Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

LIMA ’23 Saksi Kontrak Perolehan FA-50 Block 20, “Anka” dan ATR 72MP Dimeterai

Antara kontrak paling besar dan amat ditunggu-tunggu melibatkan perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 "Fighting Eagle" bernilai lebih RM3.8 bilion daripada Korea Aerospace Industries (KAI), perolehan sistem pesawat tanpa pemandu "Anka" daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) dan dua buah Maritime Patrol Aircraft "ATR 72MP" daripada Leonardo.

0 3,604

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejumlah 43 kontrak bernilai RM10.128 billion dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan sewaktu Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).

Kesemuanya 20 dokumen kontrak, 21 Surat Setuju Terima (LoA) dan dua Surat Niat (LoI) itu ditandatangani di Langkawi hari ini disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

“Sepatutnya ada banyak lagi (kontrak) tetapi kita menilai semula kontrak tersebut untuk membuat penilaian khususnya meneliti semula perkara tersebut dan Alhamdulillah hari ini berjalan lancar dan saya harap perolehan aset ini akan dapat kita terima dalam keadaan baik dan jangka masa yang ditetapkan,” kata Mohamad.

FA-50
Pesawat FA-50 dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI)

 

Antara kontrak yang paling besar dan yang amat ditunggu-tunggu adalah perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 “Fighting Eagle” bernilai lebih daripada RM3.8 bilion daripada gergasi aeroangkasa Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI).

TUDM akan menerima kumpulan pertama pesawat FA-50 Block 20 itu pada Oktober 2026, menurut pegawai KAI sambil menambah bahawa Malaysia berkemungkinan besar akan menambah perolehan pesawat FA-50 sebanyak 18 buah lagi,bagi membawa bilangan keseluruhan pesawat pejuang itu yang dimiliki oleh negara sebanyak 36 buah.

Sementara itu,  Tentera Darat Malaysia (TDM) bersetuju menyewa empat buah helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk daripada syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai lebih daripada RM180 juta.

Helikopter itu akan berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi. 

Sebagaimana dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini dan disahkan oleh Kementerian Pertahanan hari ini, TUDM juga akan memperolehi tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) “Anka” and Associated Support Category Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa 1 daripada Turkish Aerospace Industries (TAI).

Anka
“Anka-S”

 

Kontrak bagi perolehan tiga unit “Anka” dan peralatan sokongannya adalah lebih daripada RM400 juta.

Berita lanjut tentang program perolehan dan varian dron “Anka” diperolehi Malaysia itu boleh dibaca di sini, https://defencesecurityasia.com/anka-tusas-turkiye-dron/

Kementerian Pertahanan turut menandatangani kontrak dengan syarikat Leonardo untuk perolehan dua unit Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa 1 daripada jenis “ATR72 MPA” dan pelbagai peralatan lain bernilai RM789 juta.

Dibawah program CAP55 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), negara merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya enam buah pesawat peronda maritim, dengan perolehannya di meliputi beberapa Rancangan Malaysia.

Selain itu syarikat Thales juga dianugerahkan kontrak bernilai RM187 juta untuk membekalkan radar jarak jauh yang akan dioperasikan oleh TUDM.

MPA TUDM
ATR 72MP

 

Pada 15 Mei lepas, Defence Security Asia telah melaporkan tentang keputusan Kementerian Pertahanan memilih radar keluar syarikat Thales itu https://defencesecurityasia.com/radar-thales-laut-bintulu/

Sebagai tambahan, Kementerian Pertahanan kini dalam perancangan untuk memperolehi lebih banyak aset pertahanan di bawah Rancangan Malaysia seterusnya. 

“Sungguhpun negara masih berdepan dengan impak ekonomi ekoran pandemik serta perlu berhadapan dengan bajet yang telah diperuntukkan oleh kerajaan, Kementerian Pertahanan dan ATM tetap komited untuk saling bekerjasama demi memastikan pertahanan dan kesiapsiagaan berada di tahap optimum,” menurut kenyataan itu. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...