Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Sahkan Sebuah Helikopter Penyerang Termodennya “Z-10” Terhempas

Helikopter penyerang (nama tempatannya adalah Pi Li Huo) itu terhempas dalam satu “misi latihan”, menurut kementerian.

0 1,982

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan China telah mengesahkan bahawa sebuah helikopter penyerangnya “Zhishengji-10” (Z-10) telah terhempas di Changsha, wilayah Hunan pada minggu lepas.

Pihak kementerian hanya mengesahkan insiden yang mengorbankan kedua-dua juruterbang dan pembantunya itu selepas imej-imej mengenai insiden itu tersebar di media sosial China.

Helikopter Z-10
Gambar helikopter Z-10 yang terhempas baru-baru ini sebagaimana dikongsi oleh media sosial China.

Helikopter penyerang (nama tempatannya adalah Pi Li Huo) itu terhempas dalam satu “misi latihan”, menurut kementerian.

Helikopter malang terbabit berasal daripada unit udara tentera darat China dan mengalami insiden itu ketika melakukan misi latihan.

Helikopter penyerang Z-10 itu adalah helikopter modern yang direkabentuk oleh Changhe Aircraft Industries Group (CHAIG) dan China Helicopter Research and Development Institute (CHRDI) dengan kerjasama Kamov Design Bureau daripada Russia.

Z-10 yang mula terbang pada 2003 telah direkabentuk khusus untuk melaksanakan misi anti-armor dan pemintasan unit-unit musuh di medan peperangan.

Ia boleh membawa sehingga 16 butir peluru berpandu anti-kereta kebal HJ-10 (Red Arrow 10) yang boleh membedil sasaran sehingga 10km dan menembusi armor konvensional dengan ketebalan sehingga 1,400mm.

Pada Februari tahun lepas, China telah mendedahkan buat pertama kali versi helicopter Z-10 yang telah dipertingkatkan kemampuannya.

Helikopter Z-10

Peningkatan ini termasuklah melengkapkan helicopter Z-10 dengan enjin yang lebih berkuasa buatan tempatan bagi membolehkan ia membawa lebih banyak peluru berpandu anti-kereta kebal.

Enjin yang lebih berkuasa itu menurut penganalisis juga akan membolehkan helikopter dilengkapi dengan plat-plat armor bagi memberikan ia sedikit ketahanan daripada serangan ringan senjata atau sederhana.

Plat-plat armor ini bukan sekadar memberi perlindungan tambahan kepada krew helikopter tetapi ia juga meningkatkan berat keseluruhannya, sekaligus memerlukan enjin lebih berkuasa.

Versi terbaru helikopter Z-10 juga memungkinkan ia membawa Milimetre Wave Fire Control Radar sebagaimana yang dibawa oleh helikopter AH-64 Apache untuk melaksanakan misi-misi serangan yang lebih jauh dan lebih tepat.

Versi yang dipertingkatkan itu juga mempunyai ekzos enjin yang dihala ke atas bagi mengurangkan heat signature-nya seterusnya membolehkan ia sukar dikesan oleh pengesan infra red.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...