Indian Submarines
Kapal selam kelas-Kalvari Tentera Laut India
Dalam ucapannya, beliau memuji tahap kesiapsiagaan tinggi dan profesionalisme anggota yang terlibat serta menekankan bahawa keselamatan pelabuhan strategik seperti Gwadar dan Karachi merupakan asas kestabilan ekonomi nasional dan kelangsungan Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).
“Tentera Laut Pakistan kekal komited untuk mengekalkan kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman dan akan terus memperkukuh kapasiti mempertahankan sempadan maritim daripada cabaran masa depan,” jelas Komodor Hussain.
Komitmen itu bukan sekadar retorik—Pakistan telah beberapa kali memintas kapal selam India yang cuba menyusup masuk secara rahsia ke dalam wilayah perairannya, dengan insiden terbaru disahkan ketika latihan SEASPARK-22 pada Mac 2022.
Dalam insiden berkenaan, unit Peperangan Anti-Kapal Selam (ASW) Tentera Laut Pakistan berjaya mengesan dan menjejak sebuah kapal selam diesel-elektrik kelas Kalvari milik India yang dikesan cuba menyelinap masuk ketika latihan maritim sedang berlangsung di bawah kawalan komunikasi senyap.
Kapal selam India itu yang sedang beroperasi di paras snorkel bagi mengecas semula bateri lithium-ion telah dikenalpasti menerusi sistem kesedaran domain maritim berlapis Pakistan, yang dipercayai melibatkan pesawat rondaan maritim P-3C Orion, sonar tunda (towed sonar) dan sensor hidrofoni dasar laut.
“Namun sekali lagi, melalui pemantauan berterusan dan tahap profesionalisme yang tinggi, Tentera Laut Pakistan telah menggagalkan cubaan kapal selam India untuk menceroboh perairan negara,” kata kenyataan ISPR.
Tambah ISPR, “Pemantauan rapi dan prosedur pengawasan ketat telah dikuatkuasakan. Hasilnya, unit ASW Tentera Laut Pakistan mengambil tindakan pantas dan berjaya mengesan serta menjejaki lebih awal kapal selam Kalvari berkenaan.”
Insiden pada tahun 2022 itu merupakan kali keempat dalam tempoh lima tahun Pakistan berjaya mengesan kehadiran kapal selam India di perairannya, selepas insiden serupa dilaporkan pada Oktober 2019 dan November 2016 yang turut dipintas oleh pesawat rondaan maritim jarak jauh dan sistem sonar pantai.
Kapal selam kelas Kalvari adalah kapal selam serangan diesel-elektrik berdasarkan reka bentuk Scorpène buatan Perancis dan dibina di India di bawah Projek-75.
Kapal ini dilengkapi dengan ciri penyamaran akustik canggih dan tahap bunyi rendah yang menyukarkan pengesanan, serta bersenjata dengan torpedo berat dan peluru berpandu anti-kapal permukaan SM.39 Exocet.
Indian Submarines
Kapal selam India
Ia juga menggunakan sistem pengurusan tempur SUBTICS yang mengintegrasi kesemua sensor dan persenjataan dalam platform untuk operasi yang lebih cekap dan terpadu.
Siri insiden ini menunjukkan bahawa satu bentuk peperangan senyap di bawah permukaan sedang berlaku antara India dan Pakistan, dengan implikasi yang bukan sahaja melibatkan ketegangan serantau, malah menyentuh kestabilan maritim global di perairan Lautan Hindi Barat dan Selat Hormuz.
Penganalisis pertahanan laut memberi amaran bahawa dengan kedua-dua negara sedang memperluas armada kapal selam masing-masing—India menerusi Projek-75(I) dan SSBN kelas Arihant, manakala Pakistan melalui lapan buah kapal selam kelas Hangor Type 039B buatan China—pertembungan bawah laut dijangka menjadi lebih kerap dan kompleks.
Perkembangan ini menuntut keperluan segera untuk mewujudkan mekanisme kawalan dan arahan yang kukuh, disiplin strategik, serta saluran komunikasi ketenteraan dua hala yang terbuka bagi mengelak salah perhitungan yang boleh mencetuskan eskalasi tidak terkawal di domain maritim yang sememangnya kurang telus.
Ketika Pakistan menunjukkan kesungguhan memperkukuh garis pantai dan laluan laut kritikal daripada ancaman kelabu (grey-zone), latihan terkini dan insiden kapal selam India menjadi peringatan jelas bahawa titik letusan paling berbahaya di Asia Selatan kini mungkin sedang terbentuk jauh di bawah permukaan laut.
Menjelang pertengahan tahun 2025, Tentera Laut India mengoperasikan sebanyak 17 buah kapal selam, terdiri daripada 15 kapal selam serangan diesel-elektrik (SSK) dan dua platform berkuasa nuklear, menjadikan ia antara armada bawah permukaan paling berpengaruh di rantau Lautan Hindi.
Tonggak kepada keupayaan kapal selam konvensional India ialah enam buah kapal selam kelas Kalvari, berdasarkan reka bentuk Scorpène dari Perancis dan dibina secara domestik melalui Projek-75.
Lima buah kapal—INS Kalvari, Khanderi, Karanj, Vela dan Vagir—telah beroperasi sepenuhnya, manakala kapal keenam, INS Vagsheer, kini menjalani ujian pelayaran dan dijangka ditauliahkan sebelum hujung tahun 2025.
Kapal-kapal ini dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal Exocet dan torpedo berat, dengan varian terkini dijangka menerima sistem propulsi bebas udara (AIP) untuk meningkatkan tempoh operasi dasar laut dan tahap penyamaran dalam zon tempur pesisir.
India turut mengoperasikan lapan buah kapal selam Kilo yang telah dinaik taraf—dikenali sebagai kelas Sindhughosh—yang diperoleh dari Rusia antara akhir 1980-an hingga awal 2000-an.
Pakistan Subs
Kapal selam kelas-Agosta Tentera Laut Pakistan
Walaupun usia operasinya semakin lanjut, naik taraf pertengahan hayat dan integrasi peluru berpandu jelajah Club-S membolehkan kapal-kapal ini kekal relevan dalam peranan serangan dan rondaan.
Melengkapkan armada tersebut ialah empat buah kapal selam Jerman jenis Type 209/1500, dikenali sebagai kelas Shishumar, yang digunakan untuk latihan dan pertahanan pantai, dengan satu daripadanya baru-baru ini menjalani naik taraf lanjutan hayat perkhidmatan.
Bagi elemen pencegahan nuklear maritim, India bergantung kepada kapal selam peluru berpandu balistik kelas Arihant (SSBN) yang menjadi tunggak kepada triniti strategik negara itu.
INS Arihant, yang ditauliahkan sejak 2016, membawa peluru berpandu K-15 SLBM berjangkauan 750 km, manakala kapal pengganti INS Arighat kini sedang dalam fasa akhir kelengkapan dan dijangka membawa K-4 SLBM yang mampu menjangkau sehingga 3,500 km.
Untuk keupayaan serangan nuklear, India sebelum ini mengoperasikan INS Chakra II, sebuah kapal selam penyerang nuklear (SSN) kelas Akula yang dipajak dari Rusia dan dipulangkan pada 2021.
Perancangan sedang dijalankan untuk memajak satu lagi Akula (Chakra III), di samping pembangunan enam buah SSN tempatan di bawah program Komando Pasukan Strategik (SFC) yang bakal menjadi tulang belakang armada bawah permukaan masa depan India.
Langkah besar seterusnya—Projek-75I—menyasarkan pemerolehan enam buah SSK generasi baharu dengan sistem AIP dan pelancar menegak (VLS) untuk peluru berpandu kelas BrahMos, walaupun projek ini menghadapi beberapa kelewatan dalam proses perolehan.
Antara calon pembekal termasuk Korea Selatan, Rusia, Jerman dan Sepanyol, dengan keputusan akhir dijangka dibuat antara tahun 2025 hingga 2026.
Walaupun ketinggalan dari segi bilangan berbanding China, armada kapal selam India mendapat kelebihan menerusi integrasi rangkaian operasi, penggunaan pesawat rondaan maritim jarak jauh P-8I Poseidon, serta peningkatan kemampuan pembinaan domestik.
Dalam konteks ketegangan serantau melibatkan tindakan agresif tentera laut China dan manuver asimetrik Pakistan, armada kapal selam India menyediakan keupayaan pencegahan yang berkesan serta kelebihan serangan senyap yang berstrategik.
Pakistan Submarines
Kapal selam Pakistan
Dengan ketegangan berterusan di Garisan Kawalan (LAC) dan persaingan strategik yang mendalam di Indo-Pasifik, kapal selam kekal sebagai instrumen kuasa maritim paling lestari dan berkesan milik India.
Dalam masa yang sama, di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin memuncak di Lautan Hindi, Pakistan giat memodenkan armada kapal selamnya sebagai sebahagian daripada strategi penafian kawasan (sea-denial) dan pencegahan nuklear gelombang kedua.
Teras kepada doktrin peperangan bawah laut Pakistan ialah gabungan kapal selam reka bentuk Perancis dan gelombang baharu kapal selam moden buatan China, yang membentuk kekuatan berlapis yang berupaya menjalankan operasi pengawasan, intersepsi dan pencegahan strategik di titik-titik maritim kritikal.
Ketika ini, Tentera Laut Pakistan mengoperasikan lima buah kapal selam diesel-elektrik (SSK): tiga kapal kelas Agosta-90B (kelas Khalid) yang telah dinaik taraf dengan sistem AIP MESMA, serta dua kapal kelas Agosta-70 (kelas Hashmat) yang lebih lama, masih berfungsi dalam peranan latihan dan sokongan.
Kapal-kapal kelas Agosta-90B, yang terdiri daripada PNS Khalid, PNS Saad dan PNS Hamza, merupakan tunjang kepada keupayaan serangan bawah permukaan Pakistan.
Masing-masing seberat kira-kira 2,000 tan ketika menyelam, kapal ini dibina dengan kerjasama Perancis pada lewat 1990-an dan awal 2000-an, dan kini telah menerima naik taraf pertengahan hayat di bawah kontrak bernilai USD350 juta dengan syarikat pertahanan Turki, STM.
Naik taraf ini merangkumi pemasangan sistem sonar terkini, suite pengurusan tempur, sistem peperangan elektronik, periskop baharu dan sistem kawalan tembakan yang mampu melancarkan torpedo berat dan peluru berpandu jelajah dari kapal selam.
Sementara itu, kelas Agosta-70 yang terdiri daripada PNS Hashmat dan PNS Hurmat, masih beroperasi sejak penghujung 1970-an, dan digunakan untuk tugasan sokongan dan latihan.
Tumpuan utama pemodenan kini terarah kepada lapan buah kapal selam kelas Hangor yang dibina berdasarkan reka bentuk kelas Type 039B (kelas Yuan) buatan China, yang dilengkapi sistem AIP dan teknologi penyamaran moden.
Berdasarkan perjanjian bernilai USD4–5 bilion yang dimeterai antara Islamabad dan Beijing pada 2015, empat kapal sedang dibina di China, manakala empat lagi dibina di Karachi Shipyard & Engineering Works (KSEW) dengan pemindahan teknologi penuh.
Pakistan
Pembinaan kapal selam kelas-Hangor Pakistan-China
Pakistan
Type 039A (Hangor-class)
Sehingga 2025, dua buah kapal—PNS Hangor dan PNS Shushuk—telah dilancarkan di limbungan kapal China dan dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Pakistan menjelang akhir 2025 dan 2026.
Kapal-kapal ini, yang seberat kira-kira 2,800 tan, dijangka mampu melancarkan peluru berpandu jelajah Babur-3 dari bawah permukaan laut, iaitu sistem berpandu nuklear dengan jangkauan sekitar 450 km, yang menambah kredibiliti pencegahan strategik Pakistan.
Dengan sonar aktif/pasif moden, sistem tempur bersepadu dan AIP jangka panjang, kapal selam kelas Hangor bakal memberikan Pakistan kehadiran berterusan di Laut Arab sehingga ke Selat Hormuz.
Kapal-kapal ini akan memperkukuh keupayaan Pakistan untuk melaksanakan operasi penafian kawasan, ISR strategik serta rondaan pencegahan di kawasan maritim yang semakin dipertikaikan—terutamanya sebagai reaksi kepada kehadiran strategik Tentera Laut India dan latihan bersama dengan negara-negara QUAD.
Selari dengan itu, Pakistan turut meningkatkan keupayaan Peperangan Anti-Kapal Selam (ASW) dengan penggunaan pesawat rondaan P-3C Orion, sistem sensor bawah laut tanpa pemandu, dan rangkaian kapal permukaan yang diperluas.
Kepimpinan tentera laut Pakistan juga menekankan kepentingan kapal selam dalam melindungi laluan perdagangan maritim utama dan menggagalkan tindakan agresif musuh, terutamanya di sekitar pelabuhan strategik Gwadar, yang merupakan elemen penting dalam Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).
Memandangkan Tentera Laut India turut giat memodenkan armadanya dengan kapal selam kelas Kalvari dan peluru berpandu nuklear, penekanan Pakistan terhadap pembinaan domestik, teknologi AIP dan integrasi sistem persenjataan strategik mencerminkan usaha terancang ke arah kemandirian, ketahanan dan keseimbangan kuasa bawah laut.
Menjelang penghujung dekad ini, Pakistan dijangka mengoperasikan sekurang-kurangnya 11 buah kapal selam moden, majoritinya berkeupayaan AIP, sekaligus menjadikan armada bawah permukaannya antara yang paling ditakuti di rantau ini—walaupun dengan saiz armada yang lebih kecil secara keseluruhan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.