(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Iran mengumumkan bahawa ia telah berjaya menguasai teknologi untuk membangunkan peluru berpandu kruis supersonik, kemampuan yang bakal meningkatkan lagi kebimbangan kuasa Barat tentang kemampuan peluru berpandu Teheran.
Teheran mendakwa peluru berpandu kruis supersonik itu sukar untuk dipintas oleh sistem pertahanan udara.
“Peluru berpandu kruis supersonik akan membuka lembaran baru dalam program pertahanan Iran kerana ia adalah amat sukar untuk memintas peluru berpandu kruis yang terbang dalam kelajuan supersonic,” menurut agensi berita negara itu, Tasnim.
Menurut agensi berita itu lagi, peluru berpandu kruis supersonik Iran itu menggunakan sistem enjin terkini berbanding model enjin yang digunakan oleh industri pertahanan negara itu sebelum ini.
“Peluru berpandu kruis bagi tentera tentera laut dan peluru berpandu kruis supersonik bakal meningkatkan lagi tindak balas tentera Iran dalam apa-apa konflik ketenteraan dan menghalang tentera penceroboh daripada memberi reaksi dengan cepat,” tambahnya lagi.
Ia berkata bahawa peluru berpandu kruis supersonik itu masih lagi di peringkat ujian.
Pengumuman tentang kemampuan terbaru peluru berpandu kruis supersonik Iran itu berlaku ketika Amerika Syarikat mengerah ribuan anggota tenteranya ke Timur Tengah bersama-sama pesawat pejuang F-35 dan F-16 untuk menangani Iran dan Russia.
Walaupun berdepan dengan sekatan tentera, namun Iran terus meningkatkan kemampuannya untuk membangunkan kemampuan peluru berpandunya.
Bagaimanapun, penganalisis tentera Barat menyatakan Iran kadangkala “mengembar-gemburkan” kemampuan peluru berpandunya untuk mengabui kelemahannya.
Teheran yang didakwa memiliki salah satu program pembangunan peluru berpandu terbesar di Timur Tengah menyatakan bahawa sistem persenjataannya berkemampuan membedil pangkalan-pangkalan tentera Israel dan Amerika Syarikat di rantau itu.
Beberapa bulan lepas, Iran telah mendedahkan peluru berpandu hypersoniknya yang pertama dipanggil “Fattah” yang boleh meluncur selaju Mach 15 dan mendakwa ia tidak boleh dipintas oleh mana-mana sistem pertahanan udara disebabkan kelajuannya yang tinggi.
Pihak berkuasa Iran mendakwa peluru berpandu hypersonik “Fattah”yang dicat serba hitam itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,400 km.
Pemerhati ketenteraan serantau menyatakan bahawa pembangunan peluru berpandu hypersonik “Fattah” itu akan meningkatkan lagi kebimbangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap kemampuan teknologi peluru berpandu yang dimiliki oleh Teheran.
Menurut media negara itu, “Fattah” mampu meluncur dengan kelajuan Mach 15 atau lebih 5,000 meter satu saat dan tidak ada sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dan Israel yang canggih mampu memintasnya.
Pengenalan peluru berpandu hypersonik “Fattah” menyusul pelancaran peluru berpandu balistik Iran pada bulan lepas,yang turut mengundang kritikan dan kecaman daripada negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat serta sekutu utamanya Israel.
Dipanggil “Kheibar”, peluru berpandu balistik generasi ke-empat Iran itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 2,000 km dan boleh mengenai sasaran di Israel.
Ia juga boleh membawa kepada peledak konvesional seberat 1,500 kilogram kata pegawai tentera Iran sambil menambah bahawa “Kheibar” boleh meluncur selaju Mach 15 di luar atmosfera dan Mach 8 di dalam atmosfera. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com