Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Media Britain Dakwa 2 Rakyat M’sia Dipercayai Anggota IS-KP Ditahan Di Afghanistan, Polis Tiada Maklumat

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS-KP di Afghanistan.

0 1,057

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Portal berita yang berpangkalan di Britain, The Times melaporkan bahawa pihak Taliban sedang menyoal siasat dua individu dipercayai warga Malaysia yang berjuang bersama-sama kumpulan pengganas, IS-KP (Islamic State-Khorasan Province), sebuah sayap kumpulan militan IS di Afghanistan.

Portal terbabit memetik ketua perisikan Taliban, Maulawi Saifullah Mohammed yang mengatakan kedua-dua individu dipercayai rakyat Malaysia itu ditahan bersama empat lagi anggota IS-KP sepanjang pertempuran berbalas tembakan pada malam Khamis.

“Empat dari mereka adalah warga Afghanistan namun dua lagi nampak seperti warga Malaysia,” kata Saifullah seperti dipetik The Times.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS-KP di Afghanistan.

“Walau bagaimanapun, PDRM telah mengemukakan permohonan kepada agensi-agensi keselamatan luar negara bagi mengesahkan laporan serta dakwaan berkenaan,” kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan terbabit.

PDRM
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

 

Katanya, siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut, melibatkan pejuang IS warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara.

IS-KP adalah cabang kepada kumpulan pengganas IS yang menyasar untuk menubuhkan pemerintahan khalifah di wilayah yang sebelum ini disebut Khorasan, merangkumi sebahagian Iran, Afghanistan dan beberapa bahagian Asia Tengah.

Rakyat Malaysia dikatakan antara ribuan pejuang asing yang menyertai IS ketika kemuncak perang di Iraq dan Syria.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut 102 rakyat Malaysia sudah menyertai IS dan 40 dikatakan maut dalam pertempuran.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...