Usaha Alih Kapal Kontena “Ever Given” di Terusan Suez Bakal Makan Masa “Berminggu-Minggu”
Kira-kira 12 peratus perdagangan dunia bernilai US$1 trillion atau 18,000 kapal dagang yang berulang-alik Eropah-Asia menggunakan terusan ini setiap tahun dan kegagalan menggunakan terusan ini adalah “mimpi ngeri” kepada semua pedagang.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha-usaha mengalihkan kapal kontena “Ever Given” milik syarikat Jepun, Shoei Kisen KK tetapi dioperasikan oleh syarikat Taiwan, Evergreen Marine daripada kedudukannya di Terusan Suez (Suez Canal) bakal memakan masa “berminggu-minggu”.
Ia adalah satu berita buruk kepada perdagangan dunia yang amat bergantung kepada terusan itu kerana ia bermakna barang-barangan tidak dapat sampai ke destinasi mereka pada masa yang tepat, sekaligus menyebabkan kerugian berbillion dollar kepada banyak pihak.
Kira-kira 12 peratus perdagangan dunia bernilai US$1 trillion atau 18,000 kapal dagang yang berulang-alik Eropah-Asia menggunakan terusan ini setiap tahun dan kegagalan menggunakan terusan ini adalah “mimpi ngeri” kepada semua pedagang.
Setiap hari sahaja, lebih daripada 50 buah kapal dagang melalui terusan ini membawa pelbagai barangan daripada kontena pelbagai barang kepada gas dan minyak bernilai antara US$5 billion hingga US$10 billion ke pelbagai destinasi di Asia dan Eropah.
Baru beberapa hari Terusan Suez ini tidak dapat digunakan, harga minyak dunia (Brent Crude) telah melonjak sebanyak empat peratus.
Bayangkan jika terusan ini tidak dapat digunakan dalam tempoh yang lebih lama, berapa banyak lagi harga minyak dunia akan naik dan ianya akan menjejaskan kita semua apabila kita pergi ke stesen-stesen minyak untuk mengisi minyak kenderaan kita.
Terusan Suez ini penting kerana ia menghubungkan Eropah dengan Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi dan rantau Asia Pasifik. Ia adalah nadi kepada perdagangan Asia-Eropah.
Tanpa terusan ini yang siap dibina pada 1869 selepas kerja-kerja pembinaan selama 10 tahun bermakna kapal-kapal terpaksa menggunakan jalan jauh iaitu mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika sebelum menyambung perjalanan mereka ke Asia.
Mereka terpaksa menambah kira-kira 3,500 batu pelayaran melalui perairan yang berbahaya penuh dengan lanun dan ini semua memerlukan tambahan kos serta wang ringgit untuk mengelilingi Afrika sebelum sampai ke Asia.
Dengan Terusan Suez, kapal-kapal dari Eropah hanya memerlukan 9 hari untuk tiba di destinasi mereka di Asia, tetapi dengan laluan diterusan itu kini tersekat, sekurang-kurangnya tiga minggu hingga sebulan siperlukan sebelum kapal-kapal dari Eropah tiba di Asia.
Comments are closed.