Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Prototaip Kedua “KAAN” Turkiye Hampir Siap, Bakal Mulakan Ujian Penerbangan Komprehensif

Pada 21 Februari lalu,  pesawat pejuang generasi kelima Turkiye dinamakan “KAAN” telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya, sekaligus mencatat satu lagi sejarah pada industri penerbangan dan pertahanan negara Mediterranean itu membolehkan Turkiye menyertai segelintir kecil negara di dunia yang membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.

0 3,203

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkish Aerospace Industries (TAI) dilaporkan semakin hampir untuk menyiapkan prototaip kedua pesawat pejuang generasi kelima, KAAN yang sedang dibangunkannya pada ketika ini untuk membolehkannya menyertai prototaip pesawat KAAN yang pertama dalam melakukan ujian-ujian penerbangan komprehensif.

Menurut Avionot.com yang melaporkan perkara itu,  pemasangan pesawat prototaip KAAN yang kedua dan integrasi enjin dijangka siap pada bulan Jun dan Julai ini.

Selepas itu, barulah pesawat prototaip kedua KAAN itu akan memulakan ujian-ujian komprehensif penerbangan.

Pada 21 Februari lalu,  pesawat pejuang generasi kelima Turkiye “KAAN” telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya, sekaligus mencatat satu lagi sejarah pada industri penerbangan dan pertahanan negara Mediterranean.

Penerbangan sulung pesawat pejuang “KAAN” itu juga memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.

TFX
Prototaip pesawat TF-X yang pertama dibangunkan oleh TAI.

 

“KAAN” menyertai pesawat-pesawat generasi kelima yang lain di pasaran pada ketika ini seperti F-22 “Raptor”, F-35 buatan Amerika Syarikat, J-20 “Mighty Dragon” dan J-31 buatan China dan Su-57 “Felon” buatan Russia.

Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.

Ankara mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 kerana berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35 itu, tetapi, penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu ditamatkan berikutan keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

KAAN
“KAAN”

 

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Di dalam tempoh ujian penerbangan pada ketika ini, kesemua pesawat-pesawat prototaip KAAN akan menggunakan enjin F110 buatan syarikat GE sebelum ia digantikan sepenuhnya dengan enjin turbofan yang sedang dibangunkan oleh syarikat tempatan, TEI (TUSAS Engine Industries).

 Syarikat pembuat enjin Turkiye, TEI menyatakan bahawa enjin buatan dalam negeri yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima negara itu “KAAN” sudah hampir siap.

Syarikat TEI merupakan usahasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan General Electric Aerospace (GE Aerospace).

“Engine TF10000 yang akan menghasilkan 6,000 lbf kuasa tujahan (thrust) dan akan melengkapi banyak platform berpemandu dan tidak berpemandu (manned and unmanned) termasuk pesawat pejuang KAAN sudah hampir siap,” kata ketua TEI, Mahmut Faruk Aksit kepada media tempatan Turkiye baru-baru ini.

TEI
Enjin TEI-TF10000 yang bakal digunakan oleh pesawat pejuang KAAN.

 

Menurut beliau, enjin turbofan TF10000 itu adalah enjin turbofan yang paling berkuasa pernah dibangunkannya setakat ini dan merupakan enjin yang telah dinaiktaraf daripada enjin turbofan TF6000 sebelum ini.

Data-data awal menyatakan bahawa pesawat pejuang “KAAN” itu akan mempunyai Maximum Take-Off Weight (MTOW) 27,200kg  dan mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 2.

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU). — DSA

Iklan

Comments
Loading...