Tentera Udara Pakistan Lebih Maju “12-14 Tahun” Berbanding India Berikutan Pemilikan J-35A Buatan China
Menurut bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan Komodor Udara (B) Zia Ul Haque Shamshi, dengan perolehan pesawat pejuang generasi kelima buatan Shenyang Aircraft Corporation (SAC) bakal memberikan kelebihan untuk tempoh 12 hingga 14 tahun kepada Tentera Udara Pakistan berbanding Tentera Udara India.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Keputusan Pakistan memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A dengan pesawat pertama bakal diterimanya dalam “beberapa bulan akan datang ini”, bakal memberikan kelebihan kepada tentera udara negara itu daripada segi kemampuan kuasa udaranya berbanding kemampuan dimiliki oleh “musuh” tradisinya, India.
Menurut bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan Komodor Udara (B) Zia Ul Haque Shamshi, dengan perolehan pesawat pejuang generasi kelima buatan Shenyang Aircraft Corporation (SAC) bakal memberikan kelebihan untuk tempoh 12 hingga 14 tahun kepada Tentera Udara Pakistan berbanding Tentera Udara India.
“India tidak dijangkakan akan memperolehi kemampuan pesawat pejuang generasi kelima dalam tempoh itu (12 hingga 14 tahun), sekaligus memberikan kelebihan strategik kepada Tentera Udara Pakistan,” kata beliau.
Awal tahun lepas, Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan bahawa ia akan memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima J-35A yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.
Ketua Staf Tentera Udara Pakistan, Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu dilaporkan berkata dalam satu majlis awal tahun lali bahawa pesawat J-35A buatan itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada majlis terbabit.

China dijangka akan mula menghantar pesawat-pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A kepada Tentera Udara Pakistan dalam “beberapa bulan akan datang ini.”
Pegawai kanan kerajaan Pakistan memberitahu portal pertahanan Janes bahawa pesawat pejuang J-35A buatan China itu akan tiba di negara Asia Selatan itu dalam “beberapa bulan akan datang ini.”
“Juruterbang-juruterbang Tentera Udara Pakistan juga telah berada di China menjalani latihan untuk menerbangkan dan mengendalikan pesawat pejuang J-35A itu,” menurut pegawai kanan kerajaan Pakistan yang mengesahkan perkara itu kepada portal pertahanan terbabit.
Terdapat juga laporan menyatakan pesawat-pesawat pejuang J-35A yang bakal diterima oleh Pakistan di dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini akan turut dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-17 yang dipercayai boleh membedil sasaran udara daripada melebihi 400km.
PL-17, yang turut dikenali oleh sesetengah sumber sebagai PL-XX, merupakan peluru berpandu udara ke udara jarak sangat jauh (VLRAAM) paling canggih pernah dibangunkan oleh China, yang direka untuk memberikan Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF) keupayaan menyerang aset udara bernilai tinggi seperti pesawat AWACS, kapal tangki pengisian bahan api di udara, serta pesawat peperangan elektronik dari jarak jauh yang melebihi kemampuan mana-mana sistem setara Barat.
Dipercayai memiliki jarak tembakan melebihi 400 kilometer, PL-17 menandakan satu lonjakan besar dalam pembangunan peluru berpandu udara ke udara oleh China, dengan laporan menyatakan ia dilengkapi dengan sistem pencari pelbagai mod yang menggabungkan radar aktif, penderia inframerah, serta navigasi satelit bagi membolehkan kemas kini sasaran di pertengahan penerbangan dan pemanduan tepat ke sasaran di fasa akhir.

J-35A adalah pesawat pejuang kedua buatan China selepas J-20 “Mighty Dragon” yang tidak dieksport dan hanya digunakan oleh Tentera Udara China sahaja.
Perolehan pesawat pejuang halimunan generasi kelima J-35A itu akan hanya menambah pegangan pesawat-pesawat pejuang China dalam inventori Tentera Udara Pakistan selepas memperolehi negara itu turut memiliki pesawat-pesawat pejuang J-10 C dibangunkan oleh China dan juga JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Islamabad dan juga Beijing.
Kenyataan oleh media-media Pakistan bahawa tentera udara negara itu telah mula menghantar juruterbangnya ke China untuk menerbangkan pesawat pejuang J-35A, membuktikan bahawa negara Asia Selatan itu sememangnya sedang menuju ke arah pemilikan pesawat pejuang generasi kelima.
Langkah Pakistan itu telah menggusarkan negara jiran dan “musuh tradisinya”, India masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 seperti Sukhoi Su-30MKI dan Rafale.
Bukan sahaja India terpaksa berhadapan dengan China yang telah pun mengoperasikan pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan kini ia berkemungkinan besar akan berhadapan dengan Pakistan yang akan mengoperasikan pesawat pejuang generasi kelima.
Dibangunkan oleh Chengdu Aerospace Corporation di bawah Aviation Industry Corporation of China (AVIC), J-20 merupakan jet tempur halimunan dua enjin dengan konfigurasi “canard-delta”, direka untuk operasi penembusan jauh ke ruang udara musuh dalam misi superioriti udara dan serangan strategik.
Kemasukan J-20 ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pembebasan Rakyat China (PLAAF) sejak tahun 2017 telah meletakkan Beijing dalam kelompok eksklusif negara yang memiliki dan mengoperasikan pesawat generasi kelima secara aktif, sejajar dengan Amerika Syarikat dan Russia.
J-20 direka dengan profil halimunan berasaskan teknologi stealth shaping, salutan penyerap radar (radar-absorbent material/RAM), dan ruang senjata dalaman (internal weapons bay) yang mengurangkan tanda radar (radar cross-section), memberikan kelebihan besar dalam peperangan jarak jauh dan dalam suasana anti-access/area denial (A2/AD).

Menurut para penganalisis, perolehan pesawat halimunan generasi kelima J-35A oleh Tentera Udara Pakistan sebagaimana didakwa oleh media negara itu adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat serta Mirage 5 buatan Perancis milik Pakistan yang semakin usang.
Jika benar perolehan pesawat-pesawat pejuang J-35A oleh Pakistan itu, penganalisis turut mengatakan bahawa ia akan mengubah imbangan kuasa udara di benua itu dan bakal “memeningkan kepala” seteru utamanya iaitu India.
Pesawat pejuang J-35A itu akan meningkatkan fleksibiliti taktikal Pakistan dan membolehkannya menyelinap masuk lebih dalam di ruang udara musuh.
Kerajaan China semamangnya mahu mempromosi pesawat J-35A untuk pasaran eksport dan telah mewujudkan sebuah pejabat khas bertujuan menarik pelanggan luar berpotensi untuk memperolehi pesawat pejuang J-35A.
Beijing tidak membenarkan pesawat J-20 dieksport, sama seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap pesawat F-22 Raptor.
Sama juga seperti Amerika Syarikat, Beijing bimbang teknologi canggih pesawat J-20 itu akan jatuh ke negara musuh jika ia membenarkan penjualan pesawat generasi kelima itu.
J-35A adalah pesawat pejuang generasi kelima satu tempat duduk, dua enjin, pesawat pejuang bersaiz-sederhana (medium-sized fighter jet) dengan kemampuan halimunan yang ampuh serta kos yang kompetitif.
Laporan media menyatakan bahawa pesawat pejuang J-35A bakal berkhidmat dengan kapal-kapal pengangkut pesawat negara itu dan usaha-usaha sedang dilakukan ke arah itu.

