Agong Lawat Kemudahan FNSS, Lihat Demonstrasi PARS 6×6
Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima persembahan taklimat dan demonstrasi mengenai teknologi sistem pertahanan yang dibangunkan oleh syarikat FNSS termasuk beberapa kenderaan perisai.
Jom folo Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat melawat sebuah daripada pemain utama industri pertahanan Turkiye, FNSS Defence Systems A.S, di Ankara, Turkiye hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Menteri Pertahanan Turkiye Hulusi Akar dan Ketua Eksekutif FNSS Gurol Carmikli.
Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Dato’ Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima persembahan taklimat dan demonstrasi mengenai teknologi sistem pertahanan yang dibangunkan oleh syarikat FNSS termasuk beberapa kenderaan perisai.
Salah sebuah kenderaan berperisai keluaran FNSS yang melakukan demonstrasi di hadapan Yang di-Pertuan Agong adalah PARS 6×6 yang dilaporkan bakal diketengahkan untuk ditawarkan kepada Tentera Darat Malaysia.
Tentera Darat mempunyai keperluan untuk mendapatkan kenderaan perisai 4×4 dan 6×6 bagi menggantikan kenderaan perisai Condor dan Sibmas yang telah ditamatkan perkhidmatannya tidak lama dahulu.

Adakah ada sinar untuk kenderaan perisai PARS 6×6 keluaran FNSS itu selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong hari ini?
Semasa lawatan ke FNSS itu juga, Seri Paduka Baginda turut berpeluang untu menaiki dua kenderaan perisai milik FNSS,yang tidak dinamakannya.
FNSS yang merupakan salah sebuah syarikat pertahanan utama di Turkiye telah bersama-sama DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) milik konglomerat tempatan, DRB-HICOM dalam membangunkan kenderaan berperisai ACV 300 Adnan dan AV8 Gempita untuk Tentera Darat Malaysia.
Comments are closed.