Menteri di India Mahu Kerajaan Modi Telus Tentang “Kehilangan” Pesawat Pejuang Rafale
Menteri Pengairan dan Bekalan Awam di negeri Telagana N.Uttam Reddy yang juga bekas juruterbang Tentera Udara India mengkritik kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi kerana tidak telus berkenaan dakwaan pesawat pejuang Rafale Tentera Udara negara itu telah ditembak jatuh oleh Pakistan dalam konflik terbaru di antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang menteri di sebuah negeri di India yang juga merupakan bekas juruterbang di dalam Tentera Udara India mendesak kerajaan pusat negara itu supaya telus tentang dakwaan pesawat pejuang negara itu ditembak jatuh di dalam konflik Pakistan-India terutamanya melibatkan pesawat pejuang Rafale miliknya.
Menteri Pengairan dan Bekalan Awam di negeri Telagana N.Uttam Reddy yang juga bekas juruterbang Tentera Udara India mengkritik kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi kerana tidak telus berkenaan dakwaan pesawat pejuang Rafale Tentera Udara negara itu telah ditembak jatuh oleh Pakistan dalam konflik terbaru di antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.
“Kami mengalu-alukan kepulangan anggota juruterbang Tentera Udara India dengan selamat selepas berjaya melaksanakan misi mereka.”
“Namun begitu, kerajaan pusat perlu memberikan penjelasan berhubung laporan yang mendakwa sebuah pesawat pejuang negara telah ditembak jatuh.”
“Kerajaan juga perlu mendedahkan jumlah pesawat pejuang milik Pakistan yang telah berjaya ditembak jatuh,” kata beliau yang juga merupakan antara pemimpin parti Kongres India kepada wartawan dalam sidang media di New Delhi.
Kerajaan pusat India dipimpin oleh Modi daripada parti BJP.
Desakan oleh Reddy itu dibuat dibuat susulan laporan bahawa Ketua Staf Angkatan Tentera India, Jeneral Anil Chauhan telah mengesahkan bahawa Tentera Udara India telah kehilangan pesawat pejuang dalam konflik dengan Pakistan dalam satu temu bual bersama Bloomberg di Singapura beberapa hari lalu.

Dalam temuramah dengan Bloomberg itu, buat pertama kali pemimpin Angkatan Tentera India mengakui bahawa ia telah kehilangan pesawat pejuang dalam konflik ketenteraan dengan Pakistan beberapa minggu lalu, namun tidak mendedahkan bilangan pesawat pejuang yang ia telah hilang ketika konflik itu.
Jen Anil Chauhan berkata konflik di antara kedua-dua negara jiran itu tidak pernah menghampiri konflik nuklear.
“Apa yang penting adalah bukanlah soal pesawat pejuang itu telah jatuh, tetapi mengapa ia (pesawat pejuang) itu jatuh, “ kata beliau dalam satu temuramah dengan Bloomberg TV ketika sedang menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura.
Beliau juga menyatakan bahawa dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India adalah “tidak tepat sama sekali”, namun pada masa yang sama tidak mendedahkan bilangan sebenar pesawat pejuang miliknya yang ditembak jatuh.
“Mengapa mereka (pesawat pejuang) itu jatuh, apa kesilapan yang telah kita buat, ia adalah lebih penting,” kata Chauhan ketika ditanya berkenaan pesawat pejuang itu.
“Bilangan adalah tidak penting,” kata beliau.
“Apa yang baik adalah kita mampu memahami kesilapan-kesilapan taktikal yang telah kita buat, mengenalpasti dan memperbaikinya dan melaksanakan semula selepas dua hari selepas itu dan menerbangkan kesemua pesawat pejuang kita dan membedil sasaran pada jarak jauh,” kata beliau tentang konflik Pakistan-India yang tercetus pada 7 Mei lepas.

Pemimpin parti Kongres India dan menteri di negeri Telagana itu turut mengkritik parti BJP kerana didakwa sering menyasarkan pemimpin Kongres sebagai “tidak patriotik” setiap kali persoalan seperti pesawat pejuang Rafale itu dibangkitkan.
“Jika pemimpin kami, Rahul Gandhi, mengeluarkan kenyataan yang sama, sudah tentu pemimpin BJP akan melancarkan kempen besar-besaran terhadap beliau.”
“Kebertanggungjawaban secara demokratik amat penting dalam operasi ini dan ia tidak seharusnya dikaitkan dengan soal patriotisme.”
“Adakah mereka akan mempersoalkan semangat patriotik Ketua Staf Pertahanan, Jeneral Anil Chauhan? Tiada siapa yang lebih patriotik daripada keluarga Gandhi,” kata Reddy.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan kerajaan pusat India pimpinan Modi memberikan maklum balas yang sewajarnya berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenai gencatan senjata sebelum ia diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pengarah Operasi Ketenteraan (DGMOs) kedua-dua negara.
Pada 17 Mei lalu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menyatakan bahawa Angkatan Tentera negara itu telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India dalam konflik paling serius antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun lepas.
Pesawat pejuang ke-enam Tentera Udara India jenis Mirage 2000 telah disahkan ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan pada malam 6- 7 Mei lalu di Pampore di timur Srinagar, India.

Sebelum itu, Pakistan mendakwa ia berjaya menembak lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India terdiri daripada tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Su-30MKI dan sebuah pesawat pejuang MiG-29.
Pesawat pejuang keenam India, Mirage 2000 juga dipercayai ditembak jatuh oleh J-10C Pakistan menggunakan PL-15.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu dipercayai ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang J-10C atau JF-17 “Thunder” menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15 yang dibangunkan oleh China.
Pesawat pejuang J-10C yang digunakan oleh Tentera Udara Pakistan itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) manakala pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara usahasama antara CAIG dan Pakistan Aaeronautical Complex (PAC).
Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu dipercayai ditembak jatuh oleh sama ada J-10C dan JF-17 “Thunder” menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 yang dibangunkan oleh China.

Laporan sebelum ini menyatakan ada di antara pesawat-pesawat pejuang India itu ditembak jatuh daripada jarak sehingga 182km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 yang dibangunkan oleh China itu.
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dipercayai masih berada di dalam ruang udara negara itu ketika ia bertindak melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India ketika hari-hari pertama konflik di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu.
Pertembungan di antara pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India dan Tentera Udara Pakistan pada hari-hari pertama konflik Pakistan-India itu disifatkan oleh pemerhati sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah” melibatkan 125 buah pesawat pejuang daripada kedua-dua negara.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 itu memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti-bukti yang sukar disangkal, namun tentera dan kerajaan India masih enggan mengakui ia kehilangan lima (dan kini enam buah) pesawat pejuangnya termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis akibat ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.

Ketika ditanya tentang nasib tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya, Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti hanya berkata, “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dakwaan Pakistan menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu turut disokong oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat dan Perancis.
“Pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya dua buah pesawat pejuang Tentera Udara India,” menurut pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat kepada agensi berita antarabangsa Reuters.
Wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Pegawai perisikan Perancis itu juga turut memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa negara itu sedang melihat dakwaan bahawa lebih daripada sebuah pesawat pejuang Rafale milik India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
CNN dalam laporannya menyatakan bahawa pegawai Amerika Syarikat dalam penilaian mereka mengesahkan bahawa tentera Pakistan telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang milik India semasa serangan udara yang dilancarkan India ke atas wilayah Pakistan.
Stesen televisyen itu menyatakan bahawa pegawai kanan Amerika itu mempunyai akses kepada laporan penilaian terkini.

Namun begitu, Amerika Syarikat masih belum mengesahkan jenis sistem persenjataan yang digunakan oleh pasukan Pakistan untuk menembak jatuh pesawat tersebut.
Semalam, jurucakap Kementerian Angkatan Tentera Perancis menyatakan bahawa ia sedang berhubung rapat dengan India untuk memahami dengan lebih baik tentang “nasib” pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India yang dilaporkan telah ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang Pakistan.
Jurucakap kementerian itu menyatakan bahawa keadaan tentang nasib pesawat pejuang Rafale yang dioperasikan oleh India itu masih tidak pasti sehingga kini dan kerajaan Perancis sedang cuba memastikan dakwaan menyatakan ia telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
“Berhubung dengan konflik yang sedang berlaku antara India dan Pakistan, apa yang saya perhatikan secara utama ialah kita sedang berada dalam keadaan “fog of war” atau kekeliruan peperangan, di samping berdepan dengan perang maklumat yang sangat sengit.”
“Dengan kata lain, perkara yang paling kita tahu pada hari ini ialah kita sebenarnya tidak mengetahui apa yang benar-benar berlaku.”
“Jadi memang wujud beberapa dakwaan yang tidak akan saya ulangi kerana tiada maklumat yang disahkan setakat ini,” kata jurucakap itu.
Kerajaan Perancis dikatakan amat bimbang dengan dakwaan menyatakan Tentera Udara India telah kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya yang merupakan tulang belakang kepada kekuatan tempur udarannya.
“Isu berkaitan pesawat Rafale sememangnya merupakan perkara utama yang sangat penting bagi kami,” kata jurucakap berkenaan.

“Kami secara semula jadi ingin mengetahui dengan lebih jelas apa yang telah berlaku, dan sebab itu kami sedang berusaha untuk kekal rapat dengan rakan kerjasama kami di India bagi memahami situasi ini dengan lebih mendalam.
“Sudah tentu, maklum balas paling signifikan akan datang daripada penggunaan pesawat ini dalam pertempuran berintensiti tinggi yang, menurut beberapa laporan, melibatkan ratusan pesawat. Oleh itu, kami sedang mengikuti perkembangan ini dengan penuh teliti,” kata jurucakap Kementerian Angkatan Tentera Perancis itu lagi.
Jika laporan tentang kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Pakistan itu adalah benar, maka ia adalah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation yang pertama ditembak jatuh sejak ia diperkenalkan di pasaran sejak 20 tahun yang lalu.
Laporan-laporan tentang Tentera Udara India telah kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya turut menyebabkan saham syarikat pembuatnya, Dassault Aviation jatuh menjunam.
Saham syarikat Dassault Aviation yang mengeluarkan pesawat pejuang Rafale yang digunakan oleh Tentera Udara India mengalami kejatuhan sebanyak 9.48 peratus sepanjang lima hari lepas sejak berlakunya konflik di antara Pakistan dan India.

Sementara itu, saham syarikat Avic Chengdu Aircraft Co yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen pula mengalami nasib yang berbeza berbanding saham syarikat Dassault Aviation sepanjang lima hari lepas.
Syarikat Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) yang membangunkan pesawat pejuang J-10C pula mengalami nasib yang berbeza dengan mencatakan lonjakan sebanyak 61.6 peratus sepanjang lima hari lepas semasa konflik Pakistan dan India.
Sementara itu, Pegawai kanan Indonesia menyatakan apa yang berlaku terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India semasa konflik bersenjata di antara Pakistan dan India baru-baru ini memberikannya asas untuk “melakukan penilaian yang sah dan berasas” terhadap keberkesanan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu yang ia bakal miliki tahun depan.
— DEFENCE SECURITY ASIA