Enjin Turbofan Tempatan “TF10000” Lengkapi Pesawat Pejuang Gen-5 “KAAN” Turkiye

“Engine TF10000 yang akan menghasilkan 6,000 lbf kuasa tujahan (thrust) dan akan melengkapi banyak platform berpemandu dan tidak berpemandu (manned and unmanned) termasuk pesawat pejuang KAAN sudah hampir siap,” kata ketua TEI, Mahmut Faruk Aksit.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat enjin Turkiye, TUSAS Engine Industries (TEI) menyatakan bahawa enjin buatan dalam negeri yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima negara itu “KAAN” sudah hampir siap.

Syarikat TEI merupakan usahasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan General Electric Aerospace (GE Aerospace).

“Engine TF10000 yang akan menghasilkan 6,000 lbf kuasa tujahan (thrust) dan akan melengkapi banyak platform berpemandu dan tidak berpemandu (manned and unmanned) termasuk pesawat pejuang KAAN sudah hampir siap,” kata ketua TEI, Mahmut Faruk Aksit kepada media tempatan Turkiye baru-baru ini.

Agensi industri pertahanan negara itu, SSB akan mengumumkan tentang pembangunan enjin paling berkuasa pernah dibangunkannya selama itu, TF10000.

Menurut beliau, enjin turbofan TF10000 itu adalah enjin turbofan yang paling berkuasa pernah dibangunkannya setakat ini dan merupakan enjin yang telah dinaiktaraf daripada enjin turbofan TF6000 sebelum ini.

Enjin TF10000

 

Kedua-dua enjin itu, TF10000 dan TF6000 telah pun dipamerkan pada pameran aeroangkasa dan teknoloji Turkiye dipanggil “Teknofest” di Izmir pada tahun lepas.

Enjin turbofan TF10000 yang sedang dibangunkannya pada ketika ini adalah lebih canggih berbanding dengan enjin itu yang dipamerkannya pada pameran di Teknofest pada tahun lepas.

Di dalam tempoh ujian penerbangan pada ketika ini, kesemua pesawat-pesawat prototaip KAAN akan menggunakan enjin F110 buatan syarikat GE sebelum ia digantikan sepenuhnya dengan enjin turbofan yang sedang dibangunkan oleh syarikat tempatan, TEI itu.

Selain enjin untuk pesawat KAAN, TEI juga telah membangunkan enjin PD170 untuk dron Aksungur serta lain-lain dron keluaran syarikat seperti Baykar Technology dan juga oleh TAI.

Beliau berkata TEI mempunyai kemampuan untuk membangunkan kesemua jenis enjin untuk digunakan oleh kesemua platform sama ada ia adalah untuk pesawat pejuang, dron, helikopter dan juga peluru-peluru berpandu.

Enjin GE F110 yang akan digunakan oleh pesawat prototaip KAAN

 

TEI juga akan katanya akan melancarkan enjin yang akan melengkapkan helikopter penyerang keluaran TAI iaitu ATAK-2.

Beberapa minggu lepas, pesawat pejuang generasi kelima buatan Turkiye “KAAN” telah melakukan penerbangan sulungnya dan ia adalah detik yang bersejarah kepada negara Mediterranean itu yang memulakan projek itu kira-kira lapan tahun yang lalu pada 2016.

Penerbangan sulung “KAAN” itu menarik perhatian dunia kerana Turkiye berjaya menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima di dalam tempoh yang amat singkat berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat menerusi pesawat F-22 Raptor, F-35, Russia dengan Su-57 dan China dengan J-20 “Mighty Dragon.”

TAI adalah kontraktor utama bagi projek pembangunan “KAAN” dan juga bertanggungjawab membangunkan dron “Anka” yang bakal dioperasi oleh Malaysia tahun depan, pesawat pejuang ringan “HURJET”, pesawat latihan asas “HURKUS” dan pelbagai produk aeroangkasa yang lain.

Buat masa ini, hampir kesemua komponen pada pesawat-pesawat prototaip pejuang “KAAN” itu adalah buatan tempatan kecuali enjinnya dan kerusi injal (ejection seat).

“KAAN”

 

“Kita merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat pejuang generasi kelima ‘KAAN’ kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028,” kata orang penting dibelakang program pembangunan pesawat pejuang “KAAN” itu ketua pegawai eksekutif Turkish Aeropace Industries (TAI) Temel Kotil.

Pesawat pejuang “KAAN” itu akan menggantikan pesawat pejuang F-16 Tentera Udara Turkiye yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 2030-an. — DSA

EnjinfeaturedKAANTurkiye