Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Permintaan Terhadap Dron Berani Mati Buatan Iran Melambung – Pakar

Penggunaan dron-dron berani mati buatan Iran pada konflik di Ukraine dan Timur Tengah telah melonjakkan minat daripada pelbagai negara yang dilaporkan “berlumba-lumba” untuk memulakan rundingan dengan Teheran bagi memperolehi dron-dron buatan negara Parsi itu.

0 20,406

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Walaupun Israel dan Amerika Syarikat mendakwa ia berjaya menembak jatuh sebahagian besar daripada dron-dron berani mati dilancar Iran terhadapnya baru-baru ini, namun, ia dijangka tidak akan menjejaskan minat pelbagai negara terhadap dron-dron  buatan Iran.

Kebanyakkan negara yang bercadang memperolehi dron buatan Iran tidak akan berhadapan dengan sistem-sistem pertahanan udara yang canggih seperti yang dioperasikan oleh Israel dan Amerika Syarikat seperti Iron Dome dan sebagainya.

Pada negara-negara ini, dron-dron buatan Iran adalah amat berkesan jika digunakan terhadap musuh-musuh mereka.

Seorang pakar Artificial Intelligence dan sistem tanpa pemandu di sebuah badan pemikir di Washington Samuel Bendett berkata, “kejayaan” Israel mematahkan serangan dron Iran baru-baru ini tidak akan membantutkan jualan dron Iran.

Negara-negara yang mahu dasar-dasar politik dan ketenteraan yang bebas daripada pengaruh Amerika Syarikat akan tetap membeli dron-dron buatan Iran.

Iran

Penggunaan dron-dron berani mati buatan Iran pada konflik di Ukraine dan Timur Tengah telah melonjakkan minat daripada pelbagai negara yang dilaporkan “berlumba-lumba” untuk memulakan rundingan dengan Teheran bagi memperolehi dron-dron buatan negara Parsi itu.

Maklumat dan data-data yang diperolehi daripada Institute of Peace, Amerika Syarikat menyatakan bahawa selain kumpulan-kumpulan proksi seperti Hezbollah dan di Iraq serta Syria, Teheran juga telah mengeksport dron-dron keluarannya kepada sekurang-kurangnya tujuh buah negara.

Tujuh buah negara itu termasuklah Tajikistan dan Venezuela, malah agensi berita Reuters juga mengatakan bahawa dron buatan Iran kini turut digunakan dalam konflik yang sedang berlaku di Sudan.

“Sasaran potensi bagi eksport dron Iran selepas ini termasuklah Bolivia dan Belarus, tetapi kita juga boleh menjangkakan lebih banyak dron Iran digunakan di negara-negara di Afrika dan juga Amerika Selatan,” menurut seorang penganalisis.

Pada ketika ini, dron-dron buatan Iran digunakan di empat benua daripada Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.

Shahed
Shahed

 

Beberapa bulan selepas pencerobohan Russia terhadap Ukraine, seorang pegawai kanan Iran menyatakan bahawa 22 buah negara telah menunjukkan minat untuk memperolehi dron buatan neara Parsi itu.

Bagaimanapun pada Februari lalu Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata lebih daripada 50 buah negara sedang “berunding” dengan Iran tentang peluru-peluru berpandunya dan juga dron-dron berani mati serta ISR buatan industri pertahanannya.

Pengguna dron-dron Iran merupakan negara yang tidak mempunyai masalah dengan politik Iran dan pada masa yang sama tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk memperolehi dron-dron yang “mahal” buatan negara Barat.

Laporan-laporan media Iran menyatakan bahawa dron-dron daripada keluarga Shahed telah menarik minat sejak beberapa tahun yang lalu disebabkan penggunaannya di beberapa konflik terutamanya oleh Russia pada medan peperangan di Ukraine.

Selain dron-dron berani mati Shahed-136, tentera Russia juga menggunakan dron Mohajer untuk menjalanka operasi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).

Shahed
Kenderaan pelancar dron berani mati “Shahed.”

 

Pada Februari lalu, Russia dilapor bersetuju untuk membelanjakan US$1.75 billion (RM7.8 billion) dalam usahanya untuk menghasilkan kira-kira 6,000 dron berani mati “Shahed-136” keluaran Iran untuk digunakan oleh tenteranya untuk membedil sasaran di Ukraine.

Menurut laporan oleh Militirnaryi, persetujuan itu telah dicapai dengan Iran untuk membangunkan kemudahan pembuatan 6,000 dron berani mati itu di kemudahan di dalam Russia didalam tempoh 2.5 tahun selepas perjanjian dengan Teheran itu.

Tentera Russia telah menggunakan dron-dron berani mati Iran seperti Shahed-131 dan Shahed-136 untuk menyerang pelbagai sasaran di Ukraine seperti bangunan,infrastruktur awam termasuk janakuasa elektrik, pusat simpanan minyak dan lain-lain lagi.

Pegawai Amerika Syarikat menyatakan bahawa kemampuan sistem dron Iran telah meningkat sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militan Houthi yang disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco kepada serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi dan kini di medan peperangan di Ukraine.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Iran membantu Russia dengan menyalurkan peralatan dan komponen-komponen penting dalam pembuatan dron-dron berani mati Shahed Iran bagi membolehkan kilang pembuatan dron itu didirikan dengan segera di wilayah Yelabuga, Tatarstan.

Shahed-136
“Shahed-136”

 

 Yelabuga,Tatarstan itu terletak di timur Moscow.

Laporan tentang cadangan Russia dan Iran untuk mendirikan kemudahan pembuatan dron berani mati Shahed Iran di negara itu mula kedengaran pada Disember 2022.

Amerika Syarikat menyatakan bahawa Iran telah menghantar komponen dan peralatan yang bakal digunakan untuk membina “kilang” pembuatan dron berani mati itu.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Iran mengumumkan bahawa eksport senjata negara itu meningkat sebanyak 40 peratus di dalam tempoh 11 bulan.

Agensi berita negara, Tasnim memetik jurucakap kementerian Reza Talaei-Nik yang menyatakan bahawa eksport senjata negara itu telah mencatat peningkatan di dalam bentuk “kuantiti dan kualiti.”

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan senarai jenis senjata yang dieksport oleh negara itu. — DSA

Iklan

Comments
Loading...