Amerika Cadang Jual F-35 Pada Greek Selepas Larang Turki Beli Pesawat Itu
Rundingan antara Amerika dan Greek berkenaan penjualan pesawat F-35 itu bermula sebaik sahaja Washington "tendang keluar" Turki daripada program pembangunan pesawat generasi kelima itu selepas Ankara berkeras mahu membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas “menendang keluar” Turki daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Joint Strike Fighter dan melarang negara Mediterranean itu daripada membelinya, Washington kini bercadang menjual pesawat F-35 kepada musuh ketatnya iaitu Greek.
Sejak setahun yang lepas, Washington dan Athens telah mengadakan rundingan demi rundingan berkenaan penjualan pesawat halimunan yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu kepada Greek.
Dan kini perundingan itu semakin berhasil dengan Greek dijangka membeli kira-kira 20 buah pesawat F-35 bernilai US$3.5 bilion (RM14 bilion).
Menurut laporan daripada portal pertahanan, Janes.com, satu pasukan daripada syarikat Lockheed Martin akan ke Greek pada bulan ini untuk merundingkan perkara berkenaan penjualan pesawat pejuang itu.
Duta Amerika ke Greek Geoffrey Pyatt juga mengesahan bahawa pasukan daripada syarikat pembuat pesawat F-35 serta Tentera Udara Amerika akan ke Athens untuk berbincang tentang penjualan pesawat generasi kelima itu.

“Greek bakal menjadi sebahagian daripada program pesawat F-35,” kata duta Amerika itu kepada media tempatan baru-baru ini.
Rundingan antara Amerika dan Greek berkenaan penjualan pesawat F-35 itu bermula sebaik sahaja Washington mengeluarkan Turki daripada program pembangunan pesawat canggih itu selepas Ankara berkeras mahu membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.
Amerika bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 yang digunakan oleh Turki itu untuk “mencungkil” rahsia berkenaan pesawat F-35 itu.

Sistem pertahanan udara S-400 itu sudah pun dioperasikan oleh tentera udara Turki, tindakan yang membangkitkan lagi kemarahan Washington dan menegangkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara anggota NATO itu.
Turki dan Greek juga adalah anggota NATO.
Comments are closed.