Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peluang Malaysia Tambah 18 Buah FA-50M Lagi Adalah Tinggi Sekiranya …

Jikalau perjalanan kontrak daripada tahap pembinaan sehingga penyerahan kumpulan pertama 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M kepada Malaysia itu berjalan lancar, maka peluang untuk KAI menerima pesanan daripada Malaysia bagi kumpulan kedua 18 buah lagi FA-50M  juga adalah semakin tinggi.

0 4,389
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Persoalan sama ada Malaysia akan memperolehi kumpulan kedua 18 buah lagi pesawat pejuang ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) bergantung kepada perjalanan kontrak kumpulan pertama 18 buah pesawat pejuang.
Jikalau perjalanan kontrak daripada tahap pembinaan sehingga penyerahan kumpulan pertama 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M kepada Malaysia itu berjalan lancar, maka peluang untuk KAI menerima pesanan daripada Malaysia bagi kumpulan kedua 18 buah lagi FA-50M  juga adalah semakin tinggi.
“Ia bergantung kepada perjalanan kontrak untuk kumpulan pertama 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M. Jika kesemuanya (kontrak) berjalan lancar, maka peluang untuk kontrak bagi perolehan 18 buah lagi FA-50M itu juga adalah semakin tinggi, ” kata sumber industri kepada Defence Security Asia baru-baru ini.
Defence Security Asia dimaklumkan bahawa belum ada rundingan secara rasmi di antara Kementerian Pertahanan dan KAI berkenaan perolehan kumpulan kedua 18 buah lagi pesawat pejuang ringan FA-50M.
Walaupun begitu, pegawai-pegawai kanan KAI menaruh harapan dan keyakinan tinggi bahawa Malaysia akan membuat perolehan kedua 18 buah lagi FA-50M, bagi membawa bilangan keseluruhan FA-50M dimilikinya kepada 36 buah.
FA-50
(File picture)
Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak pembelian 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M dianggarkan bernilai RM4 billion ketika pameran LIMA 2023 tahun lepas, di Pulau Langkawi.
Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangkakan akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang ringan FA-50M pada akhir tahun 2026.
Proses penghantaran pesawat pejuang itu dijangka akan berlanjutan sehingga 2028.
Skuadron TUDM yang akan mengoperasikan pesawat pejuang FA-50M itu dilaporkan akan beroperasi di Pangkalan TUDM Kuantan.
Pada awal Sept lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dengan melakukan lawatan ke kemudahan KAI di Sacheon, Korea Selatan bagi melihat lebih dekat proses pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik negara.
Beliau berkata tahap kemajuan pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M milik Malaysia telah mencapai 39 peratus ketika ini.
FA-50
FA-50
Sumber juga memberitahu kepada laman web pertahanan dan keselamatan serantau berpangkalan di Kuala Lumpur itu bahawa: “Kesemua kerja-kerja (pemasangan pesawat) adalah selaras dengan kemajuan. Next year (tahun depan) sudah boleh nampak dah (pesawat sudah dipasang sepenuhnya).”
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.
Ditemu ramah oleh Bernama di Langkawi Mei tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata varian FA-50M diperoleh Malaysia, lebih canggih dan berkeupayaan jika dibandingkan dengan varian FA-50 yang dioperasikan oleh ROKAF.
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa latihan juruterbang akan bermula pada awal tahun 2026 melibatkan enam orang juruterbang untuk tempoh di antara tiga hingga enam bulan.
Ia akan meliputi dengan latihan menggunakan simulator.
Antara perbezaan utama di antara varian FA-50M milik Malaysia dengan varian FA-50 milik tentera-tentera udara negara adalah — pesawat pejuang ringan milik TUDM itu dilaporkan bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.
Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom-bom pintar.
Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran “Sniper’ Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.
Sniper
“Sniper” Advanced Targeting Pod.
Antara kemampuan pod sasaran Sniper ATP termasuklah mid-wave Forward Looking Infrared (FLIR) definisi tinggi, HDTV, dual-mode laser, laser spot tracker, laser marker, video data link, digital data recorder.
Sebanyak 18 buah pesawat FA-50M diperolehi Malaysia pada harga kira-kira RM4 bilion juga dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” (military tactical data link) yang selamat, secure, bebas daripada usaha pemintasan pihak musuh dan lain-lain lagi.
Selain itu varian pesawat itu juga akan dilengkapi dengan meriam 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration,  GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.
Varian pesawat FA-50M juga dilaporkan akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) iaitu “ Cobham Mission System” yang dibangunkan oleh syarikat Cobham daripada United Kingdom.
Kemudahan pengisian minyak di udara akan memastikan pesawat FA-50 Block 20 itu beroperasi lebih jauh dan berada di udara lebih lama. –DSA
Comments
Loading...