(DEFENCE SECURITY ASIA) – Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang “memeningkan kepala” netizen serta beberapa ahli politik kanan Singapura baru-baru ini telah dilancarkan secara rasmi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang hari ini.
Turut hadir menyaksikan latihan adalah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Eksesais yang melibatkan lebih 2,000 anggota tentera dengan penggunaan pelbagai aset angkatan tentera itu berlangsung di Bera, Pahang.
Tujuan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 ini adalah untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Group (LPBG) dari 10 Briged (Para) yang diaturgerak bagi melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
Menurut Perdana Menteri, aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencukupi dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan terkini dan selari dengan perkembangan teknologi.
“Perkara itu antara aspek yang diberi perhatian utama oleh Kementerian Pertahanan dalam memastikan kesiapsiagaan negara berada di tahap yang terbaik dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara,” kata beliau pada sidang media selepas menyaksikan latihan itu.
Baru-baru ucapan Panglima 10 Bgd Brig Jen Khairul Azmizal Mohd Natal mengenai eksesais itu telah menarik perhatian Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang-Undang Singapura K.Shamugam serta Speaker Parlimen republic itu, Tan Chuan-Jin.
Mereka seolah-olah mengatakan bahawa Eksesais Para Predator Siri 1/21 itu mensasarkan Singapura.
Eksesais Para Predator Siri 1/21 dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Group (LPBG) dari 10 Briged (Para) yang diaturgerak bagi melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
Eksesais Para Predator 1/2021 ini turut dirangka bagi menilai tahap kepimpinan setiap lapisan pemerintahan, tahap kompetensi atau keupayaan setiap pasukan tempur di dalam briged ini, serta menguji ketahanan fizikal dan mental anggota briged ini untuk berhadapan dengan tekanan realisme yang tinggi sebagaimana situasi sebenar ketika perang dan krisis.
Pendekatan eksesais ini terarah kepada 3 objektif utama iaitu ‘To Train’ (the Troop), bagi memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, ‘To Project’ (the Army), bagi memberikan gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar aturgerak TDM, ‘To Educate’ (To Create Public Awareness), bagi mendidik mahupun berkongsi pengetahuan serta menerapkan kesedaran umum mengenai peranan tentera darat dalam aspek keselamatan negara.
Eksesais yang berlangsung selama tujuh hari ini akan melibatkan aturgerak keanggotaan dan aset-aset serta logistik yang akan mensimulasikan gerakan kemaraan anggota 10 Briged (Para) dengan disokong oleh pelbagai jenis aset tempur, termasuklah aset kenderaan tempur dari Kor Armor Diraja dan juga jambatan tempur dari Rejimen Askar Jurutera Diraja.
10 Briged (Para) merupakan sebuah ketumbukan pasukan elit di dalam TDM, iaitu Briged Payung Terjun dengan tahap kesiagaan yang tinggi yang merupakan komponen utama dikenali sebagai Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).